"Subhanallah, apa salah mereka?" Soalku berkali- kali.
"Mereka disiksa di penjara ni kerana dianggap bijak terutama yang berkaca mata." Jawab Salleh dengan Bahasa Melayu baku.
Salleh merupakan salah seorang warga Kemboja yang banyak membantu kami menjadi jurubahasa sepanjang lawatan kami ke penjara Tuol Sleng.
"Berkaca mata? Kenapa pula mereka disiksa dengan cara ditebuk di kepala, dicabut kuku guna besi, direndam dalam tempayan kerana berkaca mata?" Saya soal lagi bagi mendapatkan kepastian.
"Mereka yang berkaca mata sudah tentu boleh membaca. Jadi, sesiapa yang mampu membaca pada waktu itu dianggap bijak dan punya potensi yang tinggi untuk menggulingkan kerajaan. Jadi, mereka dibunuh sebelum berlaku apa- apa pemberontakan." Terang Salleh panjang lebar sambil berjalan dari satu bilik ke satu bilik yang sebelum ini digunakan sebagai penjara mahupun tempat siksaan.
Kami dalam satu pasukan 'Misi Kemanusiaan ke Kemboja UIAM Kuantan 2012' mendapat gambaran yang jelas tentang sejarah kekejaman kerajaan Kemboja di bawah pimpinan Pol Pot pada tahun 1975-1979.
Saya agak terkedu apabila sebuah bilik di penjara menyimpan timbunan tengkorak manusia yang disiksa dangan kejam sehingga mati. Tengkorak tersebut pernah disusun oleh Pol Pot bagi memenuhi lakaran peta Kemboja.
Saya agak terkedu apabila sebuah bilik di penjara menyimpan timbunan tengkorak manusia yang disiksa dangan kejam sehingga mati. Tengkorak tersebut pernah disusun oleh Pol Pot bagi memenuhi lakaran peta Kemboja.
Lebih menyatakan hati bayi- bayi dibedil selepas dilambung ke udara. Selain itu, ada bayi atau anak kecil dihayun dan dihantuk sehingga pecah kepala mereka pada sebatang pokok. Kemudian dicampak mayat bayi tersebut ke kawasan yang mempunyai timbunan mayat- mayat yang lain.
Hati saya bagai direntap sekuatnya. (Sudah tiada akalkah manusia akhir zaman ini?) Namun, jawapan yang tepat adalah manusia yang bersikap zalim itu terlebih dahulu telah menzalimi dirinya sendiri kerana tidak menggunakan akal dengan sempurna sebaliknya menggunakan emosi untuk memuaskan nafsu dan hati.
Namun, jauh di sudut hati, saya amat bersyukur kerana punya peluang untuk hidup aman di Malaysia. Bebas berlari ke sana - sini, bebas meningkatkan daya kreativiti bagi menyumbang kepada pembangunan negara amnya. Doa saya buat mangsa- mangsa yang beragama Islam agar dirahmati roh mereka oleh-Nya.

Saya amat tersentuh apatah lagi bila mengenangkan mereka adalah saudara seakidah. Usahlah kerana kefakiran mereka menjadikan mereka kufur atau jahil dengan agama.
Saya juga ligat berfikir, mengapa tahap kebersihan dalam kalangan mereka kurang? Walhal Islam itu indah dan bersih.
Mengapa mereka berebut- rebut sewaktu sumbangan diedarkan walaupun hanya sebatang pensel? Walhal Islam mengajar supaya kita bersabar dan menghormati antara satu sama lain.
Lagi, mengapa mereka lebih memilih untuk menerima berbanding memberi?
Lihatnya seolah- olah ramai yang lebih suka menanti sumbangan yang berupa makan, pakaian dan lain- lain. Namun, jika mereka bersatu untuk kemajuan antara satu sama lain, pasti lebih banyak memberi keuntungan kepada diri mereka mahupun kepada agama.


Namun, di sebalik itu, saya berfikir lagi, gigihnya penduduk kampung Chongkoh yang rata- rata tinggal dalam bot beratap separuh ini. Ruang dalam bot itulah ruang solat, ruang makan, ruang tidur, ruang rehat, mahupun ruang tamu.
Subhanallah, bagaimanalah keadaan mereka jika dilanda ribut mahupun hujan lebat. Sungguh tak mampu membayangkan keadaan mereka saat itu, nauzubillah.
Tapi sepekara lagi yang membuat saya berfikir panjang apabila teringat akan pesanan Nabi, "pisahkanlah tempat tidur bagi anak perempuan dengan anak lelaki."
Bagaimana perkembangan psikologi anak- anak kecil mahupun dewasa dalam rumah sekecil itu? Subhanallah, sungguh mereka tabah.
"Doakan saya cepat kaya. Saya nak beli tanah dan buat rumah untuk mereka supaya dapat tinggal dengan selesa sambil mengusahakan kebun." Luah Mdm. Narimah, salah seorang pensyarah di Kuliyyah Sains Kesihatan Bersekutu yang juga merupakan salah seorang ahli daripada pasukan kami. Kami yang ada di situ turut men'amin'kan agar dimakbulkan niatnya yang baik itu.

"Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu)"
(Al-Baqarah: 152)
No comments:
Post a Comment