11 August 2009

Muktamar PKPIM ke-48 ...


Petang 7 Ogos (Jumaat), aku bertolak ke Kuala Lumpur untuk menghadiri Malam Pengkisahan PKPIM yang bertempat di dewan MAYC. Sebelum itu aku sedang menantikan beberapa orang sahabat yang akan turut bersama ke sana di sebuah masjid bersebelahan dengan SRK Fakeh, Kuantan. Tika itu, asar hampir pula dengan waktunya. Sambil menantikan waktu solat, aku dipertemukan dengan 3 orang anak muda yang usianya dalam lingkungan 10-12 tahun. Melihatkan mereka, rasa rindu pula kepada adik-adik di rumah. Pada kesempatan itu, aku sempat berkenalan dengan mereka sehingga akhirnya kami dapat menonton sebuah video 'pembangunan jiwa' bersama-sama. (Mujur bateri laptop agak mencukupi tika itu..huhu)



Seusai solat, sahabat-sahabatku telah sampai dan kemudian kami menaiki kereta yang dipandu oleh isteri Cikgu Midi (Naib Presiden ABIM Kebangsaan). Kadang-kala hatiku terusik sehingga membuatkan aku cukup kagum wanita yang juga berkerjaya sebagai seorang guru ini. Kak Has panggilan mesranya... Anak kecilnya yang berusia mencecah hampir 1 tahun semakin akrab dengannya hingga tidak mahu berenggang walau seketika. Lihat sahaja bagaimana Kak Has mampu (dengan izin Allah) untuk memandu kereta sambil anak kecil itu lena di pangkuannya. Subhanallah, kasih ibu dan anak...


8 Ogos (Sabtu) berlansung pula Kongres Pelajar dan Penegasan Teras-teras Kenegaraan yang dirasmikan oleh Dato' Saifuddin- Timbalan Menteri Pengajian Tinggi. Isu-isu dan inti patinya, bagiku agak tinggi perbincangannya. Namun aku tidak pasti apa yang dirasa oleh sahabat-sahabat seangkatanku yang sama hadir di sana. Hm.. mungkin antara faktor aku merasakan begitu kerana aku kurang dapat memberikan perhatian lantaran terlalu memikirkan tugasan Animal Tissue Culture yang perlu dihantar melalui e-mel selewatnya hari Ahad. Lalu, aku bertekad untuk segera menyelesaikan dan menghantarkannya pada malam itu juga. Akhirnya, berjaya. Alhamdulillah. Terima kasih Allah.


9 Ogos (Ahad) bermulalah sidang muhasabah untuk menganalisa segala perlaksanaan aktiviti-aktiviti dakwah sepanjang sessi 2008/2009 di peringkat kampus, badan gabungan negeri mahupun di peringkat kebangsaan (pusat). Sebenarnya ucapan dasar presiden PKPIM dan perbentangan laporan kewangan sudah pun bermula pada Sabtu malam. Tapi, kesinambungannya lebih serius pada hari Ahad untuk membahaskan usul serta pelan tindakan bagi pelaksanaan saf qiyadah sessi 2009/ 2010. Tahniah dan takziah kepada semua hambaNya yang telah ditaklifkan sebagai pimpinan PKPIM pusat. Doaku buat kalian, moga telus dalam segala amal kepada Tuhan agar Dia sentiasa merahmati dan membantu kalian.. Ameen.



" Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (ugama) Allah sebagaimana (keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa ibni Maryam (ketika ia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu: “Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan ugamaNya)?” Mereka menjawab: “Kamilah pembela-pembela (ugama) Allah!” (Setelah Nabi Isa tidak berada di antara mereka) maka sepuak dari kaum Bani Israil beriman, dan sepuak lagi (tetap) kafir. Lalu Kami berikan pertolongan kepada orang-orang yang beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka menjadilah mereka orang-orang yang menang."
(As-Saff: 14)