13 May 2010

Mencapai 'Makna'...

No comments:

"Roh yang ada dalam diri, kesannya otak akan berfungsi, hati juga kan mampu merasai." Cikgu Sidek (panggilan mesra) berkongsi sebuah analogi.


Beliau berkongsi lagi, "Dalam kelas ini, penghawa dingin menyejuk rasa, lampu terang menyala dan kipas berputar saja. Kesemua ini berfungsi kerana ada tenaga elektrik yang menggerakkannya. Tenaga itu dijana supaya dapat memberi fungsi sepenuhnya kepada yang lain. Bukan sahaja dalam kelas ini, malah seluruh bangunan, mahallah, kampus, bandar, dan seterusnya. Hebat bukan? Namun, dapatkah kita melihatnya walau kita tahu kekuasaan mahupun kehebatannya?"


Roh yang tadi juga mampu membuat manusia itu hidup. Hidup dalam erti kata otaknya berfungsi untuk berfikir, hatinya juga mampu untuk menjiwai watak dan perasaan. Tanpa roh, terhentilah otak, terpadamlah hati. Jelasnya, manusia itu sudah mati. Itu 'kuasa' roh dalam diri. Persoalannya, dapatkan kita melihat dengan mata atau tunjukkan dengan tangan kita, "itu roh saya"?


Begitulah hakikatnya kewujudan Allah itu. Kita mampu merasai akan kekuasaannya, kehebatannya. Namun, tiada satu pun teknik impirikal yang boleh membuktikan secara zahir akan kewujudanNya.


Maka, betapa pentingnya seseorang manusia itu memahami 'makna' akan sesuatu bukan sahaja dari zahirnya, malah juga dari batinnya. Dalam istilah lain, disebut sebagai perkara 'ghaib' (batin) dan bukan 'ghaib' (zahir).


Sekiranya 'makna' sebegitu mampu dicapai, hiduplah manusia itu dengan sepenuh perasaan. Hidup dengan rasa berTuhan. Hidup dengan rasa peng'awas'an. Hidup dengan rasa kesyukuran. Ringkasnya begitu.


"Adakah sama orang- orang yang mengetahui dengan orang- orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna."
(az- Zumar: 9)


11 May 2010

Langkah Tercipta ...

No comments:

Semalam aku kelukaan,
kecewa kehampaan,
mencalar ketabahan.

Mimpi yang sering ku harapkan,
menjadi kenyataan,
namun tak kesampaian.

ALLAH..
inginku hentikan langkah ini,
bagaikan tak mampu untuk ku bertahan,
semangat tenggelam,
lemah daya,

Haruskah aku mengalah,
namun jiwa kuberbisik,
inilah dugaan.

Dan mataku kini terbuka,
pada hikmah dugaan,
uji keimanan (menguji keimanan),

Tak dilontarkannya ujian,
di luar kekuatan,
setiap diri insan.

ALLAH..
pimpinlah diriku,
tuk bangkit semula,
meneruskan langkah,
perjuangan ini,
cekalkan hati dan semangatku.

Kurniakan ketabahan,
agar mimpi jadi nyata,
PadaMU ku meminta.

Daku mohon agung kudratMU,
Wahai Tuhan yang Satu,
Segalanya dariMU.

~UNIC~


07 May 2010

Memori Thai...

2 comments:


..."Islam ajaran yang berkasih sayang..." Memetik bait-bait indah daripada lagu Ching Ai Ching Ai, nyanyian kumpulan Raihan itu membuat saya merasa damai sekali.


Namun, pastikah kita perasaan itu sama buat pihak yang berlainan agama (sesetengahnya)? Bagi mereka, Islam itu sebaliknya. Ganas. Terorist. Perang.Semasa saya berprogram di Yala (wilayah selatan Thai), saya di bawa melawat ke beberapa tempat di kawasan Pattani temasuklah sebuah masjid yang diberi nama Masjid Sultan Muzaffar Shah, Cre Sek.


Papan tanda nama masjid itu jelas ternampak bekas tembakan peluru yang berlaku pada peristiwa tembak-menembak antara penganut agama Islam dan askar
pada tahun 2004.



Menurut penduduk tempatan, peristiwa itu berlaku di ketiga- tiga wilayah selatan Thai iaitu di Yala, Pattani dan Narathiwat dan seperti berlakunya peristiwa 13 Mei 1969 di Malaysia. Pada hari kejadian, dianggarkan hampir 100 orang terbunuh termasuk orang tua.


Walaubagaimanapun, peristiwa itu kini bukanlah sekadar menjadi sejarah, malah masih berterusan sehingga kini. Saat itu, terus meresap ke dalam hati saya, alangkah beruntungnya hidup di Malaysia. Tiada apa yang mengganggu gugat akan keamanan dan ketenteraman hidup umat Islam khususnya dan warga Malaysia amnya.


Sepanjang keberadaan saya di sana, saya dan ahli jawatan kuasa program serta semua para peserta sempat mengadakan lawatan ke rumah Gabenor Yala yang berasal daripada Bangkok. Beliau ditugaskan untuk mentadbir salah satu wilayah selatan Thai walau dalam keadaan yang agak meragukan keselamatannya.


Semasa sessi bersama beliau, saya berasa sedikit tersentak apabila beliau ada membuat 2 penawaran kepada semua hadirin yang berada di situ, "sesiapa yang ada terjumpa senjata (senapang) atau tahu di mana kedudukan senjata yang banyak, saya akan beri dia wang tunai 30 000 baht (RM3000). Manakala tawaran yang kedua,"sesiapa yang tahu mana-mana perancangan yang ada unsur keganasan, saya akan beri dia wang tunai 100 000 baht (RM 10 000)."


Perkara yang membuat saya tertanya selepas itu adalah, sesuaikah tawaran seperti itu dilontar secara terbuka kepada semua peserta yang umurnya lingkungan bawah 18 tahun. Saya berfikir lagi, jika ada antara mereka yang tahu tentang senjata atau perancangan keganasan itu, apakah
kesan yang bakal dia dapat selain wang tunai seperti yang dijanjikan. Apa pula kesan kepada keselamatannya dan juga keluarganya dalam jangka masa yang panjang?



Realitinya, itulah yang berlaku di sana. Ketiga- tiga wilayah selatan Thai ini mempunyai 90% penduduk yang beragama Islam. Sayangnya, di sana Islam di anggap pengganas dan pemberontak.Namun, apabila diperhalusi keadaan ini,antara faktor utama berlakunya pemberontakan di sana adalah hak asasi mereka tidak dipeduli.


Menurut sejarahnya, Tok Sulung dahulunya adalah seorang pelopor kepada kebangkitan umat Islam di zamannya. Beliau ditangkap, diseksa dan dibunuh gara-gara cuba untuk mempertahankan hak umat Islam di sana. Waktu itu, umat Islam (bangsa Melayu) di sana tidak dibenarkan bercakap dalam Bahasa Melayu dan wajib bertutur dan wajib berurusan dalam Bahasa Siam. Jawatan dalam sistem pentadbiran juga tiada tempat untuk orang Melayu Islam. Pendek kata, mereka ditindas dan didiskriminasi di wilayah sendiri.


Namun begitu, dalam banyak-banyak keganasan dan pemberontakan yang berlaku, tidak dapat dinafikan bahawa disebalik itu ada pihak yang cuba merancang untuk merosakkan imej Islam. Hal seperti itu dipropaganda dengan hasrat untuk berkata kepada dunia, Islam itu terrorist.
Adilkah begitu?


Hakikatnya, Allah Maha Tahu setiap apa yang berlaku. Sebagai umat Islam, sewajarnya kita menyakini dalam hati bahawa Allah itu Maha Adil. Setiap perbuatan itu ada pembalasannya. Saya juga ingin mengajak sidang pembaca untuk kita sama-sama mendoakan kesejahteraan saudara seakidah kita di sana agar sentiasa dikurniakan kekuatan untuk meneruskan kehidupan demi membela agama tercinta. (Al- Fatihah buat mangsa-mangsa umat Islam yang diseksa dan dibunuh tanpa salahnya.)


"Dan janganlah engkau (Muhammad) menuruti orang-orang kafir dan
orang-orang munafik itu, janganlah engkau hiraukan gangguan mereka dan
bertawakallah kepada Allah. Dan cukuplah Allah sebagai pelindung." (al-Ahzab:48)


05 May 2010

Iman itu Mutiara...

No comments:


RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak sempurna iman seseorang hamba sehingga dia memiliki tiga sifat iaitu menafkahkan harta tanpa kedekut, berlaku adil terhadap diri dan memberi salam kepada orang lain.” (Hadis riwayat Ahmad)

Harta benda atau wang ringgit kurniaan Allah kepada hamba-Nya. Harta benda yang dimiliki adalah suatu himpunan amanah dan tanggungjawab perlu diurus dan dibelanjakan sewajarnya.

Oleh itu, manusia yang suka menyimpan harta kerana takut akan kehabisan dan tidak sanggup mengeluarkan sebahagiannya ke jalan hak seperti berzakat pasti tidak akan mendapat keberkatan dan rahmat Allah walaupun dianugerahi nikmat melimpah ruah.

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Tuhanmu yang meluaskan rezeki terhadap sesiapa juga yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang dan peraturan-Nya) dan Dia juga yang menyempitkan (menurut yang demikian). Sesungguhnya Dia Maha Mendalam Pengetahuan-Nya lagi Maha Melihat akan hamba-Nya.” – (Surah al-Israk, ayat 30)

Adil dengan diri sendiri bermaksud seseorang itu menyeimbangkan antara keperluan spiritual (rohani) dan dan fizikal (material, intelektual) di mana semua komponen ini saling berkait rapat dan sangat penting bagi menjadikan kehidupan seseorang seimbang, tenang dan damai.

Memberi salam pula adalah simbol kekuatan ukhuwah yang dituntut Islam untuk diamalkan selalu oleh setiap Muslim menjalani kehidupan bermasyarakat bagi melahirkan perasaan saling hormat menghormati di samping mewujudkan perpaduan dan kasih sayang.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia