Segala penghuni petala bumbung dan lantai sudah berkumpul.Mamalia ada, reptilia ada, berdarah panas menggelegak pun banyak, berdarah sejuk yang kuat rajuk pun melata. Semuanya berkumpul di tepi permatang untuk bergelanggang. Mahu melihat hari ini dalam sejarah.Sebuah pertempuran yang dinanti-nantikan.Pertandingan memanjat pokok pinang.
30 makhluk ciptaan Tuhan tampil ke depan. Mahu berentap memanjat ke awan. Habuan yang ditawarkan pun agak lumayan. Siapa mendengar pasti tertawan.Sang murai menjerit girang, tanda persaingan bermula sekarang.“Ayuh, ayuh! Jangan mudah berputus asa,” jerit sang punai menyorakkan tupai.“Panjat, panjat! Siapa cepat dia dapat!,” sorak si badak mengusik si katak.
Tupai, katak, beruk dan lotong, memanjat-manjat mara ke atas.
Menoleh ke kanan menoleh ke kiri, sesekali mencanak telinga mendengar sorak rombongan rimba. Sorak yang kuat menambah semangat. Sorak yang semangat menambah kudrat.Tapi pinang bukan sebarang pinang. Licinnya kulit bukan kepalang. Basah pula dek gerimis petang, tidak beranting tidak berdahan. Hanya batang, tinggi kepalang.Peluh memercik sengalnya tulang, pucuk pinang masih menjulang.
Jauh lagi sebuah kemenangan, untuk juara mengecap kejayaan. Satu demi satu peserta jatuh. Letih, sakit, lenguh, tersepuh. Hanya tinggal segelintir yang keras hati, terus mara tidak peduli.Warga rimba berubah hati, dari dorong kepada maki. Tadi beri semangat kini mencaci mengumpat. Tangan masih bersorak, mulut mengeji mencanak.“Sudah-sudahlah, jangan ditamak hadiah yang banyak.
Benda mustahil jangan kejar sampai terkucil,” ujar sang platipus memuncung-muncung.“Kalau kamu mahu sangat tawaran itu, datang sahaja ke sarangku, akan kubelanja!” tawar si merak yang megah berlagak.“Baliklah, hari sudah petang. Ingat di reban, keluarga tersayang” panggil sang itik, terkedek-kedek.Satu demi satu peserta hilang semangat. Tubuh penat, basah keringat. Kudrat tadi semakin susut, ghairah pagi menjadi kecut. Tupai yang lincah jatuh ke tanah, biawak yang buas tergelincir terhempas.
Batang pinang tinggal sebatang, hanya seekor cicak berjuang.“Hahaha! Bodohnya cicak itu. Entah apa yang dia mahu” ketawa si beruk bermuka buruk.“Uhuhuh! Cicak tamak tak ingat anak. Mengejar hadiah tak nampak rumah!” ejek sang kancil tak padan kecil.Cicak terus mencanak.Batang pinang dipanjat tak kira orang.Walau panjatnya lesu perlahan, pinang dipanjat mencapai awan. Bayu petang menghembus kuat, cicak bertahan tak patah semangat. Biar pun diri tinggal sendiri, cicak langsung tidak peduli.Jika tadi semua mengeji, timbul kagum semua berdiri.
Kutuk tidak didengar lagi, kata semangat kini kembali. Cicak mula terima sorak, jangan undur teruskan tempur. Hadiah bukan tawaran sebarangan, lumayan sekali jangan disesiakan.Sampai di puncak, tersenyum cicak. Cita-cita sudahlah nyata. Tahun ini cicak juara. Hadiah lumayan miliknya jua.Datang wartawan mencari cerita. Bertanyakan rahsia semangat yang waja. Cicak tersenyum tanpa bicara, soalan ditanya, tiada jawabnya.
Fahamlah semua rahsia sang cicak, rupanya dia CICAK YANG PEKAK.PENGAJARANJika mahu berjaya dalam hidup, sesekali belajarlah memekakkan diri daripada melayan cakap orang, sama ada kritikan, sama ada pujian. Jika sudah ditetapkan hala tuju, terus sahaja mara ke hadapan.
“Jika kamu mahu menjadi seorang yang mempunyai pandangan, jadilah seorang yang mempunyai pendirian. Sesungguhnya pandangan menjadi rosak, apabila kamu berbelah bagi”
01 July 2009
Petua Berjaya Yang Luar Biasa ...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment