31 August 2009

Hilangnya Sebutir Permata ...

7 comments:

~Ramadhan~

"Salam, saya ingin confirmkan penyertaan saya dalam pertandingan bercerita pada esok hari." Akhirnya saya berjaya membuat keputusan untuk menyertai pertandingan bercerita (remaja) marhaban@astro 2009. Pada mulanya agak susah untuk saya membuat keputusan memandangkan saya ada kelas Bioprocess pada hari dan waktu yang sama. Meninggalkan kelas di saat peperiksaan hampir tiba adalah suatu yang tidak pernah kulakukan. Namun, Allah permudahkan segalanya... Dengan lembut madam berkata, "owh, kamu masuk pertandingan di Astro? Pergilah, saya tak kisah. Yang penting kamu belajar..." Alhamdulillah...





Maklumat tentang pertandingan yang disampaikan oleh seorang sahabat, Hazreen beberapa hari yang lalu telah membuka seluas-luas ruang dan peluang untuk saya menyampaikan risalah baginda di hari pertandingan. Saya fikir, mungkin ini suatu peluang yang baik untuk saya berkongsi tentang sirah rasul junjungan kepada masyarakat umum di luar sana. Syukur, Allah mengilhamkan kepada saya untuk membawa kisah saat kewafatan baginda Rasulullah saw. Lalu, saya meminjam buku-buku dan video daripada sahabat-sahabat (terima kasih Wan, K. Aini, Jannah, Afiqah dll...) untuk saya membuat rujukan di samping menghayati dengan sebenar-benar penghayatan detik-detik kewafatan Rasulullah yang amat kasihkan umatnya.



~Salam sejahtera ke atas semua ...~

Kita mungkin seringkali mendengar ungkapan yang berbunyi, "Tak kenal maka tak cinta ..." Pada akhir zaman ini, saya yakin masih ramai yang tidak mengenali siapa rasul kita yang terakhir, apatah lagi untuk jatuh cinta kepadanya. Cuba kita bertanya kepada diri, selama ini adakah kita menyedari betapa cinta dan kasihnya Allah dan rasul kepada kita? Apakah kita merasai kehadirannya dalam hati? Sudahkah kita berusaha untuk mengenali baginda Rasulullah saw? Tidakkah kita punya sedikit ruang di hati untuk cinta dan kasih sayang Allah dan rasul??? Kasihkan rasul bermakna kasihkan Allah yang maha Kuasa, yang Mencipta.

~Ukht Aishah & akh Yassin ...~

Diriwayatkan dalam sebuah hadis, saat kewafatan baginda Rasulullah saw, baginda menyebut-nyebut tentang umatnya. Baginda juga sanggup untuk menanggung separuh kesakitan maut yang sakitnya umpama seratus belah pedang menusuk ke dada. Kemudian Rasulullah berpesan kepada para sahabat.."Jangan tinggalkan solat kalian. Jangan tingglkan solat kalian.." Agaknya mengapa Rasulullah berpesan demikian? Sudah pastilah kerana baginda sayangkan kita. Baginda tak mahu di akhirat kelak, segala amalan mulia kita disekat hanya kerana solat yang tidak sempurna apatah lagi yang ditinggalkan. Solatlah amalan pertama yang akan dihisab. Dan solat merupakan tiang agama. Barangsiapa yang meninggalkan solat, bererti dia telah meruntuhkan agamanya.. Nauzubillahi min zalik...

~Alhamdulillah ...~

p/s: Mohon doa dan restu sahabat-sahabat agar saya dapat membawa mesej ini dengan baik pada grand final di Klang, 6 September nanti, insya-Allah.


daripada Anas bin Malik r.a. berkata, sabda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam yang bermaksud:

“Allah Subhanahu wa ta’ala mewahyukan kepada Musa a.s., Nabi Bani Israil, bahawa: ‘Sesiapa menemuiKu dalam keadaan menentang kenabian dan kerasulan Ahmad, nescaya Aku akan memasukkannya ke dalam neraka.’ Nabi Musa a.s. bersabda, ‘Wahai Tuhanku! Siapakah Ahmad itu?’ Allah Subhanahu wa ta’ala berfirman, ‘Tidak Aku jadikan seorang makhluk yang lebih mulia daripadanya. Aku menulis namanya di samping namaKu di ‘Arasy sebelum Aku menjadikan langit dan bumi. Sesungguhnya syurga diharamkan ke atas sekalian makhlukKu sehinggalah dia memasukinya terlebih dahulu dan juga umatnya...”

(Riwayat Abu Nu’aim di dalam Al-Hilyah)

25 August 2009

PKPIM 5 Darsawarsa ...

No comments:

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) ...


Sejarah penubuhan dan pelaksanaan gerakan pelajar Islam ...


Rentetan peristiwa sepanjang 5 dekad ...

Berhasrat untuk mendapatkannya???


Boleh hubungi:

013- 6282505
(Sdr. Lina Mursyidah)

19 August 2009

Takwa Dengan Puasa ...

4 comments:


Bagaimana puasa menjadikan kita bertakwa?

Dalam surah al-Baqarah ayat 183 itu telah dijelaskan bahawa puasa itu bukan hanya diperintahkan kepada umat Nabi Muhammad SAW. Sebaliknya, perintah berpuasa yang menjadi ibadat asas itu sudah ada kepada umat-umat nabi terdahulu. Tujuan puasa itu adalah menjadikan kita bertakwa. Tetapi bagi mencapai tahap takwa itu Allah telah gariskan bahawa ia memerlukan kepada iman dan amal soleh.

Maknanya, apabila seseorang itu beriman pasti dia akan beramal soleh dan barulah dia akan mencapai kejayaan sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka dan merekalah orang yang berjaya. (al-Baqarah: 5)
Sebab itu, dalam berpuasa misalnya, untuk menjadikan kita bertakwa, hendaklah kita mematuhi segala syarat yang telah ditetapkan, menjauhi segala perkara yang bukan sahaja membatalkan puasa tetapi juga yang mengurangkan pahala berpuasa.

Jika kita mahu memartabatkan agama, kita perlu cemerlang di dunia dan akhirat. Kalau kita tidak cemerlang, Islam pun tidak hebat. Sebabnya di dalam Islam, konsep cemerlang bagi orang beriman itu merangkumi di dunia dan akhirat. Kita tidak mahu umat Islam hanya hebat dan cemerlang di dunia sahaja. Ada yang suka sambut Ramadan tetapi ramai juga yang 'tidak suka'.

Apakah sikap yang sepatutnya bagi umat Islam dalam menyambut kedatangan Ramadan?

Kita yang berpegang kepada fahaman Ahli Sunnah wal Jamaah meyakini kepada konsep usaha dan tawakal. Maknanya, kita perlu berusaha dan berikhtiar bagi mencapai sesuatu perkara yang baik itu. Kalau nak sihat, kita kena usaha dengan menjaga kesihatan. Kalau nak maju dalam kerjaya, kita kena usaha seperti melakukan tugas dengan efisien, menepati batas waktu yang ditetapkan dan sebagainya.

Demikian juga dengan rohani. Jika kita nak rohani atau jiwa kita itu baik, tidak boleh tidak kita mesti memulakan usaha ke arah itu. Indahnya Islam ini, Allah telah menolong kita mencapainya dengan menetapkan perintah solat dan puasa. Apa yang perlu kita buat adalah laksanakan sahaja perintah itu.

Puasa itu memang ada kesusahan dan rintangannya tetapi kejayaan bagi mereka yang berpuasa dengan ikhlas itu adalah dijamin oleh Allah. Bukannya manusia yang jamin.
Dari segi fizikal pun, para doktor akui bahawa puasa itu baik untuk kesihatan. Ia sebagaimana kata hikmah yang berbunyi: "Berpuasalah nescaya kamu akan sihat".
Buat apa banyak duit kalau tidak sihat. Ibadat puasa ini sebenarnya memberi kekuatan bagi kecapi untuk kecapi nikmat hidup di dunia.


Bagaimana mencapai tahap puasa khawasil khawas (puasa paling khas)?

Puasa itu pun ada tahap-tahapnya. Yang paling rendah ialah puasa orang awam. Puasa begini hanya sekadar meninggalkan makan, minum dan perkara yang membatalkan puasa.
Tingkatan kedua adalah puasa orang khas. Puasa di sini akan cuba menjaga akhlak dan melakukan perkara-perkara sunat bagi menambahkan lagi kualiti puasanya. Tingkatan tertinggi ialah puasa paling khas. Mereka bukan sahaja menjaga segala perkara yang membatalkan puasa tetapi juga perkara yang boleh membatalkan pahala puasa. Anggota badan turut berpuasa dan hati pula sentiasa berzikir kepada Allah.

Inilah tingkatan puasa yang sepatutnya cuba dicapai oleh setiap Muslim.
Antara akhlak bagi mencapai tahap ini ialah menjaga lidah dan mulut. Orang yang berpuasa perlu menjaga lidah daripada bercakap perkara yang sia-sia.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud: Puasa itu adalah perisai. Maka janganlah orang yang berpuasa itu bercakap dengan perkara yang keji dan janganlah dia melakukan perbuatan orang jahil. (riwayat Bukhari)

Kita perlu mengambil perhatian dalam hal ini supaya puasa kita benar-benar berkualiti dan mendapat ganjaran yang dijanjikan oleh Allah. Jangan nanti kita di akhirat kelak menyesal kerana puasa kita hanya sia-sia lantaran tidak mencapai standard yang ditetapkan.
Inilah amaran kepada golongan yang leka dan lalai dalam puasa mereka. Daripada Abu Hurairah r.a. katanya bahawa Nabi SAW. bersabda: Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan buruk sedangkan ia berpuasa, baginya tidak ada kelebihan (pahala) di sisi Allah selain dari lapar dan dahaga sahaja yang didapatinya. (riwayat Bukhari)

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: Siapa yang berpuasa ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, nescaya diampunkan dosanya yang telah lalu.

(riwayat Bukhari dan Muslim)

11 August 2009

Muktamar PKPIM ke-48 ...

1 comment:

Petang 7 Ogos (Jumaat), aku bertolak ke Kuala Lumpur untuk menghadiri Malam Pengkisahan PKPIM yang bertempat di dewan MAYC. Sebelum itu aku sedang menantikan beberapa orang sahabat yang akan turut bersama ke sana di sebuah masjid bersebelahan dengan SRK Fakeh, Kuantan. Tika itu, asar hampir pula dengan waktunya. Sambil menantikan waktu solat, aku dipertemukan dengan 3 orang anak muda yang usianya dalam lingkungan 10-12 tahun. Melihatkan mereka, rasa rindu pula kepada adik-adik di rumah. Pada kesempatan itu, aku sempat berkenalan dengan mereka sehingga akhirnya kami dapat menonton sebuah video 'pembangunan jiwa' bersama-sama. (Mujur bateri laptop agak mencukupi tika itu..huhu)



Seusai solat, sahabat-sahabatku telah sampai dan kemudian kami menaiki kereta yang dipandu oleh isteri Cikgu Midi (Naib Presiden ABIM Kebangsaan). Kadang-kala hatiku terusik sehingga membuatkan aku cukup kagum wanita yang juga berkerjaya sebagai seorang guru ini. Kak Has panggilan mesranya... Anak kecilnya yang berusia mencecah hampir 1 tahun semakin akrab dengannya hingga tidak mahu berenggang walau seketika. Lihat sahaja bagaimana Kak Has mampu (dengan izin Allah) untuk memandu kereta sambil anak kecil itu lena di pangkuannya. Subhanallah, kasih ibu dan anak...


8 Ogos (Sabtu) berlansung pula Kongres Pelajar dan Penegasan Teras-teras Kenegaraan yang dirasmikan oleh Dato' Saifuddin- Timbalan Menteri Pengajian Tinggi. Isu-isu dan inti patinya, bagiku agak tinggi perbincangannya. Namun aku tidak pasti apa yang dirasa oleh sahabat-sahabat seangkatanku yang sama hadir di sana. Hm.. mungkin antara faktor aku merasakan begitu kerana aku kurang dapat memberikan perhatian lantaran terlalu memikirkan tugasan Animal Tissue Culture yang perlu dihantar melalui e-mel selewatnya hari Ahad. Lalu, aku bertekad untuk segera menyelesaikan dan menghantarkannya pada malam itu juga. Akhirnya, berjaya. Alhamdulillah. Terima kasih Allah.


9 Ogos (Ahad) bermulalah sidang muhasabah untuk menganalisa segala perlaksanaan aktiviti-aktiviti dakwah sepanjang sessi 2008/2009 di peringkat kampus, badan gabungan negeri mahupun di peringkat kebangsaan (pusat). Sebenarnya ucapan dasar presiden PKPIM dan perbentangan laporan kewangan sudah pun bermula pada Sabtu malam. Tapi, kesinambungannya lebih serius pada hari Ahad untuk membahaskan usul serta pelan tindakan bagi pelaksanaan saf qiyadah sessi 2009/ 2010. Tahniah dan takziah kepada semua hambaNya yang telah ditaklifkan sebagai pimpinan PKPIM pusat. Doaku buat kalian, moga telus dalam segala amal kepada Tuhan agar Dia sentiasa merahmati dan membantu kalian.. Ameen.



" Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (ugama) Allah sebagaimana (keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa ibni Maryam (ketika ia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu: “Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan ugamaNya)?” Mereka menjawab: “Kamilah pembela-pembela (ugama) Allah!” (Setelah Nabi Isa tidak berada di antara mereka) maka sepuak dari kaum Bani Israil beriman, dan sepuak lagi (tetap) kafir. Lalu Kami berikan pertolongan kepada orang-orang yang beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka menjadilah mereka orang-orang yang menang."
(As-Saff: 14)


10 August 2009

Feel The Experience ...!

No comments:



Tarikh : 1-2 Ogos 2009
Tempat : Dewan Kompleks Dagangan Mahkota, Kuantan
Angkatan : 1 (UIAM Kuantan)




Merasai kewujudan cinta dan kasih sayang Tuhan serta rasul-Nya dalam hati adalah rasa yang paling membahagiakan. Syukur sekali apabila dipertemukan dengan 'ESQ Leadership Training' yang menjadi salah satu wadah penge'cas' rasa cinta hamba kepada Tuhannya dan rasa rindu umat kepada rasulnya. Tiada rasa yang paling bahagia melainkan yang itu. Lalu, syukurlah pada Dia yang maha Satu.


Dalam diri manusia ini tersedia sudah tiga kecerdasan sebagai anugerah Tuhan kepada hambaNya iaitu kecerdasan intelektual (IQ), kecerdasan emosi (EQ), dan kecerdasan spiritual (SQ). Kita mungkin seringkali mengabaikan kecerdikan yang paling utama iaitu kecerdikan spiritual yang bisa menjadi penghubung kepada kesemua kecerdikan yang lain. EQ juga adalah sebagai pati yang mampu sebati dalam setiap tindakan kita.

Sebagai hamba, dia meletakkan sepenuh ketakwaan kepada PenciptaNya. Sebagai pelajar, dia berusaha sedayanya. Hatta sebagai ibubapa, amanah Tuhan (anak) diasuh sepenuh makna. Walau siapa pun kita, dedikasikanlah tiap perlakuan kita keranaNya. Atas sebab itulah kita bisa berada di dunia sementara. Beribadah hanya untukNya yang maha Pengasih lagi Maha Pemurah, yang Maha Adil lagi Maha Penyayang.



"Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan),
Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat)"

(Asy- Syam: 9-10)