29 June 2009

Air Percuma ...

No comments:

"Tira, jom ikut mak balik kampung sabtu ni. Minggu depan dah nak balik Kuantan..." Pelawa mak semborono. Dalam kepala saya ligat mengingatkan sesuatu sebelum saya mengatakan "okey". Seingat saya, ada perhimpunan belia di Rembau pada hari itu. Namun hati kecil mengatakan, ikut saje mak balik kampung, apatah lagi musim buah sekarang. Atuk pun berkali-kali telefon, menanyakan kami bila nak balik kampung untuk tengok buah. Buah rambutan dah masak ranum katanya. Ternyata tiada ruginya pulang ke kampung. Jumpa atuk, dapat durian. Jumpa sepupu mak, dapat lagi durian. Orang datang rumah, pun bawa durian, hingga badan sentiasa hangat dek bahangnya durian. Namun, saya terasa tenang sekali bila berada di kampung. Sejuk, segar dan nyaman sekali... Rasa macam nak tinggal sana jer..huhu.

Hari Ahad. Kami harus pulang ke Seremban. Ayah saya akan bekerja di Kuala Lumpur keesokan harinya. Dalam perjalanan pulang, saya melihat, ramai betul orang singgah di tepi jalan untuk ambil air. Saya pelik. Kemudian saya ternampak notis yang mengatakan, ''masak air sebelum diminum". Dalam fikiran saya, kalau begitu, sama ajelah dengan air di rumah. Kena masak juga..huhu. Saya bertambah pelik, apabila hampir 4-5 buah kereta sanggup berhenti untuk tunggu giliran mendapatkan air 'percuma' di lereng bukit tersebut. Ada juga yang membawa berbotol-botol malah bertong-tong bekas air untuk stok dua minggu mungkin..


Kata ayah, ramai orang suka ambil air kat situ sebab percuma. Lagi satu, air itu seolah sudah ditapis oleh ribuan batu-batu besar mahu pun kecil sehingga menghasilkan air sejernih itu. Macam air mineral juga.. Tapi kalau nak minum, elok la dimasak dulu. Hal ini sedikit sebanyak mencetus idea dalam minda saya, sebagai salah seorang pelajar bioteknologi. Rasa terpanggil pula untuk menyertai pengkhususan Bioenvironment pada tahun ketiga nanti. Hati kecil saya menyimpan hasrat... kena kaji juga air ni..! Insya-Allah.
"Dan apakah orang-orang kafir tidak mengetahui bahawa langit dan bumi keduanya dahulu menyatu, kemudian Kami pisahkan antara keduanya, dan Kami jadikan segala sesuatu yang hidup berasal dari air; maka mengapa mereka tidak beriman?"
(Al-Anbiya': 30)

28 June 2009

Pemimpin vs Dipimpin ...

No comments:
~Sdr. Fahmi (Exco Penerangan PKPIM) menyenaraikan presiden-presiden PKPIM dulu sehingga kini ~



Bicara soal pemimpin, pimpinan, kepimpinan, memimpin, dipimpin mahu pun terpimpin, mampu menemukan kita pada satu kata dasar iaitu pimpin. Namun, sudah pasti tiap kata terbitan itu punya maksud yang berbeza. Asasnya pimpin itu bermaksud, memegang sesuatu untuk membawa kepada sesuatu. Soalnya, siapakah yang memimpin dan siapakah yang dipimpin? Mungkin persoalan ini dapat dirangkumkan menjadi, 'pimpinan yang terpimpin adalah seorang pemimpin yang memimpin orang yang dipimpin (pengikut)...' Dan sudah pasti kepimpinan yang terulung lagi agung adalah kepimpinan Rasulullah s.a.w.


Pada 25 -26 Jun yang lalu, saya dan sahabat-sahabat pimpinan PKPIM pusat telah berpeluang bersama dengan adik-adik Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan (KMNS) yang terletak di daerah Kuala Pilah. Perjumpaan singkat itu sedikit-sebanyak membuka ruang dan peluang bagi adik-adik Jawatankuasa Pemimpin Pelajar (JPP) KMNS untuk lebih mengenali erti kepimpinan dari aspek ibadah mahu pun sebagai hamba dan khalifah. Namun apa yang penting, konsep vertikal (hablum minallah) dan horizontal (hablum minnas) itu memang wajar difahami seterusnya dihadami oleh setiap yang bergelar pemimpin.


"Akak berpendapat, pemimpin harus punya keikhlasan untuk memimpin, dan pengikut juga harus punya keikhlasan untuk dipimpin. Hanya kerana keikhlasan itu, bisa membawa kita kepada petunjuk-Nya, bisa jua mendapat kekuatan dan rahmat serta pengampunan dari-Nya, insyaAllah." Sedikit pesanan, tinggalan saya buat adik-adik di KMNS sebelum beransur pulang ke Seremban.




"Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah di jalan Allah, mereka itulah yang mengharapkan rahmat Allah. Allah maha Pengampun, Maha Penyayang."
(Al-Baqarah: 218)

24 June 2009

Kita Minum Dulu...!

3 comments:


"Jom kita singgah minum cendol nak?".
"Hm..boleh juga. Selama saya lalu kat jalan ni, tak pernah pulak saya singgah."
"Ok. Tak pe, Siti belanja untuk semua."

Dalam perjalanan pulang ke Seremban seusai tamat program AJC 09' di SMKA Pedas, kak Tiqah memberi idea untuk singgah minum cendol di warung Pak Leman Dawi. Dalam hati saya berkata, dah lama juga tak 'pekena' cendol. Siti pula dengan rela hati nak belanja kami semua. Lalu kami singgah la sebentar untuk mengubat haus di tekak.




Saat melangkah saja di warung Pak Leman, kelihatan ramai betul pelanggannya. Saya cuba mengkaji seketika....

"Ya tuan, jemput masuk.."
" Terima kasih tuan, sila datang lagi..."
"Orang tua-tua selalu berpesan,
Ada 3 benda usah di sorokkan,
buah mangga, cempedak dan durian,
Kalau sorok di dapur, berbau di depan..."
(Mendalam betul maksudnya...huhu.)


Hm, patut la ramai orang suka ke sini. Selain cendol percuma apabila ditambah, pemiliknya sungguh ikhlas dan ramah melayan pelanggan-pelanggannya. Dia tidak akan duduk diam sahaja. Bila ada orang yang baru sampai atau sudah berkemas hendak balik, pasti dia akan hadiahkan dengan madah atau pantun. Jauh di sudu hati, saya amat kagum dengan pak cik ni. Saya cuba mengkaji lagi sambil menghirup cendol yang sedap tu ...



Rupa-rupanya, pak cik ni memang mengamalkan 'budaya ilmu'. Kalau anda perasan, dalam 3 poket apronnya, ada 3 buah buku yang tersisip rapi. Salah satunya adalah buku sejarah negara. Saya fikir pak cik ni memang memiliki jati diri yang teguh. Telinga di sebelah kirinya pula, terlekap sistem panggilan tanpa wayar. Moden dan canggih. Mudah nak jawab panggilan pelanggan mungkin.



Selain itu, warung Cendol Leman Dawi ini, memang menitik beratkan kebersihan. Semua pinggan dan mangkuk yang telah digunakan akan dibasuh menggunakan air panas. Secara saintifiknya, kuman pun bole mati. Kekotoran yang sudah kering pun mudah ditanggalkan. Di meja makan, semut dan lalat pun tidak ada. Saya fikir lagi, itulah ciri-ciri peniaga muslim yang betul-betul mengamalkan sunnah Rasulullah. Ikhlas dan efektif.


p/s: Terima kasih Zati Ilham sebab tolong ambilkan gambar...


"Maka apakah orang yang mengetahui bahawa apa yang diturunkan Tuhan kepadamu adalah kebenaran, sama dengan orang yang buta? Hanya orang yang berakal sahaja dapat mengambil pelajaran."

(Ar-Ra'd: 19)

23 June 2009

Ayuh Jadi Cemerlang 09′ (AJC 09′)

No comments:

Tempat: SMK Agama Pedas, Rembau
Tarikh: 19 - 21 Jun 2009

Seramai 160 pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Pedas telah berpeluang mengikuti program Ayuh Jadi Cemerlang 09′ (AJC 09′) anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia Negeri Sembilan (ABIMNS) yang berobjektifkan memperkukuh jati diri pelajar muslim untuk mencapai kecemerlangan hidup umumnya dan kecemerlangan Penilaian Menengah Rendah (PMR) khususnya.


Tidak dapat dinafikan , dunia pelajar sememangnya menghadirkan suasana yang penuh dengan cabaran sama ada bagi pelajar yang tinggal di asrama mahu pun yang tinggal di rumah. Seandainya para pelajar tidak dilengkapkan dengan persiapan mental dan jati diri yang teguh, mereka akan mudah terikut-ikut dengan hambatan budaya-budaya negatif seperti budaya hiburan melampau (hedonisme) serta budaya berpacaran.




Dalam proses membentuk jati diri sebagai seorang pelajar muslim sejati, mereka harus mempunyai daya juang (mujahadah) yang tinggi demi meraih kecemerlangan dari aspek duniawi juga ukhrawi. Selain itu, memahami cabaran hidup dengan jelas juga amat penting supaya para pelajar dapat mengharunginya dengan bijak.




Setiausaha Majlis Belia Negeri Sembilan, Saudara Jufitri Joha turut berkongsi rahsia kejayaannya yang pernah bergelar pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) peringkat Negeri Sembilan iaitu konsisten dalam melaksanakan solat fardu subuh di awal waktu dan tidak lupa untuk berzikir walau sibuk dengan pelbagai urusan.



Oleh itu, para pelajar harus berusaha sedaya upaya menyemai budaya murni dan memupuk personaliti diri selaku seorang muslim dengan mengamalkan tuntutan islami serta mencintai ilmu agar mampu mengejar impian yang hendak dicapai dalam hidup mereka.



“Sesiapa yang mengajak kepada kebenaran, maka dia sudah mendapat pahala seperti pahala orang yang mengerjakannya dengan tidak dikurangkan pahala sedikitpun juga. Sebaliknya, sesiapa yang menyeru ke arah kesesatan, maka dia menanggung dosa seperti orang yang mengerjakannya dengan tidak dikurangkan dosanya sedikitpun.”
(Hadis riwayat Muslim)

18 June 2009

Tamadun dan Peradaban Gemilang ...

No comments:


KESEJAHTERAAN yang hakiki lahiriah dan batiniah, duniawi dan ukhrawi adalah antara agenda dan cita-cita luhur didambakan setiap manusia, masyarakat dan bangsa. Bahkan, sejak awal negara merdeka usaha setiap pemimpin ke arah pembinaan sebuah peradaban gemilang. Islam sebagai agama syumul tidak pernah menghalang umatnya membentuk peradaban cemerlang dalam hidup.



Membina peradaban adalah dituntut terhadap setiap Muslim yang beriman kepada Allah. Hal ini kerana dunia adalah satu perjalanan yang harus dimanfaatkan dalam proses pengabdian kepada Allah dengan menyempurnakan tanggungjawab fardu ain dan kifayah secara sempurna, jujur, telus dan amanah.



Setiap umat itu tidak akan berjaya memanfaatkan dunia ini dengan baik jika sikap dan pandangannya terhadap dunia tidak tepat seperti digariskan Allah dan Rasul-Nya kerana alam dan fenomena diciptakan dan ditundukkan Allah untuk khalifah di muka bumi ini. Justeru, penting bagi setiap Muslim diperlengkapkan dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran supaya mereka dapat menguasai dan memanfaatkan dunia ini dengan sebaik-baiknya.



Pendek kata, penting bagi umat Islam memahami dan menghayati Islam sebagai sistem kehidupan menyeluruh untuk menggerakkan pembinaan sebuah peradaban dicita-citakan. Sehubungan itu, Allah menegaskan dalam al-Quran ada tiga ciri utama yang menjadi landasan utama kelahiran sebuah masyarakat sejahtera, kerajaan adil dan peradaban unggul.



Allah berfirman yang bermaksud: "Kerana kebiasaan aman tenteram kaum Quraisy (penduduk Makkah); Iaitu kebiasaan aman tenteram perjalanan mereka (menjalankan perniagaan) pada musim sejuk (ke negeri Yaman) dan pada musim panas (ke negeri Syam); maka hendaklah mereka menyembah Tuhan yang menguasai rumah (Kaabah) ini; Tuhan yang memberi mereka penghidupan, menyelamatkan mereka daripada kelaparan dan mengamankan mereka daripada ketakutan." (Surah Quraisy, ayat 1-4)



Intisari kandungan surah Quraisy mengungkapkan tiga ciri utama masyarakat sejahtera yang dinikmati kaum Quraisy satu ketika dulu. Pertama, setiap anggota masyarakat sentiasa beribadah kepada Allah dan menjauhkan diri daripada kesyirikan sama ada syirik terang mahupun syirik tersembunyi.


Ini bermakna setiap Muslim seharusnya memahami konsep hidup sebagai suatu pengabdian kepada Allah, konsep kerja seharian sebagai ibadah, manusia sebagai khalifah Allah untuk memakmurkan dunia ini dan kewajipan mencapai kekuatan dalam hidup sebagai jihad pada jalan Allah. Keimanan dan ketakwaan kepada Allah adalah kunci utama limpahan kurniaan Ilahi yang tidak terhitung, manakala syirik pula hanya akan menghancurkan pahala segala amal baik yang dilakukan.


Bukankah Allah sudah berfirman: "Dan sesungguhnya yang sudah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada Nabi terdahulu daripadamu: Demi sesungguhnya! Jika engkau (dan pengikutmu) mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah), tentulah akan gugur amalmu dan engkau akan tetap menjadi dari orang yang rugi. (Janganlah menyembah yang lain dari Allah) bahkan (apabila beribadat) maka hendaklah engkau menyembah Allah semata-mata dan hendaklah engkau menjadi dari orang yang bersyukur." (Surah al-Zumar, ayat 65-66)


Kedua, kesejahteraan sesuatu bangsa wujud apabila mereka bebas daripada kelaparan dan kebuluran kerana keperluan hidup diperoleh oleh setiap anggota masyarakat. Dalam hal ini, masyarakat memerlukan kerajaan adil dan beramanah dalam menunaikan amanah kepemimpinan di bahu setiap pemimpin. Oleh itu, setiap pemimpin mesti berusaha mengutamakan kepentingan masyarakat mengatasi kepentingan peribadi dan kroni.



Begitu juga kerajaan adil sentiasa menyediakan segala prasarana dan pelbagai kemudahan asas untuk kemaslahatan masyarakat. Kerajaan perlu memenuhi lima prinsip syariah iaitu menjaga, memartabatkan dan memperkasakan agama, akal, nyawa, harta dan keturunan. Akhirnya, ciri ketiga masyarakat yang sejahtera adalah anggota masyarakatnya bebas daripada ancaman rasa takut seperti takut kelaparan, takut menghadapi hari esok, takut menghadapi pelbagai cabaran hidup.



Hal ini kerana hasil pengabdian Muslim yang ikhlas kepada Allah dan juga natijah pelaksanaan amanah Allah dengan sempurna. Dalam hal ini, setiap masyarakat perlu diberikan kefahaman Islam jelas yang membolehkan mereka menghayati dan sekali gus mewarisi wawasan peradaban unggul. Kehidupan berkualiti hanya dapat dicapai jika setiap manusia berusaha menguasai pelbagai cabang ilmu pengetahuan, kemahiran dan kepakaran di samping mengukuhkan ketrampilan akhlak terpuji.


Mudah-mudahan ketiga-tiga ciri itu dapat dihayati dan seterusnya disemarakkan dalam setiap sendi kehidupan bangsa dalam usaha kita untuk membentuk kembali sebuah peradaban atau tamadun Islam yang pernah dirintis oleh Rasulullah SAW dan generasi sahabat selepasnya.

12 June 2009

Antara Tugas dan Tanggungjawab ...

7 comments:




Antara tugas dan tanggungjawab, apakah ada bezanya? Andai persoalan sebegini diajukan kepada anda, apakah respon kalian? Adakah anda akan memilih tugas? Atau tanggungjawab? Ataupun kedua-duanya..? Dua frasa ini mungkin punya maksud yang berbeza. Tanggungjawab seorang ibu, mengasuh serta mendidik anak-anaknya di samping menjadi penolong tadbir tidak rasmi dalam kerajaan rumah tangga. Dan tugas seorang doktor, merawat pesakit sewajarnya. Agaknya ada beza tak??




Namun, mahu tidak mahu, kedua-duanya terkandung amanah yang harus dilaksanakan. Demikian juga tugas dan tanggungjawab seorang hamba dan khalifah. Sayangnya, masih ramai yang tidak menyedari hakikat ini. Hakikat yang mana setiap insan itu wajib menjalankan amanah menyeru kepada kebaikan dan mencegah segala bentuk kemungkaran serta beriman kepada Allah swt. Rasul junjungan pernah berpesan, sampaikanlah walau satu ayat. Ini jelas menuntut kita untuk bersedia berkorban demi agama Allah. Dan pasti tiada rugi orang-orang yang berkorban di jalanNya.



Dalam tempoh seminggu ini, saya diuji dengan tugas dan tanggungjawab. Alhamdulillah, saya berkesempatan menghadiri dewan muslimat Pas di Shah Alam. Sekadar memenuhi undangan mewakili badan bukan kerajaan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) sebagai pemerhati. Kemudian, sibuk pula dengan persediaan Perkampungan Menara Gading Kebangsaan (PMGK) bertempat di Uia Gombak pada 5-7 Jun yang lalu. Sejurus selesai PMGK, ambil kesempatan untuk ziarah adik-adik di Pusat Asasi Uia kampus Pj dan Nilai. Akhirnya, mewakili PKPIM ke Kovensyen Pendakwah Negara anjuran JAKIM bertempat di Hotel Grand Seasons, K. Lumpur.



Di kala kita merasa lapang, terasa bagai burung terbang tanpa sayapnya. Tetapi, bila kita merasa sibuk, bagai kesesakan di hutan belantara kota. Benarlah kata Rasulullah, ingat lima perkara, sebelum datang lima perkara. Pertama, ingat hidup sebelum mati. Kedua, ingat kaya sebelum miskin, Ketiga, ingat sihat sebelum sakit. Keempat, ingat muda sebelum tua. Kelima, ingat lapang sebelum sempit. Jadi, sementara kita ada semua, ayuh laksanakan bersama tugas dan tanggungjawab kita. Mudah-mudahan diberkati olehNya.. Ameen.




"Katakanlah sesungguhnya solatku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam" (al- An'am: 162)

01 June 2009

Malu Benteng Maksiat ...

No comments:



HILANGNYA perasaan malu dalam jiwa boleh menyebabkan seseorang insan itu tanpa segan silu mengerjakan maksiat. Baru-baru ini kita digemparkan dengan tajuk utama akhbar, “Trend Baru Remaja Melayu: Kelab Tiada Dara”.


Memetik laporan akhbar itu: “Walaupun masih belasan tahun, mereka bangga tiada dara. Kumpulan remaja Melayu terbabit juga menubuhkan kelab untuk bertukar teman lelaki. Ahlinya diwajibkan memakai tatu.”


Ini hanyalah sekelumit pendedahan mengenai sikap anak muda kita yang semakin jauh hanyut hidup bergelumang maksiat disebabkan hilangnya sifat malu. Sehubungan itu, ada satu keperluan mendesak untuk menerapkan sifat malu iaitu aspek ditekankan ajaran Islam dalam jiwa setiap umat Islam.


Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Iman mempunyai lebih daripada enam puluh cabang. Adapun malu adalah salah satu cabang dari cabang iman.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)



Abu Mas’ud ‘Uqbah bin ‘Amr al-Ansari al-Badri berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya salah satu perkara yang sudah diketahui manusia dari kata-kata kenabian terdahulu adalah: Jika engkau tidak malu, berbuatlah sesuka hatimu.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)



Menurut al-Hafidz Ibnu Hajar al-’Asqolani: “Secara bahasa malu (al-Hayaa’) bermaksud perubahan yang ada pada diri seseorang kerana takut melakukan perbuatan dapat menimbulkan aib. Dari segi terminologi pula ia bererti perangai yang mendorong untuk menjauhi sesuatu yang buruk dan mencegah untuk tidak memberikan sesuatu hak kepada pemiliknya.”



Malu adalah satu cabang daripada cabang iman kerana ia dapat menjadi faktor mendorong seseorang menjadi insan yang taat kepada segala perintah Allah dan mencegahnya daripada terjerumus dalam perbuatan maksiat.

Mengenai hubungan iman dan malu, Ibnu Quthaibah berkata, sifat malu dapat menghalang dan menghindarkan seseorang melakukan kemaksiatan seperti iman. Maka sifat malu disebut sebagai iman, seperti sesuatu dapat diberi nama dengan nama lain yang dapat menggantikan posisinya.


Perasaan malu sudah diwarisi daripada nabi terdahulu kepada satu generasi ke generasi dan oleh itu anjuran supaya memiliki perasaan malu kekal menjadi sebahagian syarak bagi umat Nabi Muhammad SAW.


Sabda Baginda SAW supaya mereka yang tidak malu untuk berbuat sesuka hati mereka, ulama mentafsirkannya dengan tiga cara, pertama iaitu perintah berbentuk ancaman jika tiada malu, buatlah perkara bertentangan syarak kerana pasti akan dibalas Allah.


Firman Allah yang bermaksud: “Kerjakanlah olehmu apa-apa yang kamu kehendaki, sesungguhnya Dia melihat apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Sajdah, ayat 40)


Kedua ialah perintah berbentuk penjelasan bahawa bagi sesiapa yang tidak memiliki perasaan malu maka dia tidak akan malu untuk melakukan apa juga perbuatan termasuk perkara yang bercanggah dengan syariat.


Ia kerana yang mampu mencegah seseorang daripada mengerjakan maksiat adalah perasaan malu. Sabda Baginda SAw yang bermaksud: “Barang siapa melakukan pembohongan atas namaku, dia hendaklah mengambil tempat duduknya daripada api neraka.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)


Ketiga, perintah yang menunjukkan erti pembolehan seperti dijelaskan Imam al-Nawawi: “Perintah itu mengandungi erti pembolehan. Maksudnya, jika engkau ingin mengerjakan sesuatu, maka lihatlah jika perbuatan itu sesuatu yang menjadikan engkau tidak merasa malu kepada Allah dan manusia, maka lakukanlah. Jika tidak maka tinggalkanlah.”


Pendapat pertama adalah pandangan yang dipilih majoriti ulama dan lebih tepat. Demikianlah bagaimana Rasulullah SAW menitikberatkan umatnya menerapkan perasaan malu dalam kehidupan seharian kerana ia boleh menghalang seseorang melakukan perkara dilarang.


Sifat malu adalah gabungan daripada sifat takut akan dosa dan keinginan untuk menjaga kesucian diri. Namun sifat malu tidak seharusnya menyebabkan seseorang itu mensia-siakan hak Allah dan Rasul-Nya, diri sendiri serta ahli keluarganya.

Kita tidak boleh malu menuntut ilmu, melaksanakan amar makruf nahi mungkar atau malu untuk bekerja mencari nafkah. Sifat malu sebegini adalah malu yang tercela dan hanya menunjukkan kelemahan jiwa seseorang insan.


Oleh itu hendaklah kita memupuk dalam jiwa perasaan malu yang positif kerana ia adalah akhlak Islam yang dituntut. Sabda Baginda yang bermaksud: “Sesungguhnya setiap agama memiliki akhlak, dan akhlak Islam adalah malu.” (Hadis riwayat Imam Ibnu Majah)


Rasulullah SAW bersabda lagi: “Sesungguhnya Allah Maha Pemalu (al-Hayaa’) dan Maha Menutupi (al-Sitr), Dia mencintai rasa malu dan yang tertutup. Apabila salah seorang daripada kalian mandi, maka hendaklah dia menutupi diri.” (Hadis riwayat Imam Abu Dawud)