06 December 2008
Seindah Mawar Berduri ...
Sekuntum mawar segar, hadiah mak buatku. Merenung dalam kepada mawar membawa seribu satu maksud yang padu. Bukankah tiap apa yang dicipta Allah itu punya pengajaran yang bermakna buat manusia? Lantas teringat daku pada sehelai warkah petikan daripada novel Tautan Hati karya Fatimah Syarha..
"Duhai puteriku,
Sesungguhnya kejadianmu terlalu indah tercipta daripada tulang rusuk Adam yang bengkok untuk dilindungi dan disayangi, bukannya dicipta daripada kepala untuk disanjungi dan dipuja, bukan pula diciptakan daripada kaki untuk dipijak dan dijadikan hamba sahaya. Lantaran daripada keindahan ciptaanmu itu, kau umpama sekuntum bunga yang mana harum aromamu bisa menarik perhatian sang kumbang untuk mendekatimu. Adakah semudah itu kau ingin menyerah diri pada sang kumbang?
Renunglah pada keindahan bunga mawar yang unggul terjaga berpagarkan duri sebagai bentengnya. Dari kejauhan keharumannya mencuri perhatian. Kilauan warnanya yang memancar indah menjadi tarikan. Namun, lantaran pagaran duri yang berbisa itu, sang kumbang tertunduk kagum terhadap keindahan yang terjaga hinggakan ia berfikir beberapa kali sebelum mendekatinya.
Puteriku,
Akuilah hakikat kejadian dirimu yang menjadi pelemah lelaki. Seandainya pakaian malu kau tinggalkan daripada tubuhmu dan perbatasan aurat kau pandang sebarangan, jadilah dirimu hanya sekuntum bunga indah tapi sayang tidak berduri. Kau tidak layak lagi dimahkotakan sebagai si mawar berduri. Sesungguhnya Utusan Allah ada mangatakan tentang bahaya dirimu: "Tidak ada fitnah yang lebih besar setelah wafatku selain daripada fitnah yang berpunca daripada wanita." Adakah kau mahu menjadi penyebab terhadap terhumbannya lelaki ke neraka?
Ingatlah puteriku sayang,
Ingatlah bahawa ciri-ciri seorang wanita solehah ialah dia tidak melihat lelaki dan lelaki tidak melihat kepadanya kecuali atas urusan yang diizinkan. Sesuatu yang tertutup itu lebih indah dan berharga jika dibandingkan dengan sesuatu yang terdedah. Yang tertutup itu indah! Alangkah baiknya jika kau memelihara keindahan dirimu sebagai hadiah yang kudus, suci, mahal dan berharga buat kumbang yang terpilih yang telah dijanjikan Allah buatmu.
Indahnya hidup ini andai melayarinya dengan bernaungkan keredhaan Allah, bertunjangkan ilmu dan kebenaran, bersulamkan akhlak penuh menawan. Sesungguhnya, wanita solehah menjadi idaman setiap insan soleh bernama Adam. "Wanita yang baik itu adalah untuk lelaki yang baik..."Ya Allah jadikan kami bidadari syurga..."
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment