29 July 2009

Iktibar Isra' Mikraj ...





PERJALANAN Nabi Muhammad SAW dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa sehinggalah ke Sidratul Muntaha pada malam Israk Mikraj memang tidak tercapai dek akal dan satu cara untuk memahami peristiwa itu ialah dengan merujuk kepada al-Quran. Walaupun Israk Mikraj tidak boleh dicerna oleh akal tetapi umat Islam wajib mempercayainya kerana banyak iktibar boleh dikutip daripada peristiwa luar biasa itu selain disyariatkan solat lima waktu sehari semalam.


Pengajaran sudah kita ambil ialah setiap kali melihat perkara luar biasa, selalunya kita akan berkata Maha Suci Allah (Subhanallah). Sementara perkataan hamba yang digunakan merujuk kepada Nabi Muhammad SAW sebagai pengiktirafan. Begitu juga sebahagian kecil tanda kebesaran lain yang berlaku ketika perjalanan itu, semua mempunyai maksud supaya manusia mengambil pengajaran daripada peristiwa itu.


Tetapi malangnya, ramai yang tidak mempercayai Israk Mikraj kerana masih ramai tidak takut apabila melakukan maksiat dan membuat dosa. Jemputan Allah kepada Nabi Muhammad SAW itu menjadi ujian keimanan kepada masyarakat dunia dan untuk melihat keyakinan mereka terhadap agama Allah termasuk syurga, neraka, dosa dan pahala.

Contohnya, apabila Nabi Muhammad SAW diperlihatkan mengenai kumpulan yang menanam sedikit tetapi hasil diperoleh berlipat kali ganda adalah gambaran manusia yang yakin kepada agama Allah berbuat ibadat sedikit tetapi mendapat ganjaran pahala yang banyak. Begitu juga dengan pengalaman dilalui Baginda SAW ketika dibawa melawat neraka dan melihat bentuk seksaan diterima mereka yang ingkar akan suruhan agama serta lalai menunaikan amanah semasa di dunia.

Israk Mikraj melahirkan empat golongan iaitu yang yakin dan terus percaya kepada apa disampaikan Nabi Muhammad SAW seperti Abu Bakar as-Siddiq, yang percaya tetapi tidak yakin seperti Abu Jahal. Dua golongan lagi ialah mereka yang yakin tetapi inginkan bukti sementara yang akhirnya, golongan tidak ambil kisah langsung peristiwa itu. "Golongan keempat itu adalah mereka yang tidak mahu berfikir soal agama langsung dan sewajarnya mereka menjadi ayam daging yang tidak kisah apa berlaku di sekeliling sebaliknya hanya memikirkan diri sendiri saja hingga tiba saat untuk disembelih dan menjadi sajian di meja makan," katanya.

Menyentuh pensyariatan solat, Islam tidak berkompromi dalam hal ibadat itu kerana pentingnya solat, untuk menyampaikan suruhan itu Nabi Muhammad dijemput menemui Allah. Tidak seperti suruhan lain yang diturunkan melalui wahyu. Tujuan manusia diwajibkan menunaikan solat bukan untuk menggembirakan Allah kerana setiap amalan dilakukan manusia di dunia ini akan kembali kepada mereka pada hari dikumpulkan bagi dinilai di akhirat kelak.

Oleh itu, mulai sekarang marilah kita memperbaiki solat kerana manfaat solat ialah untuk menjadikan kita seorang yang tawaduk, ikhlas melakukan ibadat kerana Allah, mendapat ketenangan dan menjauhkan daripada melakukan kemungkaran. Hendaklah kita berusaha menjadi hamba Allah yang diiktiraf kerana hubungan kita dengan Allah kerana kemuncak segala nikmat adalah untuk berjumpa Allah Maha Berkuasa suatu ketika nanti.

"Dan Kami turunkan (Al- Quran) itu dengan sebenarnya dan (Al- Quran ) itu turun dengan membawa kebenaran. Dan Kami mengutuskan engkau (Muhammad), hanya sebagai pembawa berita gembira dam pemberi peringatan." (Al- Kahfi: 105)

No comments: