13 August 2010

Kuasa Cinta ...


"Kak long, tolong ambilkan ayah air." Pinta seorang ayah yang usai pulang dari kerja.

Kak long lalu datang dari dapur dengan membawa segelas air kosong.

"Ayah, kak long pelik la... Ayah macam tak nampak orang lain selain kak long dalam rumah ni. Asyik- asyik suruh kak long." Rungut si anak pertama.

* * *

Pada hari esoknya...

"Kak ngah, tolong ambilkan ayah air. Kering betul tekak ni." Pinta ayah.

Kak ngah yang sedang menonton televisyen bingkas bangun dan menuju ke arah dapur. Lalu, membawakan ayahnya segelas air kosong.

"Ayah, ni airnya. Lepas ni, kalo ayah nak minta kak ngah ambilkan air, ayah bagi upah ye.." Permintaan daripada anak kedua.

* * *

Pada minggu yang lain...

Selepas menyandarkan badan ke sofa, ayah meminta anaknya yang ketiga bawakan air untuknya. "Kak Lang, bawakan ayah segelas air."

Kak lang lalu dengan pantasnya menghidangkan segelas air dan meletakkannya di atas meja tanpa berkata apa-apa. Kemudian, dengan pantas juga dia menghilangkan diri dari pandangan ayahnya.

* * *

Pada suatu petang...

"Kak ateh, tolong bawakan ayah segelas air. Ayah haus la..." Pinta ayah dari anaknya yang keempat.

Kak teh saat itu sedang membantu ibunya menyidai pakaian segera menuju ke dapur dan membancuh teh untuk dihidangkan kepada ayahnya.

"Ayah, ni air teh untuk ayah. Sekejap ye ayah, kak ateh potongkan kek pisang sekejap."

Beberapa minit kemudian kak ateh datang kepada ayahnya dengan membawa sepiring kek pisang beserta semangkuk air basuh tangan dan sehelai kain pengelap tangan.

"Terima kasih." Jawab ayah.

* * *

Pada tahun berikutnya...

Ayahnya ditugaskan untuk menyelesaikan tugasan kerja di Indonesia. Sebelum ayahnya bertolak, kesemua anaknya bersalam sambil membuat beberapa pesanan.

"Ayah, nanti ayah belikan kak long beg tangan kulit buatan sana ye.. Da lama kak long idamkan." pinta anak pertama.

"Hm.. tengok la dulu. Kalau ayah terjumpa nanti, ayah belikan." Jawab ayah ringkas.

Anak kedua pula meminta...

"Ayah, sayang kak ngah tak? Ayah, nanti belikan untuk kak ngah kasut ye. Sampai sekarang Kak ngah ada 5 pasang je. Kawan-kawan kak ngah ada kasut 1 almari."

"Mmm... tengok la macam mana nanti." Balas ayah.

Kemudian, anak ketiga juga tidak melepaskan peluang untuk membuat pesanan kepada ayahnya.

"Ayah, kak lang nak minta ayah belikan kak lang gelang. Itu saja."

"Ye lah kak lang." Jawab ayah mudah sambil berkata dalam hati, walaupun anak aku yang seorang ni selalu takut- takut dengan aku, tapi tak pernah bantah cakap aku. Aku kena belikan dia sesuatu ni...

Terakhir, anak keempat pula bersalam dengan ayahnya...

.....

Agaknya apakah yang ayahnya mahu berikan untuk anaknya yang seorang ni?

Sudahlah tak pernah membantah, taat pula. Adab dan sopan 'kelas pertama'. Dan jika dia terbuat silap, mohon ampun sebanyak-banyaknya walau silapnya taklah sebesar mana.

* * *

Maka cuba anda bayangkan, sekiranya diibaratkan anak keempat itu sebagai seorang hamba yang melaksanakan perintah Tuhannya dengan rasa rela tanpa terpaksa. Melakukan sesuatu dengan gembira melebihi apa yang diwajibkan ke atasnya. Perkara sunat menjadi hobinya dan tiada apa yang diharapkan melainkan redhaNya. Lalu, hati berbunga, harum bahagia.

Soalnya, apakah yang membuat dirinya berasa bahagia bak seluas alam semesta?

Sudah tentulah kerana kuasa CINTA.

Dengan cinta, segala yang terpaksa menjadi rela.

Dengan cinta, segalanya menjadi 'percuma'. (tidak mengharapkan balasan)

Dengan cinta, segalanya ditempuh jua. (melaksanakan suruhan bukan kerana takut semata)

dan...

Dengan cinta, segalanya menjadi bahagia.

* * *

Dan cuba anda bayangkan juga apakah yang mahu Tuhan berikan kepada hamba yang melaksanakan perintahNya atas dasar cinta dan rela. Bukan kerana terpaksa. Sudah pasti pemberian Tuhan lagi berlipat kali ganda. Walau tanpa dipinta. Bukti cintaNya jua kepada kita.


Ayuh, sandarkan cinta kepada yang Maha Pencipta. Pencipta rasa cinta. Agar kita mampu berasa bahagia bak seluas alam semesta, insyaAllah.


Katakanlah (Muhammad), "Jika kamu mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mencintaimu dan mengampuni dosa- dosamu." Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang.

(ali- Imran: 31)

3 comments:

hakim.halim said...

cerita sndiri ke?menarik!! sembolik sgt!

MUHAMMAD HAMKA BIN IDRIS said...

salam..

cerita yang ringkas dan menarik..
1001 maksud yg tersirat..

Nor Athirah bt Md Sharif said...

anak soleh: extract dari ikim.fm (setelah diubah suai sdkt tnpa berubah mksudnya, insyaAllah)

hamka: alhamdulillah. bole kongsikan kpd yg lain...