SEBENING titisan embun pagi, secerah sinarnya mentari. Bilaku tatap wajahmu ibu, ada kehangatan di dalam hatiku. Air wuduk selalu membasahimu, ayat suci selalu dikumandangkan. Suara lembut penuh keluh dan kesah, berdoa untuk putera puterinya."
Negara malah dunia menjadi makmur, aman sentosa apabila memiliki ibu berkualiti. Dunia ideal yang tidak ada anak merempit, ketagih ganja dan syabu, lari dari rumah seperti yang kita dengar dan lihat hari ini baik di akhbar, majalah, radio, TV mahupun internet.
Teringat pula kepada Maryam, ibu Nabi Isa yang diabadikan kisahnya dalam al-Quran yang bermaksud: "Dan ingatlah (wahai Muhammad) ketika malaikat berkata: Wahai Maryam, sesungguhnya Allah telah memilihmu dan mensucikanmu, dan telah memilihmu untuk beroleh kemuliaan melebihi perempuan seluruh alam yang sezaman denganmu. Wahai Maryam, taatlah kepada Tuhanmu (Allah), dan sujudlah serta rukuklah (mengerjakan sembahyang) bersama orang yang rukuk."
Ciri apakah yang ada pada Maryam sehingga dia dipilih Allah? Tentu sekali kerana ketakwaannya serta kekuatan ibadatnya kepada Allah. Begitu juga ibu Nabi Musa, Khadijah, Fatimah binti Rasulullah SAW, Asma' binti Abu Bakar dan wanita Muslimah lain yang dikenang sejarah. Semua mereka memiliki ciri ketakwaan unggul.
Ibu yang patuh kepada perintah Allah dan Rasulullah SAW serta menghayati ajaran Islam sudah tentu ciri itu diikuti anak mereka. Mereka melahirkan pemimpin dunia yang agung dan dikenang sepanjang zaman.
Ramai ibu hari ini berjaya menghasilkan jutawan, tokoh akademik, doktor, jurutera dan profesional pelbagai bidang. Apakah ini kayu ukur sebenar kejayaan seorang ibu? Kerana kita akan bertanya balik, berapa ramaikah anak yang berjaya ini menjadi penjenayah kolar putih, kolar biru dan berapa mensia-siakan hidup mereka.
Nilai kejayaan dan kecemerlangan ibu perlu dilihat daripada kejayaan anak yang pintar ilmu, emosi dan spiritual. Satu nilai yang mengambil kira nilai dunia dan akhirat ialah takwa. Jika anak itu menjadi pekerja tidak kira berpangkat atau sebaliknya, biarlah mereka menjadi pekerja yang bertakwa kerana ia adalah kejayaan buat ibunya.
Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya yang paling mulia antara kamu di sisi Allah adalah yang paling bertakwa." (Surah al-Hujurat, ayat 13)
Kata-kata hikmat bahawa 'tangan yang menghayun buaian itu boleh mengubah dunia' mengajak kita ibu berazam untuk menjadi ibu mithali yang akan mencorakkan generasi unggul pernah disaksikan sejarah suatu ketika dulu.
No comments:
Post a Comment