30 November 2008

Wirid, zikir penenang jiwa paling mujarab ...

No comments:




PADA era serba cergas ini, kehidupan di bandar megapolitan khasnya yang segalanya mesti dilakukan dengan pantas dan tepat sehingga jiwa, hati serta badan manusia memerlukan sesuatu yang sesuai untuk menyeimbangkannya. Oleh itu, orang bandar terpaksa mencari jalan penyelesaian dengan pelbagai cara untuk mendapatkan keseimbangan diri termasuk beriadah secara fizikal atau spiritual atau kedua-duanya.

Namun, bagi Muslim semua amalan harian, mingguan, bulanan, tahunan atau seumur hidup sama ada wajib, sunat, haram, makruh, mahupun harus yang ditetapkan Allah SWT untuk dilaksanakan mempunyai tujuan duniawi dan ukhrawi termasuk untuk menenangkan jiwa, menyejukkan hati dan menyihatkan badan.

Apabila Islam datang bersama Rasulullah SAW dengan visi dan misi kerahmatan lil 'alaminnya, semua amalan masyarakat Arab ketika itu diganti dengan amalan yang sesuai dengan kehendak Allah SWT. Sebagai contoh, amalan menyembah tuhan selain Allah yakni patung berhala secara tabik hormat, rukuk dan sujud diganti dengan amalan solat yang disertai takbir, rukuk, iktidal, sujud, duduk tasyahhud dan taslim.

Begitu juga dengan amalan lain termasuk hari keraian Nairuz dan Mahrajan di Madinah diganti dengan Aidilfitri dan Aidiladha. Semuanya sesuai dengan hukum syarak yang dibawa Baginda SAW atas perintah Allah SWT. Seorang Muslim mempunyai amalan tersendiri daripada yang wajib hingga harus. Amalan ini berasal daripada ajaran al-Quran dan sunnah. Ada juga amalan yang disebut zikir dan tafakur.

Ramai terkeliru menyamakan tafakur dengan meditasi padahal kedua-duanya mempunyai perbezaan ketara. Ketika bertafakur mesti ada dalam minda kita mengenai kekuasaan Allah, sedangkan dalam meditasi minda mesti dikosongkan. Mengosongkan minda bererti satu kerugian menimpa diri kerana kita mensia-siakan masa yang perlu diguna sebaik-baiknya
Zikir sudah sering disentuh dalam ruangan ini, tetapi wirid baru kali ini dijelaskan. Wirid dan zikir mempunyai persamaan dan perbezaan.

Persamaannya, kedua-dua amalan ini mengingati Allah dan perbezaannya adalah wirid lebih khusus daripada zikir kerana zikir boleh dibuat bila-bila masa dan dalam keadaan apa pun jua. Wirid mempunyai tatacaranya tersendiri seperti yang akan kita lihat dalam penjelasan berikut.

Dalam Kamus Dewan wirid mempunyai takrifan sebagai "1. petikan daripada al-Quran yang ditentukan untuk dibaca (dipelajari dan lain-lain); 2. zikir yang dibaca selepas sembahyang," manakala Kamus Kontekstual Lengkap al-Khalil menterjemahkan wirid dengan erti "sedikit air, nasib, sebahagian Quran dan sebagainya, sekumpulan burung, tentera, mengambil air, mendekati air."

Dalam A Dictionary of Modern Written Arabic ia diterjemahkan sebagai specified time of day or night devoted to private worship (in addition to the five prescribed prayers); a section of the Koran recited on this occasion. Menurut istilah ahli tasawuf dan pengertian secara umum dalam disiplin ilmu Islam, wirid bermakna seperti ditulis Syeikh Muhammad al-Madini dalam artikelnya bertajuk al-Wird, "azkar makhsusah min al-quran wa sunnah Rasulillah wa min athar al-'ulama al-'amilin" atau zikir khusus daripada al-Quran, sunnah Rasulullah SAW dan amalan ulama muktabar.

Zikir dibaca pada masa tertentu siang atau malam sehingga seolah-olah si pembaca wirid mengambil air apabila dia berasa haus. Menerusi zikir secara amnya dan wirid secara khasnya membuat mukmin tenang jiwa, sejuk hati dan sihat badannya seperti ditegaskan al-Quran maksudnya: "Ketahuilah! Dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia." (Surah al-Ra'du: 28)

Sebagai amalan khusus yang mempunyai tatacaranya sendiri, wirid mempunyai dasar hukumnya daripada al-Quran dan sunnah Nabi. Imam Tirmizi meriwayatkan bahawa seorang sahabat datang kepada Rasulullah SAW sambil mengeluh: "Wahai Rasulullah, alangkah banyaknya hukum hakam syarak yang seakan-akan membebaniku, berikanlah aku sesuatu agar aku tetap teguh melaksanakannya. Baginda menjawab: Basahilah lidahmu dengan selalu berzikir kepada Allah."

Agar Allah mencukupkan kita dengan apa saja yang kita inginkan mengenai perkara dunia dan akhirat, maka kita cukup dengan membaca tujuh kali pada pagi dan petang potongan ayat 129 Surah al-Taubah yang bermaksud: "Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepada-Nya aku berserah diri, dan Dialah yang mempunyai 'Arasy yang besar." (Hadis riwayat Ibn Sunni dan Ibn 'Asyakir secara marfu')

Bukankah wirid ini menanamkan pada jiwa kita sifat tawakal dan berserah diri kepada Allah? Agar hati kita tidak mati pada siang dan malam, maka bacalah dua ayat terakhir Surah al-Isra' setiap pagi dan petang seperti diriwayatkan dalam hadis al-Dailami. Bukankah wirid ini mengajar kita betapa penting menjaga hati agar tetap terang di bawah sinaran Allah?

Alangkah indahnya tuntutan Rasulullah yang mengajar umatnya untuk wirid pada pagi dan petang dengan membaca asbahna (amsaina) wa asbaha (amsa) mulku lillahi walhamdulillah la syarika lah la ilaha illa huwa wa ilaihin-nusyur (Sesungguhnya kami terjaga pada pagi dengan kesedaran bahawa kerajaan ini seluruhnya milik Allah. Dan segala puji bagi Allah, tiada sekutu bagi-Nya, tiada Tuhan selain Dia dan kepada-Nya kami akan dibangkitkan.

Bukankah wirid ini menanamkan pada hati kita bahawa kekuasaan mutlak di tangan Allah?) Dalam hadis Abu Daud, al-Nasa'i, dan Ibnu Hibban diriwayatkan bahawa barang siapa membaca pada pagi dan petang maksudnya: "Ya Allah, nikmat apapun yang ku peroleh dan diperoleh seseorang di antara makhluk-Mu adalah daripada-Mu yang tidak mempunyai sekutu, maka bagi-Mu segala puji dan syukur", maka sesungguhnya dia telah menunaikan syukur pada siang dan malam hari itu.

Bukankah wirid ini mengajar kita agar tidak tamak haloba? Untuk menjaga kesihatan kita, Rasulullah mengajar wirid untuk dibaca pada pagi dan petang tiga kali yang bunyinya Allahumma 'afini fi badani, allahumma 'afini fi sam'i, allahumma 'afini fi bashari la ilaha illa anta. (Ya Allah sihatkanlah badan, pendengaran dan penglihatanku. Tiada Tuhan selain Engkau. (Hadis riwayat Abu Daud)

Bukankah dengan wirid ini kita akan sentiasa mendapat kesihatan dari Allah? Banyak lagi wirid yang diajarkan Rasulullah kepada sahabat jika diamalkan oleh mukmin, dia tidak lagi perlu kepada cara lain untuk menenangkan jiwa, menyejukkan hati dan menyihatkan badan kecuali cara yang sesuai dengan ajaran Nabi Junjungan umat Islam. Wallahu a'lam.

19 November 2008

Kesederhanaan dalam Ibadah

No comments:




DARIPADA Abu Hurairah katanya: “Nabi SAW bersabda yang maksudnya: Sesungguhnya agama (Islam) itu ringan. Sesiapa yang memberatkannya maka dia akan dikalahkan oleh agama.

Oleh itu kerjakanlah (agama itu) mengikut sepatutnya atau mendekatinya dengan yang sepatutnya dan gembiralah (kerana akan beroleh pahala) serta beribadatlah (mohonlah pertolongan Allah) pada waktu pagi, petang dan sebahagian malam.” - (Hadis riwayat Bukhari)

Tujuan ibadah adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah. Konsep ibadah terbahagi kepada dua iaitu ibadah khusus (seperti sembahyang, puasa, haji) dan ibadah umum iaitu setiap gerak geri, tindakan dan pekerjaan yang diniatkan kerana Allah.

Syarat diterima sesuatu ibadah itu bergantung kepada tiga perkara iaitu Islam, ikhlas dan ittiba’ (dilakukan sesuai dengan perintah Allah dan mencontohi apa yang dilakukan Rasulullah SAW)

Sesuatu ibadah itu hendaklah dikerjakan sebaik mungkin (menepati kehendak syarak) tanpa melebih-lebihkannya. Maksud ‘dikalahkan oleh agama’ ialah keadaan seseorang yang menjadi lemah lantaran terlalu kuat mengerjakan ibadah hingga lupa menguruskan keperluan diri seperti mencari nafkah menyara ahli keluarga.

Perkara itu ternyata bertentangan dengan kehendak Islam kerana Islam menyuruh manusia berusaha gigih untuk mencari penghidupan yang baik di dunia dan bukan menumpukan segala usaha untuk bekalan akhirat hingga melupakan dunia iaitu jambatan ke akhirat. Oleh itu, mestilah bijak menyeimbangkan antara keperluan dunia dan akhirat supaya tidak termasuk di kalangan orang-orang yang rugi.

Begitu juga dalam usaha mengajak ke arah ajaran Islam yang benar, dakwah hendaklah dilakukan dengan berhemah supaya apa disampaikan mudah diterima golongan yang didakwah serta diikuti dengan hati penuh ikhlas.

Pendakwah juga dilarang menimbulkan rasa sukar untuk melakukan ketaatan kepada Allah. Contohnya ketika menjadi imam dalam solat, maka solat itu janganlah terlalu lama (panjang) kerana mungkin makmun yang ada terdiri daripada mereka yang lemah dan sakit.

Abu Burdah berkata: “Rasulullah mengutus ayahku iaitu Abu Musa dan Muaz ke Yaman, Nabi berkata: Mudahkanlah dan janganlah kamu menyukarkan, gembirakanlah dan jangan kamu menyusahkan dan bersatu padu kamu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Nabi SAW juga menyuruh kita menggembirakan manusia bukan menjadikan mereka merasa benci dengan ajaran yang disampaikan. Oleh itu, kita hendaklah mendahulukan perkara yang menyedarkan manusia dan membangkitkan semangat mereka untuk melakukan kebaikan.

Jangan sekali-kali kita memberatkan dengan perkara berbentuk ancaman kerana ia akan menjauhkan masyarakat daripada agama dan kebenaran. Sebaliknya jinakkan hati mereka dengan bertindak secara berhikmah kerana perubahan manusia kebiasaannya memakan masa dan melalui peringkat serta tahap tertentu bukan bersifat drastik atau melulu.

“Dan mereka (Hamba Allah) apabila berbelanja tidak berlebihan dan mereka bukanlah pelit dalam berbelanja. Merekalah yang seimbang di antara dua perkara ini”. (Al-Furqan: 76)

06 November 2008

5 Tips Berkesan Elak Tergelincir dari Landasan Islam ...

1 comment:




KITA hidup dalam zaman yang penuh dengan pelbagai cabaran. Kehidupan manusia seakan-akan tidak mencukupi masa 24 jam untuk mengejar nikmat dunia dan membolot khazanahnya demi kehidupan yang menyenangkan.

Dalam pada itu, umat Islam tidak boleh lalai dan cuai untuk sentiasa merenung diri dan selalu ingat akan pesanan Nabi SAW supaya berwaspada tipu daya nikmat dunia. Oleh itu, sewajarnya kita mengingati lima pesanan Rasulullah SAW demi menjaga diri, keluarga dan masyarakat supaya tidak tergelincir daripada landasan Islam.

1 memperbanyakkan menyebut Allah kerana tidak dinafikan menjadi kebiasaan bagi kita menyebut atau memuji orang yang berbuat baik kepada kita hingga ada kalanya terlupa hakikat bahawa terlampau banyak nikmat yang Allah berikan kepada kita.


Sebaik-baiknya elok dibasahi lidah kita dengan memuji Allah setiap ketika, bukan ucapan Alhamdulillah hanya apabila sudah kekenyangan hingga sendawa. Pujian begini hanya di lidah saja tidak meresap ke lubuk hati. Kata Al-Imam Ibnu Qayyim: “Sesungguhnya zikir adalah makanan asas bagi hati dan roh, apabila hamba Allah gersang dari siraman zikir, maka jadilah ia bagaikan tubuh yang terhalang untuk memperoleh makanan asasnya.”

2 memperbanyakkan menyebut akhirat daripada menyebut urusan dunia kerana dunia terlalu sedikit jika dibandingkan dengan akhirat. Seribu tahun di dunia sama dengan sehari di akhirat. Betapa kecilnya nisbah umur di dunia ini berbanding akhirat.

Hanya orang yang berfikiran pendek sibuk memikirkan wawasan dunia hingga terlupa wawasan akhirat. Manusia yang cerdik ialah mereka yang sibuk merancang wawasan akhiratnya. Saham amanah dunia tidak penting, tapi yang paling penting ialah saham amanah akhirat yang tak pernah rugi dan merudum malahan sentiasa naik berlipat kali ganda.

Oleh itu perlu diperbanyakkan menyebut perihal akhirat supaya timbul keghairahan menanam dan melabur saham akhirat. Dengan menyebut dan ingat kehidupan akhirat akan menyemarakkan semangat untuk berbuat amal ibadat sebagai bekalan.

3 memperbanyakkan menyebut dan mengingat hal kematian daripada kehidupan. Kita sering memikirkan bekalan hidup ketika tua dan bersara tetapi jarang memikirkan bekalan hidup ketika mati. Memikirkan mati adalah sunat untuk menginsafi diri. Perjalanan jauh ke akhirat sudah tentu memerlukan bekalan yang banyak. Bekalan itu hendaklah dikumpulkan semasa hidup di dunia ini. Dunia ibarat kebun akhirat. Jika tidak diusahakan kebun dunia ini masakan dapat mengutip hasilnya di akhirat.

Meskipun sudah dijamin syurga, Saidina Ali masih mengeluh dengan hebat sekali mengenai kurangnya amalan untuk dibawa ke akhirat yang jauh perjalanannya. Betapa pula dengan diri kita yang kerdil dan bergelumang dosa.

4 jangan menyebut kebaikan diri dan keluarga kerana syaitan memang sentiasa hendak memerangkap dengan menyuruh atau membisikkan kepada diri kita supaya sentiasa mengingat serta menyebut kebaikan yang dilakukan sama ada kepada diri sendiri, keluarga atau masyarakat amnya. Satu kebaikan yang dibuat, ibarat ayam bertelur sebiji riuh sekampung.

Tetapi kita terlupa bahawa dengan menyebut dan mengingat kebaikan itu sudah menimbulkan satu penyakit hati, iaitu ujub yang boleh merosakkan pahala kebajikan dibuat. Lebih dahsyat lagi jika menimbulkan riak atau bangga diri yang mana Allah memberi amaran sesiapa yang memakai sifat riak tidak akan mencium bau syurga. Riak adalah satu unsur dari syirik kecil.

Nabi SAW pernah berpesan: “Yang amat kutakuti atas kamu ialah syirik yang paling kecil iaitu riak.”

5 jangan menyebut dan menampakkan keaiban atau keburukan orang lain. Kegelapan hati ditokok dengan rangsangan syaitan selalu menyebabkan diri kita menyebut kesalahan dan kekurangan orang lain. Kita terdorong melihat keaiban orang sehingga terlupa melihat keaiban dan kekurangan diri sendiri.

Bak kata orang tua-tua, “kuman seberang lautan nampak, tapi gajah di depan mata tidak kelihatan.” Menuding jari mengatakan orang lain tidak betul sebenarnya memberikan isyarat bahawa diri kita sendiri tidak betul. Ibarat menunjuk jari telunjuk kepada orang; satu jari arah ke orang itu tetapi empat lagi menuding ke arah diri.

Oleh sebab itu, biasakan melihat keburukan diri kita bukannya keburukan orang lain. Jangan menjaga tepi kain orang sedangkan tepi kain kita koyak rabak. Islam menggariskan sikap positif yang perlu dihayati dalam hubungan sesama manusia iaitu lihatlah satu kebaikan yang ada pada diri seseorang, meskipun ada banyak kejahatan padanya.

Lihatlah kejahatan pada diri kita walaupun kita pernah berbuat baik. Hanya dengan cara itu kita terselamat daripada bisikan syaitan yang memang sentiasa mengatur perangkap untuk menjerumuskan manusia ke dalam api neraka.

03 November 2008

No comments:


Imbalan Ukhrawi ...

Lihatlah di sekitar maya,
Kita punya segalanya,
Punya harta & takhta,
Punya masa ...
Punya sihat & bahagia,
Jua punya nyawa..

Hatta itu nikmat seketika,
Kurniaan Tuhan buat hambaNya,
Ada beringat, ada teralpa,
Ada bersyukur, ada yang kufur,
Ada hargai, ada jua ingkari.

Ayuh sedari hakikat itu,
Hakikat Dia yang maha Satu,
Ayuh sedar dari lenamu,
Lena dek bayu nan syahdu,
Ayuh diriku,
Ayuh sahabatku,
Ayuh menuju Redha itu.

Usah dibiar masa percuma,
Tiap ciptaan ada tugasnya,
Segera sempurna amanah kita,
Agar berdaya untuk berkata,
Berkata-kata di akhirat sana.

Kelak dipersoal teliti rapi,
Tinggal tidak saki baki,
Walau sebesar biji sawi,
Bermakna atau tiada erti,
Hidup di dunia ini.

cahaya @ mulia
UIAM, Kuantan
nov 08'




"Telah dekat kepada manusia hari menghisab segala amalan mereka, sedang mereka berada dalam kelalaian lagi berpaling (dariNya)" (Al-Anbiya':1)