27 September 2009

Siwak ...???

No comments:


Siwak ataupun sugi bermaksud membersihkan mulut dengan menggunakan ranting sejenis pokok yang berasal dari negara-negara Timur Tengah. Antara adab menggunakan siwak atau bersugi adalah seperti berikut :

1. Mengamalkan secara istiqamah. Ini berpandukan kepada sebuah hadis yang bermaksud: Aku diperintahkan untuk bersiwak hingga aku bimbang ia diwajibkan kepadaku. - (Riwayat Ahmad dalam al-Musnad)

2. Menggunakan kayu yang sederhana besar dan sederhana panjang.


3. Bersiwak dengan tangan kiri kerana siwak adalah satu instrumen pembersihan dari kekotoran.


4. Memulakan siwak dari sebelah kanan kerana amalan Nabi SAW seperti yang dilaporkan dalam hadis sahih bahawa Baginda sentiasa mendahulukan sebelah kanan. - (Riwayat Abu Daud)


5. Bersiwak dengan gerakan vertikal dan horizontal supaya seluruh gigi dapat disiwak dan dibersihkan daripada kekotoran. Menurut al-imam al-Nawawi dalm Syarah Muslim kaedah itu akan menjadikan seluruh permukaan gigi bersih dari sisa- sisa makanan.


6. Membersihkan kayu sugi selepas digunakan kemudian menyimpannya dalam poket.


Pengarang Kitab Mausua’t al-Adab al-Islamiyyat tidak berkompromi untuk mengatakan siwak ini tetap melebihi kegunaan berus gigi dengan hujah-hujah berikut:


1. Siwak dicintai Allah dan dapat membersihkan mulut.


2. Siwak mempunyai saiz yang lebih kecil dan mudah dibawa.


3. Siwak mudah digunakan di mana-mana tempat sementara berus gigi memerlukan air dan kaedah penyimpanan yang agak menyusahkan.

Namun di kalangan pemikir tempatan, terdapat yang menyatakan berus gigi sudah pun mengambil tempat kayu sugi kerana matlamat pensyariatannya adalah kebersihan mulut dan gigi. Maka apabila kaedah baru lebih moden sudah pun ditemui, maka sewajarnya kita beralih kepada perkara yang lebih baik kerana Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud: “Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.”

Berdasarkan perkara di atas, kesimpulan yang dapat kita lakukan adalah kayu sugi adalah satu sunnah yang penting untuk diamalkan, namun demikian penggunaan berus gigi moden juga adalah satu kaedah penjagaan kesihatan yang baik. Tambahan pula penemuan baru sudah mempermudahkan penghasilan kayu sugi diproses kepada bentuk ubat gigi melalui proses yang tertentu. Wajar bagi umat Islam mengambil berat penggunaan kedua-duanya, tanpa mengabaikan yang lain. Wallahu a’lam.


Nabi SAW bersabda dalam sebuah hadis sahih, maksudnya: "kalaulah bukan kerana kebimbangan membebankan umatku, nescaya aku akan memerintahkan mereka untuk bersiwak pada setiap solat."
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
No comments: