Bicara soal pemimpin, pimpinan, kepimpinan, memimpin, dipimpin mahu pun terpimpin, mampu menemukan kita pada satu kata dasar iaitu pimpin. Namun, sudah pasti tiap kata terbitan itu punya maksud yang berbeza. Asasnya pimpin itu bermaksud, memegang sesuatu untuk membawa kepada sesuatu. Soalnya, siapakah yang memimpin dan siapakah yang dipimpin? Mungkin persoalan ini dapat dirangkumkan menjadi, 'pimpinan yang terpimpin adalah seorang pemimpin yang memimpin orang yang dipimpin (pengikut)...' Dan sudah pasti kepimpinan yang terulung lagi agung adalah kepimpinan Rasulullah s.a.w.
Pada 25 -26 Jun yang lalu, saya dan sahabat-sahabat pimpinan PKPIM pusat telah berpeluang bersama dengan adik-adik Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan (KMNS) yang terletak di daerah Kuala Pilah. Perjumpaan singkat itu sedikit-sebanyak membuka ruang dan peluang bagi adik-adik Jawatankuasa Pemimpin Pelajar (JPP) KMNS untuk lebih mengenali erti kepimpinan dari aspek ibadah mahu pun sebagai hamba dan khalifah. Namun apa yang penting, konsep vertikal (hablum minallah) dan horizontal (hablum minnas) itu memang wajar difahami seterusnya dihadami oleh setiap yang bergelar pemimpin.
"Akak berpendapat, pemimpin harus punya keikhlasan untuk memimpin, dan pengikut juga harus punya keikhlasan untuk dipimpin. Hanya kerana keikhlasan itu, bisa membawa kita kepada petunjuk-Nya, bisa jua mendapat kekuatan dan rahmat serta pengampunan dari-Nya, insyaAllah." Sedikit pesanan, tinggalan saya buat adik-adik di KMNS sebelum beransur pulang ke Seremban.
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah di jalan Allah, mereka itulah yang mengharapkan rahmat Allah. Allah maha Pengampun, Maha Penyayang."
(Al-Baqarah: 218)
No comments:
Post a Comment