22 February 2009

Sabar, sabar, sabar ...

4 comments:




Apa yang anda mengerti tentang sabar? Persoalan ini tampak mudah, namun barangkali agak sukar untuk dijawab, malah kadang-kala sukar sekali untuk ditafsiri. Ya benar, sabar merupakan 1/2 daripada iman. Bukan 1/3, 1/4, mahu pun 1/5. Jadi, peratusnya agak tinggi di situ. Lagi sekali, apa itu sabar? Jika ditanya pada hati, pasti tak semua memahami. Jika ditanya pada mata, pasti tak semua memandangnya. Jika ditanya pada telinga, pasti tak semua mendengarnya.

Saya merasakan sabar itu bisa menggabungkan kesemua aspek deria dan juga hati bila mana sesuatu kondisi hendak difahami. Sabar juga bisa merangkumi daya ketahanan sesuatu perasaan (cth: marah, sedih, dendam, kecewa, dll.) dalam menghadapi satu-satu perkara. Malah sabar boleh dikategorikan kepada tiga tahap. Pertama, sabar dalam menghadapi musibah, kedua sabar dalam melakukan ketaatan. Dan ketiga, sabar daripada kemaksiatan. Maka, sudah pasti ganjaran bagi setiap sabar ini punya kategori yang berbeza.

Hamba A , mengeluh di saat kesempitan wang melanda. Nak beli buku rujukan, nak bayar yuran pengajian, nak beli susu anak, nak bayar bil air dan elektrik. Semuanya perlukan duit. Lalu hamba B pula merasa penat dalam beribadah kepada-Nya. Harus dakwah sini-sana. Berpuasa sunat dan solat malam terasa makin liat. Akhirnya hamba C pula kecundang di lembah nafsu sendiri. Terasa mahu makan sebanyaknya, marah tidak kena tempatnya, dendam lama menjadi bahana.

Persoalannya, sejauh mana kesabaran kita? Setakat mana kita berusaha untuk sabar? Adakah ia bisa diukur dengan silinder penyukat, macrometer, mahu pun termometer? Atau adakah ia bisa digambarkan dengan pelan lukisan dan set geometry? Atau bisa dikira dengan formula x + y = z? Maka, harus kita persoalkan dalam-dalam. Tepuklah dada, tanyalah iman kita.

"Ya Allah limpahkanlah kesabaran kepada kami, dan matikanlah dalam keadaan Islam. (Al-A'raaf: 126)"

13 February 2009

Halaqah Cinta ...

No comments:


"Bertemu cinta dalam halaqah, hidup lebih indah terarah, menyulam tautan hati kerana Allah, terpatrilah ikatan akidah." ~Fatimah Syarhah~


Infiniti kesyukuran kepada Allah swt kerana Dia telah memberi saya peluang dan ruang untuk bersama dengan adik-adik kolej shahputra yang juga merupakan anak usrah saya. (Terima kasih khas buat Intan sebab bagi pinjam motor...[",] ) Asrama mereka terletak tidak seberapa jauh dari kampus indera mahkota jika berkenderaan. Namun, saya sangat tersentuh apabila mengetahui bahawa anak usrah saya sanggup berjalan kaki untuk menghadiri kuliah nisa' di uia. Moga Allah memberkati usaha kalian...ameen.

Saya sering merenung ke dalam diri... Peranan sebagai seorang naqibah menuntut saya lebih banyak berkorban, lebih banyak membaca dan juga lebih bijak memanfaatkan masa. Kini, saya lebih mengerti ungkapan 'masa itu emas'. Sebelum ini, ungkapan itu sekadar meniti di bibir telinga tanpa penghayatan yang cukup mendalam akan berharganya nikmat masa itu. Oh masa, berharganya dikau...!!!

Sebenarnya saya cuba untuk curi masa selepas waktu asar, untuk berusrah bersama adik-adik Shahputra, walaupun pada jam 8.30pm tu saya ada peperiksaaan pertengahan semester. Namun, alhamdulillah saya sempat menghabiskan ulang-kaji sebelum ke sana. Dalam masa yang sama, wajar bagi saya untuk turut mengharapkan keberkatan dan keredhaan-Nya. Mohon Allah permudahkan segala urusan saya di dunia dan di akhirat kelak.

Dalam kesempatan 1 jam itu, kami mulakan dengan tadabbur ayat-ayat suci al-Quran (An-Naba' : 1-6) sambil bersama-sama meneliti tajwid dan makhraj (sebutan) yang betul seterusnya sama-sama menghayati maksud daripada terjemahan. Kemudian ta'aruf (berkenalan) bermodul sedikit sebanyak memberi ruang untuk kami lebih mengenali antara satu sama lain.

Saya mengharapkan usrah yang pertama ini bisa membibitkan kemesraan di antara kami kerana saya yakin kemesraan yang ikhlas kerana-Nya akan melahirkan rasa kasih sayang yang akhirnya membawa kita kepada Pencipta kasih sayang itu sendiri. "Ya Allah, tautankanlah hati-hati kami dengan tali-Mu lalu perkukuhkanlah ikatan akidah kami dalam halaqah ini..Ameen."

"Dengan nama Allah yang maha Pengasih lagi maha Penyayang" (Al-Fatihah:1)

10 February 2009

Demimu Masa ...

No comments:

Salam khabar kepada semua, salam kunjungan buat pembaca...


Hari-hari yang dilalui kini terasa bagaikan sebiji belon yang membulat, padat, dek isipadu udara yang memenuhi ruang-ruang zarah mahupun diskrit. Kerap saja akal dipasak keras agar bijak memilih perkara apa yang perlu diutamakan mahupun disegerakan.


Mid-sem exam.


Quizes.


Tugasan kelas.


Usrah.


Persatuan.


Kebajikan.


Dakwah.


Tarbiyyah.


Mesyuarat.


Penulisan.


dll.

Lagak seperti menteri kononnya. Apa pun, dikurnia akal oleh Dia, untuk itu semua. Bijaklah kita melaksanakan tugas sebagai abd, khalifah, anak, pelajar, sahabat, dll. Bijaklah juga kita menggunakan masa. Sumpah Allah tentang masa ada saja dalam kitab-Nya. Buat renungan kita bersama.


"Demi masa. Sungguh manusia dalam kerugian. kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan kesabaran." (Al-Asr: 1-3)

03 February 2009

Doa Menghindari Sihir ...

No comments:


Menurut Ibn Abi Hatim dan Abu al-Sheikh daripada Laith bin Abi Sulaim r.a, beliau berkata: “Ayat ini dapat menjadi penawar kepada perbuatan sihir dengan izin Allah”.
Allah SWT menjelaskan perjuangan Nabi Musa a.s dan penentangannya kepada Firaun, menyebabkan Firaun mengumpulkan semua ahli sihir terkemuka pada zamannya untuk melawan utusan Allah itu.

Apabila Nabi Musa a.s dan ahli-ahli sihir sudah dihimpunkan di hadapan khalayak ramai pada hari yang dijanjikan itu, maka pertandingan dimulakan dengan dialog, siapakah yang akan memulakan kehebatan masing-masing.

Ahli-ahli sihir sudah pun dijanjikan dengan pelbagai nikmat dunia seperti pangkat, harta dan sebagainya jika berjaya mengalahkan Nabi Musa.Ahli-ahli sihir mula mencampakkan tali-tali mereka lalu gemparlah suasana melihat ular-ular besar yang menakutkan di hadapan mereka. Nabi Musa turut rasa gentar sehinggalah turun wahyu Allah kepadanya supaya bertenang dan membaca ayat-ayat di atas.

Kemudian, giliran Nabi Musa pun sampai. Lalu tongkatnya dilepaskan. Ahli-ahli sihir menjadi gamat kerana apa yang berlaku di hadapan mereka bukanlah sihir olok-olok. Ia adalah kebenaran dari langit tinggi. Mereka akhirnya beriman kepada Musa meninggalkan Firaun dalam kebingungan. (Fi Zilalil Quran, tafsir surah Yunus ayat 81-82).

Khasiat dan kaifiat beramal

Caranya ialah dengan membacakan ayat-ayat ini bersama ayat ke 118 hingga 121 surah al-A’raaf dan ayat ke 69 surah Taha kepada bekas yang mengandungi air.
Kemudian air itu disiram ke atas kepala orang yang terkena sihir itu. (al-Durrul Manthur, tafsir ayat 81-82 surah Yunus)

* Petikan buku 101 Doa Para Nabi dan Rasul dalam al-Quran Khasiat & Kaifiat Beramal terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd.