15 November 2012

1434 H

No comments:
 
1434 H.
Di mana aku?
Di sana atau di situ?
Berjalan longlai atau bergerak maju?
 
1434 H.
Di mana aku?
Mahu ke sana atau ke situ?
Kekal rata atau meningkat satu?
 
1434 H.
Di mana aku?
Berfikir sejenak atau bertindak melulu?
Ambil tahu atau buat tak tahu?
 
1434 H.
Di mana aku?
Meningkat taqwa atau mendabik dada?
Bersyukur sentiasa atau merungut sahaja?
 
1434 H.
Di mana aku?
Biasa- biasa atau luar biasa?
Tetap di sini atau ke sana?
 
1434 H.
Di mana aku?
Ku mahu hijrah ke jalan-Mu.
Thabitkan aku di jalan itu.
Hingga bertemu yang Maha Satu.
 
 
1 Muharram 1434 H
Cheras, Kuala Lumpur
 

08 November 2012

Syukur dari Kemboja

No comments:
 
 
"Subhanallah, apa salah mereka?" Soalku berkali- kali.
 
"Mereka disiksa di penjara ni kerana dianggap bijak terutama yang berkaca mata." Jawab Salleh dengan Bahasa Melayu baku.
 
Salleh merupakan salah seorang warga Kemboja yang banyak membantu kami menjadi jurubahasa sepanjang lawatan kami ke penjara Tuol Sleng.
 
 
 
 
"Berkaca mata? Kenapa pula mereka disiksa dengan cara ditebuk di kepala, dicabut kuku guna besi, direndam dalam tempayan kerana berkaca mata?" Saya soal lagi bagi mendapatkan kepastian.
 
"Mereka yang berkaca mata sudah tentu boleh membaca. Jadi, sesiapa yang mampu membaca pada waktu itu dianggap bijak dan punya potensi yang tinggi untuk menggulingkan kerajaan. Jadi, mereka dibunuh sebelum berlaku apa- apa pemberontakan." Terang Salleh panjang lebar sambil berjalan dari satu bilik ke satu bilik yang sebelum ini digunakan sebagai penjara mahupun tempat siksaan.
 
 
 
 
Kami dalam satu pasukan 'Misi Kemanusiaan ke Kemboja UIAM Kuantan 2012' mendapat gambaran yang jelas tentang sejarah kekejaman kerajaan Kemboja di bawah pimpinan Pol Pot pada tahun 1975-1979.

Saya agak terkedu apabila sebuah bilik di penjara menyimpan timbunan tengkorak manusia yang disiksa dangan kejam sehingga mati. Tengkorak tersebut pernah disusun oleh Pol Pot bagi memenuhi lakaran peta Kemboja.
 
 
 
 
Lebih menyatakan hati bayi- bayi dibedil selepas dilambung ke udara. Selain itu, ada bayi atau anak kecil dihayun dan dihantuk sehingga pecah kepala mereka pada sebatang pokok. Kemudian dicampak mayat bayi tersebut ke kawasan yang mempunyai timbunan mayat- mayat yang lain.
 
Hati saya bagai direntap sekuatnya. (Sudah tiada akalkah manusia akhir zaman ini?) Namun, jawapan yang tepat adalah manusia yang bersikap zalim itu terlebih dahulu telah menzalimi dirinya sendiri kerana tidak menggunakan akal dengan sempurna sebaliknya menggunakan emosi untuk memuaskan nafsu dan hati.  
 
Namun, jauh di sudut hati, saya amat bersyukur kerana punya peluang untuk hidup aman di Malaysia. Bebas berlari ke sana - sini, bebas meningkatkan daya kreativiti bagi menyumbang kepada pembangunan negara amnya. Doa saya buat mangsa- mangsa yang beragama Islam agar dirahmati roh mereka oleh-Nya.
 
 
 
Selepas lawatan ke penjara Tuol Sleng, pasukan kami yang diketuai oleh Prof. Kamaruzaman Wan Su, berpeluang tinggal bersama- sama penduduk kampung Yol yang beragama Islam. Sekali lagi saya diuji rasa syukur. Saya lihat hidup mereka sangat daif jika dibandingkan dengan rakyat di Malaysia yang rata- rata mewah dengan makanan mahupun pakaian. Di sana, masih ramai anak- anak kecil berlegar- legar tanpa pakaian.
 


 Saya amat tersentuh apatah lagi bila mengenangkan mereka adalah saudara seakidah. Usahlah kerana kefakiran mereka menjadikan mereka kufur atau jahil dengan agama.

Saya juga ligat berfikir, mengapa tahap kebersihan dalam kalangan mereka kurang? Walhal Islam itu indah dan bersih.



Mengapa mereka berebut- rebut sewaktu sumbangan diedarkan walaupun hanya sebatang pensel? Walhal Islam mengajar supaya kita bersabar dan menghormati antara satu sama lain.

Lagi, mengapa mereka lebih memilih untuk menerima berbanding memberi?
Lihatnya seolah- olah ramai yang lebih suka menanti sumbangan yang berupa makan, pakaian dan lain- lain. Namun, jika mereka bersatu untuk kemajuan antara satu sama lain, pasti lebih banyak memberi keuntungan kepada diri mereka mahupun kepada agama.


 
Sungguhpun begitu, saya tidak menafikan bahawa ada juga dalam kalangan mereka yang mempunyai kesedaran ilmu yang tinggi untuk meningkatkan ekonomi diri dan keluarga. Namun, jumlahnya masih kecil. Lalu, saya mencapai satu kunci kepada kebahagiaan dan kejayaan iaitu ilmu. Rasul tercinta juga pernah bersabda, "Jika kamu ingin bahagia di dunia, hendaklah berilmu. Jika kamu ingin bahagia di akhirat juga hendaklah berilmu."
 
 
Misi kemanusiaan selama 7 hari itu disulam dengan aktiviti utama iaitu berkhattan bagi kanak- kanak lelaki. Salah satu pengalaman menarik di Kampung Chongkoh adalah melaksanakan khattan di dalam rumah bot. Ya, bot itulah rumah mereka. Rumah itulah bot mereka. Kami menumpang beberapa buah bot untuk menjalankan khattan. Syukur segalanya lancar walaupun agak mencabar melaksanakan di ruang yang sempit dan gelap.
 
 
 
 
Namun, di sebalik itu, saya berfikir lagi, gigihnya penduduk kampung Chongkoh yang rata- rata tinggal dalam bot beratap separuh ini. Ruang dalam bot itulah ruang solat, ruang makan, ruang tidur, ruang rehat, mahupun ruang tamu.
 
Subhanallah, bagaimanalah keadaan mereka jika dilanda ribut mahupun hujan lebat. Sungguh tak mampu membayangkan keadaan mereka saat itu, nauzubillah.
 
Tapi sepekara lagi yang membuat saya berfikir panjang apabila teringat akan pesanan Nabi, "pisahkanlah tempat tidur bagi anak perempuan dengan anak lelaki."
 
Bagaimana perkembangan psikologi anak- anak kecil mahupun dewasa dalam rumah sekecil itu? Subhanallah, sungguh mereka tabah.
 
 
 
 
"Doakan saya cepat kaya. Saya nak beli tanah dan buat rumah untuk mereka supaya dapat tinggal dengan selesa sambil mengusahakan kebun." Luah Mdm. Narimah, salah seorang pensyarah di Kuliyyah Sains Kesihatan Bersekutu yang juga merupakan salah seorang ahli daripada pasukan kami. Kami yang ada di situ turut men'amin'kan agar dimakbulkan niatnya yang baik itu.
 
 
 
Pada penghujung misi, kami berkesempatan berkenalan rapat dengan keluarga Ustaz Hasan al- Basri yang juga merupakan aktivis dalam Persatuan Islam Kemboja di rumahnya sambil menikmati jamuan makan malam berlaukkan 'lembu panjat bukit'. Gambar kenangan juga dipotretkan di rumah beliau sebagai tanda kenangan bagi Misi Kemanusiaan ke Kemboja UIAM Kuantan 2012. Misi itu menjadi satu pengertian syukur yang besar buat kami semua.
 
 
 
 
"Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu)"
(Al-Baqarah: 152)
 


30 October 2012

Sebuah Persahabatan

No comments:
 

 Kini kuamati,
Bertapa bernilainya ukhwah kita
Salah faham, gurau senda menjadi rencah rasa

Kini kurindui,
Saat kecil mengenal hati budi
Mencari kesefahaman dalam diri

Kini kuhargai,
Nilai ukhwah kerana Illahi
moga dipertemukan di syurgaNya nanti, ameen.
 
 
Nukilan:
13 Zulhijjah 1433 H
29 October 2012
Cheras, Kuala Lumpur
 

09 October 2012

Ada Apa dengan Graduasi...?

No comments:


"Ayah, tira nak sarung jubah konvo pada ayah." Pintaku sejurus melewati pesta coklat di KAED.

Mak pula excited membetulkan butang.

Hatiku bahagia melihat ibu bapaku bahagia. Allah, rahmatilah mereka. ameen.

__________________________________________________________________

Graduasi. Apa maknanya pada anda?

Saya yakin kita semua punya makna yang berbeza.

Ada rakan yang sangat berdebar menantikannya.

Ada pula yang biasa- biasa saja.

dan...

Ada juga yang memilih untuk tidak hadir pada tarikhnya.

Namun, bagi saya graduasi punya makna tersendiri. Saya sedia berkongsi.

Hari graduasi atau Convocation Day pada saya adalah hari me'rai'kan sebuah kejayaan.

Kejayaan itu pula banyak definisinya.

Pada saya, kejayaan bukan hanya diukur pada CGPA semata- mata.

Mari luaskan skop kejayaan dengan melihat kesungguhan kita menyiapkan tugasan, keikhlasan kita mendengar celoteh pensyarah, keupayaan melengkapkan Final Year Project, ketahanan daripada meniru dalam peperiksaan, kesungguhan menepis virus ponteng kelas dengan sengaja dan banyak lagi.

Pendek kata, kejayaan dalam membentuk sikap. Sikap yang akan membentuk jati diri.

Apa makna graduasi jika tiada hormat pada guru, ponteng lagi meniru demi CGPA kelas satu..?

Muhasabah untuk diri saya juga bakal- bakal graduan nanti. Manfaatkan masa di IPT. Bentuk jati diri graduan sejati =)

22 August 2012

R-I-N-D-U

1 comment:
Subhanallah...

Saya rindu. Serius. Saya rindu dengan blog ni.

Saya membaca semula perkongsian- perkongsian lepas.

Terasa segar kembali. Umpama siraman air merenjis ke pipi.

Saya rindu untuk menulis. Saya rindu untuk 'memberi' dan berkongsi.

Jadi, tunggu apa lagi...?

"Tulislah..!" (hati kecil menjerit)

........................................................

Sedikit perkembangan terkini.
Alhamdulillah, kini saya sudah tamat pengajian di Universiti Islam Antarabangsa, Kuantan.

Seronok je bunyinya kan..? Tapi tanggungjawab BESAR sedang menanti saya di luar sana.

Allahu Akbar.

Syukur. Saya juga sedang berkhidmat dengan Health Medic Research Sdn. Bhd. Melaksanakan ujikaji yang bersangkut paut dengan kulit. Ujikaji dibuat ke atas haiwan (arnab & tikus belanda) dan juga ke atas manusia.

Seronok. (^-^)

Si comel arnab dan tikus belanda adalah kawan baru saya.

..........................................................

Saya berhajat untuk berjumpa kalian di 'halaman' lain.

Mohon doa dan restu kalian supaya saya mampu menghasilkan karya pada buku pula, insyaAllah.

Baiklah sahabat- sahabat semua, moga kita ketemu lagi ya.

Mahu mencari idea, idea dan idea.... =)



 "Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya). Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa"

(Surah Asy-Syams ayat 7-8)