02 May 2008

Niat..kerja dan ihsan...

Alangkah cantiknya jika kita dapat seragamkan antara niat dengan budaya ihsan dalam pekerjaan. Jika ini berlaku, maka keseragaman niat antara pekerja dan pengurusan terhasil. Apabila niat dan ihsan dilestarikan, kita bekerja dan mengambil pekerja yang memasang niat mencari keredaan Allah untuk meningkatkan produktiviti dan menjamin keharmonian sesebuah organisasi.
Niat adalah asas dalam konsep ihsan dan Islam memberi perhatian berat terhadap peranan manusia dalam meningkatkan kualiti daya pengeluaran dengan membudayakan konsep ihsan ini.

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah, pada suatu hari Rasulullah SAW muncul di antara kaum Muslimin. Lalu datang seorang lelaki dan bertanya: "Wahai Rasulullah, apakah iman itu? Rasulullah SAW menjawab: Engkau beriman kepada Allah, malaikat-Nya, kitab-Nya, pertemuan dengan-Nya, rasul-Nya dan kepada hari berbangkit. Orang itu bertanya lagi: Wahai Rasulullah, apakah Islam itu? Rasulullah SAW menjawab: Islam adalah engkau beribadah kepada Allah dan tidak sekutu-Nya dengan apa pun, mendirikan solat fardu, menunaikan zakat wajib dan berpuasa pada Ramadan. Orang itu kembali bertanya: Wahai Rasulullah, apakah ihsan itu? Rasulullah SAW menjawab: Engkau beribadah kepada Allah seolah-olah engkau melihat-Nya. Dan jika engkau tidak melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia selalu melihatmu."
Maksudnya, setiap saat kita bekerja, kita buat sebaik mungkin, dengan hati dan semangat, kerana kita sentiasa berasa kehadiran Allah yang memerhati setiap perkataan dan perlakuan dalam pekerjaan kita.

Syed Abu Ala Maududi dalam risalahnya Guidelines For Islamic Workers memberi panduan berhubung membudayakan 'ihsan' dalam pengurusan iaitu:

-Mengaitkan pekerjaan dengan beribadah kepada Allah supaya pekerjaan dilakukan sentiasa berada dalam landasan syariat, tidak melakukan perkara haram.


-Membuat yang terbaik untuk mendapat balasan setimpal pada hari akhirat dan sekali gus mendapat imbuhan daripada majikan yang seronok dengan pencapaian sempurna kerja kita
Elak bersifat takbur.

- Tidak memperlekeh rakan sekerja apabila kita berjaya melaksanakan pekerjaan dengan cemerlang.

-Mengambil berat kebajikan keluarga sendiri dan rakan sejawat kerana ia menjadi asas pertumbuhan dan keharmonian tempat kerja.

-Saling bantu membantu dengan semangat setia kawan dan kerja berpasukan untuk kebaikan bersama.


-Memberi teguran dan pengajaran secara membina bagi mengatasi kelemahan di tempat kerja.
Patuh dan taat melaksanakan piawaian yang dipersetujui serta peraturan ditetapkan majikan di tempat kerja.

Namun, konsep ihsan bukan sekadar melaksanakan hak Allah, organisasi, pekerja dan masyarakat umum, malahan ia mencakupi hak haiwan, tumbuh-tumbuhan dan alam sekitar. Mereka yang mengamalkan budaya ihsan akan memperoleh dua ganjaran iaitu ganjaran daripada Allah dan juga daripada alam serta manusia.

Firman Allah bermaksud: "Berbuat baiklah kepada makhluk Allah sebagaimana Allah berbuat baik kepada kamu dengan kurniaan nikmat yang melimpah ruah dan janganlah kamu melakukan kerosakan di muka bumi ini, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang membuat kerosakan." (Surah al-Qasas, ayat 77)

No comments: