Showing posts with label Pengalaman. Show all posts
Showing posts with label Pengalaman. Show all posts

17 October 2013

Korban daging vs Daging korban

No comments:

12 Zulhijjah 1434 H. Hari kedua Tasyrik. Ini kali pertama saya masak daging korban di dapur sendiri. Sebelum berkahwin, hanya mampu melihat ayah memotong daging kemudian menolong mak masak rendang daging. Kali ini, saya sendiri berpengalaman memotong daging dan masak sendiri daging tersebut.

Suami minta masak beriani. Wow... nasi beriani tu....!

Hampir 1 jam untuk potong sahaja. Subhanallah. Ternyata bukan senang. Hm... mungkin kerana saya tak biasa. Dalam hati kata, "saya memang tak tahu potong daging"...huu.

Tapi, teringat sifu Dr. Azizan Osman kata, "Lebih baik tukar daripada kata TAK TAHU kepada MACAM MANA SAYA NAK TAHU......."

Jadi, kita tukar ye, "Macam mana saya nak tahu cara potong daging yang betul...?"

Lalu, encik suami pun dengan tabahnya menunjukkan cara. "Potong melintang daripada urat daging."

"Hah..? Macam mana tu?" Soal saya kembali.

"Macam ni." Beliau terus ambil pisau dan potong kan... =)

Alhamdulillah, terima kasih.

08 November 2012

Syukur dari Kemboja

No comments:
 
 
"Subhanallah, apa salah mereka?" Soalku berkali- kali.
 
"Mereka disiksa di penjara ni kerana dianggap bijak terutama yang berkaca mata." Jawab Salleh dengan Bahasa Melayu baku.
 
Salleh merupakan salah seorang warga Kemboja yang banyak membantu kami menjadi jurubahasa sepanjang lawatan kami ke penjara Tuol Sleng.
 
 
 
 
"Berkaca mata? Kenapa pula mereka disiksa dengan cara ditebuk di kepala, dicabut kuku guna besi, direndam dalam tempayan kerana berkaca mata?" Saya soal lagi bagi mendapatkan kepastian.
 
"Mereka yang berkaca mata sudah tentu boleh membaca. Jadi, sesiapa yang mampu membaca pada waktu itu dianggap bijak dan punya potensi yang tinggi untuk menggulingkan kerajaan. Jadi, mereka dibunuh sebelum berlaku apa- apa pemberontakan." Terang Salleh panjang lebar sambil berjalan dari satu bilik ke satu bilik yang sebelum ini digunakan sebagai penjara mahupun tempat siksaan.
 
 
 
 
Kami dalam satu pasukan 'Misi Kemanusiaan ke Kemboja UIAM Kuantan 2012' mendapat gambaran yang jelas tentang sejarah kekejaman kerajaan Kemboja di bawah pimpinan Pol Pot pada tahun 1975-1979.

Saya agak terkedu apabila sebuah bilik di penjara menyimpan timbunan tengkorak manusia yang disiksa dangan kejam sehingga mati. Tengkorak tersebut pernah disusun oleh Pol Pot bagi memenuhi lakaran peta Kemboja.
 
 
 
 
Lebih menyatakan hati bayi- bayi dibedil selepas dilambung ke udara. Selain itu, ada bayi atau anak kecil dihayun dan dihantuk sehingga pecah kepala mereka pada sebatang pokok. Kemudian dicampak mayat bayi tersebut ke kawasan yang mempunyai timbunan mayat- mayat yang lain.
 
Hati saya bagai direntap sekuatnya. (Sudah tiada akalkah manusia akhir zaman ini?) Namun, jawapan yang tepat adalah manusia yang bersikap zalim itu terlebih dahulu telah menzalimi dirinya sendiri kerana tidak menggunakan akal dengan sempurna sebaliknya menggunakan emosi untuk memuaskan nafsu dan hati.  
 
Namun, jauh di sudut hati, saya amat bersyukur kerana punya peluang untuk hidup aman di Malaysia. Bebas berlari ke sana - sini, bebas meningkatkan daya kreativiti bagi menyumbang kepada pembangunan negara amnya. Doa saya buat mangsa- mangsa yang beragama Islam agar dirahmati roh mereka oleh-Nya.
 
 
 
Selepas lawatan ke penjara Tuol Sleng, pasukan kami yang diketuai oleh Prof. Kamaruzaman Wan Su, berpeluang tinggal bersama- sama penduduk kampung Yol yang beragama Islam. Sekali lagi saya diuji rasa syukur. Saya lihat hidup mereka sangat daif jika dibandingkan dengan rakyat di Malaysia yang rata- rata mewah dengan makanan mahupun pakaian. Di sana, masih ramai anak- anak kecil berlegar- legar tanpa pakaian.
 


 Saya amat tersentuh apatah lagi bila mengenangkan mereka adalah saudara seakidah. Usahlah kerana kefakiran mereka menjadikan mereka kufur atau jahil dengan agama.

Saya juga ligat berfikir, mengapa tahap kebersihan dalam kalangan mereka kurang? Walhal Islam itu indah dan bersih.



Mengapa mereka berebut- rebut sewaktu sumbangan diedarkan walaupun hanya sebatang pensel? Walhal Islam mengajar supaya kita bersabar dan menghormati antara satu sama lain.

Lagi, mengapa mereka lebih memilih untuk menerima berbanding memberi?
Lihatnya seolah- olah ramai yang lebih suka menanti sumbangan yang berupa makan, pakaian dan lain- lain. Namun, jika mereka bersatu untuk kemajuan antara satu sama lain, pasti lebih banyak memberi keuntungan kepada diri mereka mahupun kepada agama.


 
Sungguhpun begitu, saya tidak menafikan bahawa ada juga dalam kalangan mereka yang mempunyai kesedaran ilmu yang tinggi untuk meningkatkan ekonomi diri dan keluarga. Namun, jumlahnya masih kecil. Lalu, saya mencapai satu kunci kepada kebahagiaan dan kejayaan iaitu ilmu. Rasul tercinta juga pernah bersabda, "Jika kamu ingin bahagia di dunia, hendaklah berilmu. Jika kamu ingin bahagia di akhirat juga hendaklah berilmu."
 
 
Misi kemanusiaan selama 7 hari itu disulam dengan aktiviti utama iaitu berkhattan bagi kanak- kanak lelaki. Salah satu pengalaman menarik di Kampung Chongkoh adalah melaksanakan khattan di dalam rumah bot. Ya, bot itulah rumah mereka. Rumah itulah bot mereka. Kami menumpang beberapa buah bot untuk menjalankan khattan. Syukur segalanya lancar walaupun agak mencabar melaksanakan di ruang yang sempit dan gelap.
 
 
 
 
Namun, di sebalik itu, saya berfikir lagi, gigihnya penduduk kampung Chongkoh yang rata- rata tinggal dalam bot beratap separuh ini. Ruang dalam bot itulah ruang solat, ruang makan, ruang tidur, ruang rehat, mahupun ruang tamu.
 
Subhanallah, bagaimanalah keadaan mereka jika dilanda ribut mahupun hujan lebat. Sungguh tak mampu membayangkan keadaan mereka saat itu, nauzubillah.
 
Tapi sepekara lagi yang membuat saya berfikir panjang apabila teringat akan pesanan Nabi, "pisahkanlah tempat tidur bagi anak perempuan dengan anak lelaki."
 
Bagaimana perkembangan psikologi anak- anak kecil mahupun dewasa dalam rumah sekecil itu? Subhanallah, sungguh mereka tabah.
 
 
 
 
"Doakan saya cepat kaya. Saya nak beli tanah dan buat rumah untuk mereka supaya dapat tinggal dengan selesa sambil mengusahakan kebun." Luah Mdm. Narimah, salah seorang pensyarah di Kuliyyah Sains Kesihatan Bersekutu yang juga merupakan salah seorang ahli daripada pasukan kami. Kami yang ada di situ turut men'amin'kan agar dimakbulkan niatnya yang baik itu.
 
 
 
Pada penghujung misi, kami berkesempatan berkenalan rapat dengan keluarga Ustaz Hasan al- Basri yang juga merupakan aktivis dalam Persatuan Islam Kemboja di rumahnya sambil menikmati jamuan makan malam berlaukkan 'lembu panjat bukit'. Gambar kenangan juga dipotretkan di rumah beliau sebagai tanda kenangan bagi Misi Kemanusiaan ke Kemboja UIAM Kuantan 2012. Misi itu menjadi satu pengertian syukur yang besar buat kami semua.
 
 
 
 
"Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu)"
(Al-Baqarah: 152)
 


07 May 2010

Memori Thai...

2 comments:


..."Islam ajaran yang berkasih sayang..." Memetik bait-bait indah daripada lagu Ching Ai Ching Ai, nyanyian kumpulan Raihan itu membuat saya merasa damai sekali.


Namun, pastikah kita perasaan itu sama buat pihak yang berlainan agama (sesetengahnya)? Bagi mereka, Islam itu sebaliknya. Ganas. Terorist. Perang.Semasa saya berprogram di Yala (wilayah selatan Thai), saya di bawa melawat ke beberapa tempat di kawasan Pattani temasuklah sebuah masjid yang diberi nama Masjid Sultan Muzaffar Shah, Cre Sek.


Papan tanda nama masjid itu jelas ternampak bekas tembakan peluru yang berlaku pada peristiwa tembak-menembak antara penganut agama Islam dan askar
pada tahun 2004.



Menurut penduduk tempatan, peristiwa itu berlaku di ketiga- tiga wilayah selatan Thai iaitu di Yala, Pattani dan Narathiwat dan seperti berlakunya peristiwa 13 Mei 1969 di Malaysia. Pada hari kejadian, dianggarkan hampir 100 orang terbunuh termasuk orang tua.


Walaubagaimanapun, peristiwa itu kini bukanlah sekadar menjadi sejarah, malah masih berterusan sehingga kini. Saat itu, terus meresap ke dalam hati saya, alangkah beruntungnya hidup di Malaysia. Tiada apa yang mengganggu gugat akan keamanan dan ketenteraman hidup umat Islam khususnya dan warga Malaysia amnya.


Sepanjang keberadaan saya di sana, saya dan ahli jawatan kuasa program serta semua para peserta sempat mengadakan lawatan ke rumah Gabenor Yala yang berasal daripada Bangkok. Beliau ditugaskan untuk mentadbir salah satu wilayah selatan Thai walau dalam keadaan yang agak meragukan keselamatannya.


Semasa sessi bersama beliau, saya berasa sedikit tersentak apabila beliau ada membuat 2 penawaran kepada semua hadirin yang berada di situ, "sesiapa yang ada terjumpa senjata (senapang) atau tahu di mana kedudukan senjata yang banyak, saya akan beri dia wang tunai 30 000 baht (RM3000). Manakala tawaran yang kedua,"sesiapa yang tahu mana-mana perancangan yang ada unsur keganasan, saya akan beri dia wang tunai 100 000 baht (RM 10 000)."


Perkara yang membuat saya tertanya selepas itu adalah, sesuaikah tawaran seperti itu dilontar secara terbuka kepada semua peserta yang umurnya lingkungan bawah 18 tahun. Saya berfikir lagi, jika ada antara mereka yang tahu tentang senjata atau perancangan keganasan itu, apakah
kesan yang bakal dia dapat selain wang tunai seperti yang dijanjikan. Apa pula kesan kepada keselamatannya dan juga keluarganya dalam jangka masa yang panjang?



Realitinya, itulah yang berlaku di sana. Ketiga- tiga wilayah selatan Thai ini mempunyai 90% penduduk yang beragama Islam. Sayangnya, di sana Islam di anggap pengganas dan pemberontak.Namun, apabila diperhalusi keadaan ini,antara faktor utama berlakunya pemberontakan di sana adalah hak asasi mereka tidak dipeduli.


Menurut sejarahnya, Tok Sulung dahulunya adalah seorang pelopor kepada kebangkitan umat Islam di zamannya. Beliau ditangkap, diseksa dan dibunuh gara-gara cuba untuk mempertahankan hak umat Islam di sana. Waktu itu, umat Islam (bangsa Melayu) di sana tidak dibenarkan bercakap dalam Bahasa Melayu dan wajib bertutur dan wajib berurusan dalam Bahasa Siam. Jawatan dalam sistem pentadbiran juga tiada tempat untuk orang Melayu Islam. Pendek kata, mereka ditindas dan didiskriminasi di wilayah sendiri.


Namun begitu, dalam banyak-banyak keganasan dan pemberontakan yang berlaku, tidak dapat dinafikan bahawa disebalik itu ada pihak yang cuba merancang untuk merosakkan imej Islam. Hal seperti itu dipropaganda dengan hasrat untuk berkata kepada dunia, Islam itu terrorist.
Adilkah begitu?


Hakikatnya, Allah Maha Tahu setiap apa yang berlaku. Sebagai umat Islam, sewajarnya kita menyakini dalam hati bahawa Allah itu Maha Adil. Setiap perbuatan itu ada pembalasannya. Saya juga ingin mengajak sidang pembaca untuk kita sama-sama mendoakan kesejahteraan saudara seakidah kita di sana agar sentiasa dikurniakan kekuatan untuk meneruskan kehidupan demi membela agama tercinta. (Al- Fatihah buat mangsa-mangsa umat Islam yang diseksa dan dibunuh tanpa salahnya.)


"Dan janganlah engkau (Muhammad) menuruti orang-orang kafir dan
orang-orang munafik itu, janganlah engkau hiraukan gangguan mereka dan
bertawakallah kepada Allah. Dan cukuplah Allah sebagai pelindung." (al-Ahzab:48)


08 December 2009

Wehdah 09' ...

No comments:
~Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)~


Program : Kovensyen Pendakwah Muda Peringkat Kebangsaan 2009 (WEHDAH 09')
Tempat : Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai
Tarikh : 22 - 25 Nov. 2009


"Generasi Muda Menjana Transformasi Ummah". Itulah tema yang sering diulang sepanjang WEHDAH yang berlansung di USIM, Nilai. Soalnya, mengapa generasi muda yang terpilih? Mengapa tidak disebutkan generasi dewasa mahupun generasi remaja? Salah satu daripada 5 perkara yang harus diingat sebelum datang lima perkara adalah masa muda sebelum datangnya masa tua. Sudah tentunya usia muda ini tenaganya masih kuat, pemikiran atau mindanya masih cerdas dan banyak lagi kurniaan Tuhan buat golongan muda. Maka, balasannya apa?


~Ahli panel: pengurus rumah perlindungan Raudatus Sakinah, Hidayah Centre- JIM dan WAMY~


Saya merasa terpanggil untuk berkongsi dengan sidang pembaca akan isi- isi daripada ucaptama kovensyen yang disampaikan oleh Dr Mohd Farid bin Syahran berkenaan Dakwah dan Generasi Muda. Beliau ada menghuraikan methodologi dakwah daripada ayat 125 surah an- Nahl iaitu berdakwah dalam 3 variasi. Pertama, berbentuk hikmah, kedua berbentuk nasihat dan ketiga berbentuk perbahasan yang baik. Ketiga- tiga bentuk atau method ini bakal memberi kesan kepada kategori- kategori mad'u sama ada penyampaian mesej-mesej Islami itu berhasil atau pun tidak.

Beliau ada menekan lagi berdasar hujah yang pernah dijelaskan oleh ar- Razi mengenai kaedah pertama iaitu hikmah. Kaedah ini amat sesuai digunakan apabila berurusan mahupun berhadapan dengan mad'u yang berciri intelektual dan golongan terpelajar. Kaedah kedua, berbentuk nasihat yang begitu serasi diaplikasi kepada golongan awam yang mempunyai tahap pemikiran sederhana. Ketiga, iaitu kaedah perbahasan atau perdebatan secara baik dengan golongan yang mencabar kredibiliti Islam seperti anti-hadis dan lain- lain.


~beg, kerts kerja, tag peserta, buku catatan dan pen~


Saya suka mengambil contoh mekanisma mahupun proses tindak balas enzim yang hanya akan
bertindak balas pada PH, tekanan dan suhu tertentu. Misalnya, Pepsin (enzim pencernaan protein) sangat sensitif kepada PH dan hanya akan bertindak balas secara optimum pada keadaan berasid (PH 2). Keadaan ini berbeza pula dengan Tripsin (enzim pencernaan polipeptide) yang bertindak balas pada keadaan berakali (PH8). Jadi, saya merasakan adalah wajar bagi setiap yang berjiwa da'ie mahu pun murabbi, mempunyai sensitiviti tertentu agar peka pada orang di sekeliling (mad'u) dengan bijak menggunakan kaedah yang bersesuaian dalam menyampaikan mesej-mesej bernilai agar hasil daripada tindak balas itu menjadi optimum.


"Serulah manusia ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik."
(an- Nahl: 125)

20 November 2009

FAST Model ...

No comments:
~Ucapan perasmian pembukaan BioMalaysia 2009 oleh Perdana Menteri Malaysia~


Program : BioMalaysia 2009- Conference & Exhibition

Tarikh : 17 - 19 November 2009

Tempat : Kuala Lumpur Convention Centre

Tema : "Accelerting Commercialization In Biotechnology"

~Pembentangan oleh Syaikh Saifuddin~

Menjadi saintis profesional muslim adalah suatu yang amat dituntut dalam Islam. Saintis muslim dalam erti kata bertanggungjawab sepenuhnya ke atas segala hal yang di bawahnya. Jelasnya, seorang saintis Muslim yang punya rasa amanah dengan ilmunya akan bijak mengutamakan keselamatan mahupun kemaslahatan ummat dan alam daripada mengutamakan kepentingan sendiri. Maka, tidak sewenang-wenangnya seorang saintis Muslim mengkorbankan alam dan hidupan lain demi meraih keuntungan yang besar. Etika dan hukum agama juga diambil kira. Itulah ciri- ciri saintis muslim yang sebenarnya...



~Pembentang daripada UNESCO Paris: prof. Solbak~

Peluang menghadiri konferen dan pameran Biomalaysia 2009 pada 17 November yang lalu membuka seluas-luas pendedahan tentang kemajuan bioteknologi yang boleh dikomersialkan di dalam dan di luar negara. Selain itu, terdapat juga perbentangan kertas kerja yang menyentuh aspek etika dan tanggungjawab menjadi seorang saintis. Saya begitu tertarik dengan perbentangan kertas kerja oleh Syaikh Saifuddin daripada Yayasan Ilmuan Malaysia yang turut berkongsi tentang STAF model.

~kultur tisu~

STAF Model

S: Siddiq- truthful
T: Tabligh- communication
A: Amanah- trustworthiness
F: Fathonah- wisdom


~Perwakilan daripada UIAM...~

Jika anda peka, itulah sebenarnya ciri-ciri mahupun sifat mulia Nabi Muhammad saw. Seorang saintis muslim harus melengkapi dirinya dengan sifat-sifat mulia baginda saw. Bayangkan apabila dilengkapi ciri-ciri kebijaksanaan, kejujuran, kemahiran menyampaikan maklumat dan bertanggugjawab ke atas segala amanah, saintis ini bisa menyelamatkan dunia mungkin dengan mereka cipta teknologi pemulih pencemaran, menghasilkan produk kesihatan sejagat dan lain-lain.

"Allahlah yang telah menciptakan langit dan bumi dan menurunkan air (hujan) dari langit, kemudian dengan air itu Dia mengeluarkan berbagai buah-buahan sebagai rezeki untukmu.."
(Ibrahim: 32)

31 August 2009

Hilangnya Sebutir Permata ...

7 comments:

~Ramadhan~

"Salam, saya ingin confirmkan penyertaan saya dalam pertandingan bercerita pada esok hari." Akhirnya saya berjaya membuat keputusan untuk menyertai pertandingan bercerita (remaja) marhaban@astro 2009. Pada mulanya agak susah untuk saya membuat keputusan memandangkan saya ada kelas Bioprocess pada hari dan waktu yang sama. Meninggalkan kelas di saat peperiksaan hampir tiba adalah suatu yang tidak pernah kulakukan. Namun, Allah permudahkan segalanya... Dengan lembut madam berkata, "owh, kamu masuk pertandingan di Astro? Pergilah, saya tak kisah. Yang penting kamu belajar..." Alhamdulillah...





Maklumat tentang pertandingan yang disampaikan oleh seorang sahabat, Hazreen beberapa hari yang lalu telah membuka seluas-luas ruang dan peluang untuk saya menyampaikan risalah baginda di hari pertandingan. Saya fikir, mungkin ini suatu peluang yang baik untuk saya berkongsi tentang sirah rasul junjungan kepada masyarakat umum di luar sana. Syukur, Allah mengilhamkan kepada saya untuk membawa kisah saat kewafatan baginda Rasulullah saw. Lalu, saya meminjam buku-buku dan video daripada sahabat-sahabat (terima kasih Wan, K. Aini, Jannah, Afiqah dll...) untuk saya membuat rujukan di samping menghayati dengan sebenar-benar penghayatan detik-detik kewafatan Rasulullah yang amat kasihkan umatnya.



~Salam sejahtera ke atas semua ...~

Kita mungkin seringkali mendengar ungkapan yang berbunyi, "Tak kenal maka tak cinta ..." Pada akhir zaman ini, saya yakin masih ramai yang tidak mengenali siapa rasul kita yang terakhir, apatah lagi untuk jatuh cinta kepadanya. Cuba kita bertanya kepada diri, selama ini adakah kita menyedari betapa cinta dan kasihnya Allah dan rasul kepada kita? Apakah kita merasai kehadirannya dalam hati? Sudahkah kita berusaha untuk mengenali baginda Rasulullah saw? Tidakkah kita punya sedikit ruang di hati untuk cinta dan kasih sayang Allah dan rasul??? Kasihkan rasul bermakna kasihkan Allah yang maha Kuasa, yang Mencipta.

~Ukht Aishah & akh Yassin ...~

Diriwayatkan dalam sebuah hadis, saat kewafatan baginda Rasulullah saw, baginda menyebut-nyebut tentang umatnya. Baginda juga sanggup untuk menanggung separuh kesakitan maut yang sakitnya umpama seratus belah pedang menusuk ke dada. Kemudian Rasulullah berpesan kepada para sahabat.."Jangan tinggalkan solat kalian. Jangan tingglkan solat kalian.." Agaknya mengapa Rasulullah berpesan demikian? Sudah pastilah kerana baginda sayangkan kita. Baginda tak mahu di akhirat kelak, segala amalan mulia kita disekat hanya kerana solat yang tidak sempurna apatah lagi yang ditinggalkan. Solatlah amalan pertama yang akan dihisab. Dan solat merupakan tiang agama. Barangsiapa yang meninggalkan solat, bererti dia telah meruntuhkan agamanya.. Nauzubillahi min zalik...

~Alhamdulillah ...~

p/s: Mohon doa dan restu sahabat-sahabat agar saya dapat membawa mesej ini dengan baik pada grand final di Klang, 6 September nanti, insya-Allah.


daripada Anas bin Malik r.a. berkata, sabda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam yang bermaksud:

“Allah Subhanahu wa ta’ala mewahyukan kepada Musa a.s., Nabi Bani Israil, bahawa: ‘Sesiapa menemuiKu dalam keadaan menentang kenabian dan kerasulan Ahmad, nescaya Aku akan memasukkannya ke dalam neraka.’ Nabi Musa a.s. bersabda, ‘Wahai Tuhanku! Siapakah Ahmad itu?’ Allah Subhanahu wa ta’ala berfirman, ‘Tidak Aku jadikan seorang makhluk yang lebih mulia daripadanya. Aku menulis namanya di samping namaKu di ‘Arasy sebelum Aku menjadikan langit dan bumi. Sesungguhnya syurga diharamkan ke atas sekalian makhlukKu sehinggalah dia memasukinya terlebih dahulu dan juga umatnya...”

(Riwayat Abu Nu’aim di dalam Al-Hilyah)

10 August 2009

Feel The Experience ...!

No comments:



Tarikh : 1-2 Ogos 2009
Tempat : Dewan Kompleks Dagangan Mahkota, Kuantan
Angkatan : 1 (UIAM Kuantan)




Merasai kewujudan cinta dan kasih sayang Tuhan serta rasul-Nya dalam hati adalah rasa yang paling membahagiakan. Syukur sekali apabila dipertemukan dengan 'ESQ Leadership Training' yang menjadi salah satu wadah penge'cas' rasa cinta hamba kepada Tuhannya dan rasa rindu umat kepada rasulnya. Tiada rasa yang paling bahagia melainkan yang itu. Lalu, syukurlah pada Dia yang maha Satu.


Dalam diri manusia ini tersedia sudah tiga kecerdasan sebagai anugerah Tuhan kepada hambaNya iaitu kecerdasan intelektual (IQ), kecerdasan emosi (EQ), dan kecerdasan spiritual (SQ). Kita mungkin seringkali mengabaikan kecerdikan yang paling utama iaitu kecerdikan spiritual yang bisa menjadi penghubung kepada kesemua kecerdikan yang lain. EQ juga adalah sebagai pati yang mampu sebati dalam setiap tindakan kita.

Sebagai hamba, dia meletakkan sepenuh ketakwaan kepada PenciptaNya. Sebagai pelajar, dia berusaha sedayanya. Hatta sebagai ibubapa, amanah Tuhan (anak) diasuh sepenuh makna. Walau siapa pun kita, dedikasikanlah tiap perlakuan kita keranaNya. Atas sebab itulah kita bisa berada di dunia sementara. Beribadah hanya untukNya yang maha Pengasih lagi Maha Pemurah, yang Maha Adil lagi Maha Penyayang.



"Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan),
Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat)"

(Asy- Syam: 9-10)

21 July 2009

Rehlah Mahabbah ...

No comments:


Tarikh: 19 Julai 2009
Tempat: Sg. Panching, Kuantan

"Hidup berhalaqah, terpatri akidah dan ukhwah, menyemai kasih mahabbah kerana Allah.."



Saat kaki melangkah ke tanah, terpancar sudah segala keindahan alam di sana. Hati sedikit tenang melihat air jernih mengalir deras menuju ke hilir. Kanak-kanak pula bermain dengan riang di sini sana. Hati sekali lagi diusik dengan suasana bahagia melihat beberapa keluarga beriadah bersama. Sesekali teringat pula pada ayah dan bonda..."Ramainya orang pada hari Ahad ni..." Kata saya dalam hati. Inilah masa mereka berehlah agaknya.


Sejurus tamat kelas Tissue Culture pada hari itu, saya bersama beberapa orang sahabat terus meluncur laju menuju ke Sg Panching. Dalam hati rasa tak sabar pula untuk smpai ke sana. Sebahagian sahabat- sahabat yang lain sudah lama tiba. Kami sedikit kelewatan memandangkan ada kelas yang harus dihadiri dulu. Apa pun syukur kerana kami sampai dengan selamatnya.. Alhamdulillah...

Pastinya peristiwa dan masa yang diluangkan bersama sahabat-sahabat pada hari itu tidak terasa ruginya. Dalam sedar atau tidak, ikatan persaudaran kami semakin akrab. Mana taknya, waktu itu kami belajar erti beralah dan bertolak ansur. Waktu itu, kami belajar erti sabar dan tenang. Waktu itu juga kami belajar erti hormat dan memahami.. Pasti ada ertinya semua itu kan...? Rasulullah juga amat mengasihi para sahabat sewaktu hayatnya. Hasilnya, ketidaannya masih terasa hingga kini.
"Dengan nama Allah yang Maha Pengasih dan Pemurah"
(Al-Fatihah: 1)

17 July 2009

Siswa Berbakti Menyemai Budi ...!

No comments:
~Aturcara & aktiviti...~


Tarikh : 9-12 Julai 2009
Tempat : Kg. Ubai, Penor, Kuantan.


~Baru sampai ke Kg. Ubai~


"Nanti buat 'simbolik' penyerahan anak angkat ye.." Pesan En Kadri, pengerusi JKKK Kg. Ubai.

Hari itu, saya dipertanggungjawbkan untuk menjadi pengerusi majlis. Membuka majlis, slot daripada Amanah Raya Berhad, sessi penyerahan anak angkat, dll... Sejujurnya, saya tidak pernah menjadi pengerusi majlis secara formal. Tidak formal tu sudah biasalah. Kadang-kala terasa lemas juga dengan protokol. Mujur tidak terlalu berat. Tetapi apa yang menarik, pengalaman itulah, yang tidak dipunyai sesiapa melainkan orang yang menghadapinya..


~K. Noni (ABIM), sdr. Hafiz (Moderator), Ust. Zuridan (UMP), sdr. Fakhrurazi (x-SRC UIAM)~


Selain itu, saudara Faisal, saudara Saiful dan saya harus berkerjasama mengendalikan slot forum di masjid sana. Tajuk yang dipilih, "Belia cemerlang, Kampung Gemilang, Negara Terbilang". Ternyata ahli panel berjaya mengupas tajuk daripada beberapa aspek. Mereka berbicara soal realiti semasa, kepentingan & sumbangan belia, ruang & peluang untuk belia dll. Saya juga begitu tertarik dengan cerita tentang ashabul ukhdud yang dilontarkan oleh Ust. Zuridan seperti mana yang sudah tercatat dalam kitab al-Quran.



~Mak & ayah angkat...~


Kak Noni juga ada berkongsi tentang tips pendidikan awal anak-anak dalam melahirkan belia yang cemerlang, iaitu salah satunya, sentiasa membacakan surah Taha ayat 1-6 dan menghembuskan pada ubun-ubun kepala anak-anak untuk melembutkan hati mereka. Menyebut tentang ayat ini, terimbau pula sejarah bagaimana Saidina Umar yang amat bengis sebelum pengislamannya mampu dilembutkan hatinya dengan izin Allah untuk mengucapkan kalimah dua shahadah setelah terdengar adik perempuannya membacakan ayat ini..


~Salam perpisahan...~

Hari terakhir merupakan saat yang paling mengharukan yang juga bercampur dengan pelbagai perasaan. Ada gembira, ada teruja, ada sedih, ada bahagia. Apa pun, sebagai mahasiswa, sewajarnya kami mengambil peluang ini untuk menyelami hidup dan permasalahan masyarakat awam di luar sana. Usah dibiarkan hidup kita hanyut dengan dunia sementara tanpa mengenal ummat manusia amnya.


"Maka orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, mereka memperoleh ampunan dan rezeki yang mulia."
(al-Hajj: 50)

08 July 2009

Uzlah Pimpinan ...

No comments:

Tarikh : 4-5 Julai 2009
Tempat : Amansari, Pantai Sepat.

Bersyukur pada Dia yang memberi ruang dan peluang untuk kami beruzlah sambil bermuhasabah. Meneliti setiap tindakan lalu menjadi keutamaan yang paling jitu. Menilai semula segala keputusan dan kata adalah suatu yang harus diperhalusi bersama. Namun, bagi seorang pemimpin, tentu sekali perkara yang paling mencabar adalah memutuskan segala keputusan dengan bijaksana. Betul keputusan itu, betullah tindakannya. Salah keputusan itu, salahlah tindakannya. Dan sudah pasti tiap apa yang diputuskan mahupun tiap apa yang dilaksanakan, bakal diperhitung di akhirat sana.


Pesan Tuhan untuk orang yang beriman, sedarilah dalam tiap urusan, setelah berusaha akan sesuatu perkara, haruslah dikembalikan pada Dia, yang berhak ke atas segalanya. Pesanan ini, sekali gus membuat kita berasa kekuasaan itu asalnya adalah milik-Nya. Sesungguhnya hal itu amat benar. Tugas kita sebagai hamba dan khalifahNya hanya berusaha untuk bertindak. Hasilnya, biar saja Dia yang menentukannya. Ternyata itu lebih menenangkan. Fahami makna usaha bisa membuahkan ketinggian tawakkal kita pada Dia. Dan sudah tentu, tiada rugi apa-apa.

"Apabila kamu telah berazam, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya, Allah mencintai orang-orang yang bertawakal. (Ali-Imran: 159)"

29 June 2009

Air Percuma ...

No comments:

"Tira, jom ikut mak balik kampung sabtu ni. Minggu depan dah nak balik Kuantan..." Pelawa mak semborono. Dalam kepala saya ligat mengingatkan sesuatu sebelum saya mengatakan "okey". Seingat saya, ada perhimpunan belia di Rembau pada hari itu. Namun hati kecil mengatakan, ikut saje mak balik kampung, apatah lagi musim buah sekarang. Atuk pun berkali-kali telefon, menanyakan kami bila nak balik kampung untuk tengok buah. Buah rambutan dah masak ranum katanya. Ternyata tiada ruginya pulang ke kampung. Jumpa atuk, dapat durian. Jumpa sepupu mak, dapat lagi durian. Orang datang rumah, pun bawa durian, hingga badan sentiasa hangat dek bahangnya durian. Namun, saya terasa tenang sekali bila berada di kampung. Sejuk, segar dan nyaman sekali... Rasa macam nak tinggal sana jer..huhu.

Hari Ahad. Kami harus pulang ke Seremban. Ayah saya akan bekerja di Kuala Lumpur keesokan harinya. Dalam perjalanan pulang, saya melihat, ramai betul orang singgah di tepi jalan untuk ambil air. Saya pelik. Kemudian saya ternampak notis yang mengatakan, ''masak air sebelum diminum". Dalam fikiran saya, kalau begitu, sama ajelah dengan air di rumah. Kena masak juga..huhu. Saya bertambah pelik, apabila hampir 4-5 buah kereta sanggup berhenti untuk tunggu giliran mendapatkan air 'percuma' di lereng bukit tersebut. Ada juga yang membawa berbotol-botol malah bertong-tong bekas air untuk stok dua minggu mungkin..


Kata ayah, ramai orang suka ambil air kat situ sebab percuma. Lagi satu, air itu seolah sudah ditapis oleh ribuan batu-batu besar mahu pun kecil sehingga menghasilkan air sejernih itu. Macam air mineral juga.. Tapi kalau nak minum, elok la dimasak dulu. Hal ini sedikit sebanyak mencetus idea dalam minda saya, sebagai salah seorang pelajar bioteknologi. Rasa terpanggil pula untuk menyertai pengkhususan Bioenvironment pada tahun ketiga nanti. Hati kecil saya menyimpan hasrat... kena kaji juga air ni..! Insya-Allah.
"Dan apakah orang-orang kafir tidak mengetahui bahawa langit dan bumi keduanya dahulu menyatu, kemudian Kami pisahkan antara keduanya, dan Kami jadikan segala sesuatu yang hidup berasal dari air; maka mengapa mereka tidak beriman?"
(Al-Anbiya': 30)

28 June 2009

Pemimpin vs Dipimpin ...

No comments:
~Sdr. Fahmi (Exco Penerangan PKPIM) menyenaraikan presiden-presiden PKPIM dulu sehingga kini ~



Bicara soal pemimpin, pimpinan, kepimpinan, memimpin, dipimpin mahu pun terpimpin, mampu menemukan kita pada satu kata dasar iaitu pimpin. Namun, sudah pasti tiap kata terbitan itu punya maksud yang berbeza. Asasnya pimpin itu bermaksud, memegang sesuatu untuk membawa kepada sesuatu. Soalnya, siapakah yang memimpin dan siapakah yang dipimpin? Mungkin persoalan ini dapat dirangkumkan menjadi, 'pimpinan yang terpimpin adalah seorang pemimpin yang memimpin orang yang dipimpin (pengikut)...' Dan sudah pasti kepimpinan yang terulung lagi agung adalah kepimpinan Rasulullah s.a.w.


Pada 25 -26 Jun yang lalu, saya dan sahabat-sahabat pimpinan PKPIM pusat telah berpeluang bersama dengan adik-adik Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan (KMNS) yang terletak di daerah Kuala Pilah. Perjumpaan singkat itu sedikit-sebanyak membuka ruang dan peluang bagi adik-adik Jawatankuasa Pemimpin Pelajar (JPP) KMNS untuk lebih mengenali erti kepimpinan dari aspek ibadah mahu pun sebagai hamba dan khalifah. Namun apa yang penting, konsep vertikal (hablum minallah) dan horizontal (hablum minnas) itu memang wajar difahami seterusnya dihadami oleh setiap yang bergelar pemimpin.


"Akak berpendapat, pemimpin harus punya keikhlasan untuk memimpin, dan pengikut juga harus punya keikhlasan untuk dipimpin. Hanya kerana keikhlasan itu, bisa membawa kita kepada petunjuk-Nya, bisa jua mendapat kekuatan dan rahmat serta pengampunan dari-Nya, insyaAllah." Sedikit pesanan, tinggalan saya buat adik-adik di KMNS sebelum beransur pulang ke Seremban.




"Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah di jalan Allah, mereka itulah yang mengharapkan rahmat Allah. Allah maha Pengampun, Maha Penyayang."
(Al-Baqarah: 218)

24 June 2009

Kita Minum Dulu...!

3 comments:


"Jom kita singgah minum cendol nak?".
"Hm..boleh juga. Selama saya lalu kat jalan ni, tak pernah pulak saya singgah."
"Ok. Tak pe, Siti belanja untuk semua."

Dalam perjalanan pulang ke Seremban seusai tamat program AJC 09' di SMKA Pedas, kak Tiqah memberi idea untuk singgah minum cendol di warung Pak Leman Dawi. Dalam hati saya berkata, dah lama juga tak 'pekena' cendol. Siti pula dengan rela hati nak belanja kami semua. Lalu kami singgah la sebentar untuk mengubat haus di tekak.




Saat melangkah saja di warung Pak Leman, kelihatan ramai betul pelanggannya. Saya cuba mengkaji seketika....

"Ya tuan, jemput masuk.."
" Terima kasih tuan, sila datang lagi..."
"Orang tua-tua selalu berpesan,
Ada 3 benda usah di sorokkan,
buah mangga, cempedak dan durian,
Kalau sorok di dapur, berbau di depan..."
(Mendalam betul maksudnya...huhu.)


Hm, patut la ramai orang suka ke sini. Selain cendol percuma apabila ditambah, pemiliknya sungguh ikhlas dan ramah melayan pelanggan-pelanggannya. Dia tidak akan duduk diam sahaja. Bila ada orang yang baru sampai atau sudah berkemas hendak balik, pasti dia akan hadiahkan dengan madah atau pantun. Jauh di sudu hati, saya amat kagum dengan pak cik ni. Saya cuba mengkaji lagi sambil menghirup cendol yang sedap tu ...



Rupa-rupanya, pak cik ni memang mengamalkan 'budaya ilmu'. Kalau anda perasan, dalam 3 poket apronnya, ada 3 buah buku yang tersisip rapi. Salah satunya adalah buku sejarah negara. Saya fikir pak cik ni memang memiliki jati diri yang teguh. Telinga di sebelah kirinya pula, terlekap sistem panggilan tanpa wayar. Moden dan canggih. Mudah nak jawab panggilan pelanggan mungkin.



Selain itu, warung Cendol Leman Dawi ini, memang menitik beratkan kebersihan. Semua pinggan dan mangkuk yang telah digunakan akan dibasuh menggunakan air panas. Secara saintifiknya, kuman pun bole mati. Kekotoran yang sudah kering pun mudah ditanggalkan. Di meja makan, semut dan lalat pun tidak ada. Saya fikir lagi, itulah ciri-ciri peniaga muslim yang betul-betul mengamalkan sunnah Rasulullah. Ikhlas dan efektif.


p/s: Terima kasih Zati Ilham sebab tolong ambilkan gambar...


"Maka apakah orang yang mengetahui bahawa apa yang diturunkan Tuhan kepadamu adalah kebenaran, sama dengan orang yang buta? Hanya orang yang berakal sahaja dapat mengambil pelajaran."

(Ar-Ra'd: 19)