Tempat: SMK Agama Pedas, Rembau
Tarikh: 19 - 21 Jun 2009
Seramai 160 pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Pedas telah berpeluang mengikuti program Ayuh Jadi Cemerlang 09′ (AJC 09′) anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia Negeri Sembilan (ABIMNS) yang berobjektifkan memperkukuh jati diri pelajar muslim untuk mencapai kecemerlangan hidup umumnya dan kecemerlangan Penilaian Menengah Rendah (PMR) khususnya.
Tidak dapat dinafikan , dunia pelajar sememangnya menghadirkan suasana yang penuh dengan cabaran sama ada bagi pelajar yang tinggal di asrama mahu pun yang tinggal di rumah. Seandainya para pelajar tidak dilengkapkan dengan persiapan mental dan jati diri yang teguh, mereka akan mudah terikut-ikut dengan hambatan budaya-budaya negatif seperti budaya hiburan melampau (hedonisme) serta budaya berpacaran.
Dalam proses membentuk jati diri sebagai seorang pelajar muslim sejati, mereka harus mempunyai daya juang (mujahadah) yang tinggi demi meraih kecemerlangan dari aspek duniawi juga ukhrawi. Selain itu, memahami cabaran hidup dengan jelas juga amat penting supaya para pelajar dapat mengharunginya dengan bijak.
Setiausaha Majlis Belia Negeri Sembilan, Saudara Jufitri Joha turut berkongsi rahsia kejayaannya yang pernah bergelar pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) peringkat Negeri Sembilan iaitu konsisten dalam melaksanakan solat fardu subuh di awal waktu dan tidak lupa untuk berzikir walau sibuk dengan pelbagai urusan.
Oleh itu, para pelajar harus berusaha sedaya upaya menyemai budaya murni dan memupuk personaliti diri selaku seorang muslim dengan mengamalkan tuntutan islami serta mencintai ilmu agar mampu mengejar impian yang hendak dicapai dalam hidup mereka.
“Sesiapa yang mengajak kepada kebenaran, maka dia sudah mendapat pahala seperti pahala orang yang mengerjakannya dengan tidak dikurangkan pahala sedikitpun juga. Sebaliknya, sesiapa yang menyeru ke arah kesesatan, maka dia menanggung dosa seperti orang yang mengerjakannya dengan tidak dikurangkan dosanya sedikitpun.”
(Hadis riwayat Muslim)
No comments:
Post a Comment