13 June 2008

Apakah kecantikan seorang wanita ???

3 comments:

Cantiknya seorang wanita itu, sebagai gadis bukan kerana merah lipstik pada bibirnya.

Cantik seorang wanita itu, sebagai remaja bukan pada kulit mulus disinar cahaya warna.

Cantik seorang wanita itu, sebagai Hawa bukan kerana bijak meruntuh iman kaum Adam di sana.

Cantik seorang wanita itu, sebagai anak taat demi redha ibubapanya .

Cantik seorang wanita itu, sebagai isteri merempuh badai di sisi suami tercinta.

Cantik seorang wanita itu, sebagai menantu menjauhi pergaduhan dan syak wasangka mertua.

Cantik seorang wanita itu, sebagai ibu membuai anak di kala suami diulit mimpi maya.

Cantik seorang wanita itu, sebagai mentua telus hati mengagih kasih setara pada semua.

Cantik seorang wanita itu, sebagai nenek menjaring teladan para anbia buat cucu-cucunya.

Cantik seorang wanita itu, sebagai warganegara peka membela nasib dan maruah agama.

Cantik seorang wanita itu, sebagai warga tua menghitung hari dengan selembar mashaf ditangannya.

Cantik seorang wanita itu, sebagai intelektual menyala obor mewangi setanggi kerjaya.

Cantik seorang wanita itu, sebagai akidah solehah mengandam rindu Kekasih di atas sejadah.

Seremban
jun 08'

31 May 2008

LeLaKi IdAmAn WaNiTa...

No comments:
Seorang lelaki yang wanita idamkan
Ialah seorang buta,bisu, bakhil dan papa…
Biarlah dia seorang yang buta
Buta, Kerana matanya sunyi daripada melihat perkara-perkara maksiat dan lagha
Kerana matanya terpelihara daripada memandang aurat wanita ajnabi
Asalkan kedua matanya terang dalam memerhatikan keagungan ciptaan Allah
Asalkan dia celik dalam melihat kesengsaraan umat Islam di Palestin, Ambon, Bosnia dan seumpananya

Biarlah dia seorang bisu
Bisu, Bisu daripada pujuk rayu yang bisa menggoncang keimanan
Bisu daripada mengungkapkan ucapan yang bisa meracun fikiran
Bisu
daripada perkataan yang bisa mendatangkan kekufuran
Asalkan bibirnya sentiasa basah mengingat Tuhan
Asalkan lidahnya tidak pernah lekang dari membaca Al-Quran
Asalkan dia petah membangkang kemungkaran
Dan lantang menyuarakan kebenaran

Lelaki yang wanita idamkan ialah seorang yg bakhil
Bakhil, Bakhil dalam memberi senyuman
Pada wanita yang bukan mahramnya
Bakhil dalam meluangkan masa bertemu janji dengan wanita ajnabi yang boleh dinikahinya
Bakhil untuk menghabiskan wang hanya kerana seorang wanita yang tidak sepatutnya
Tetapi dia begitu pemurah meluangkn masanya untuk beribadah kepada Khaliqnya
Dia begitu pemurah untuk mempertahankan aqidahnya
Pemurah dalam memberi nasihat dan teguran
Sehingga dia sanggup menggadaikan hartanya
Bahkan nyawanya sendiri untuk melihat kalimah LAILAHAILALLAH
Kembali megah di muka bumi

Lelaki yang wanita idamkan adalah seorang yang papa
Papa, Papa dalam melakukan perkara maksiat
Papa dalam ilmu-ilmu yang tak berfaedah dan tak bermanfaat
Papa memiliki akhlak mazmumah
Tapi dia cukup kaya dalam pelbagai ilmu pengetahuan
Dia begitu kaya dengan akhlak dan budi pekerti yang mulia
Dia begitu kaya dengan sifat sabar dalam mengharungi tribulasi kehidupannya
Dan dia seorang yang kaya dalam membina jati diri
Dia mahu menjadi seorang syuhada
Yang syahid di jalan Illahi

Persoalannya...

Masih adakah lelaki idaman itu???

09 May 2008

MaK....Ku CinTa kAmU...

No comments:

SEBENING titisan embun pagi, secerah sinarnya mentari. Bilaku tatap wajahmu ibu, ada kehangatan di dalam hatiku. Air wuduk selalu membasahimu, ayat suci selalu dikumandangkan. Suara lembut penuh keluh dan kesah, berdoa untuk putera puterinya."

Negara malah dunia menjadi makmur, aman sentosa apabila memiliki ibu berkualiti. Dunia ideal yang tidak ada anak merempit, ketagih ganja dan syabu, lari dari rumah seperti yang kita dengar dan lihat hari ini baik di akhbar, majalah, radio, TV mahupun internet.

Teringat pula kepada Maryam, ibu Nabi Isa yang diabadikan kisahnya dalam al-Quran yang bermaksud: "Dan ingatlah (wahai Muhammad) ketika malaikat berkata: Wahai Maryam, sesungguhnya Allah telah memilihmu dan mensucikanmu, dan telah memilihmu untuk beroleh kemuliaan melebihi perempuan seluruh alam yang sezaman denganmu. Wahai Maryam, taatlah kepada Tuhanmu (Allah), dan sujudlah serta rukuklah (mengerjakan sembahyang) bersama orang yang rukuk."

Ciri apakah yang ada pada Maryam sehingga dia dipilih Allah? Tentu sekali kerana ketakwaannya serta kekuatan ibadatnya kepada Allah. Begitu juga ibu Nabi Musa, Khadijah, Fatimah binti Rasulullah SAW, Asma' binti Abu Bakar dan wanita Muslimah lain yang dikenang sejarah. Semua mereka memiliki ciri ketakwaan unggul.

Ibu yang patuh kepada perintah Allah dan Rasulullah SAW serta menghayati ajaran Islam sudah tentu ciri itu diikuti anak mereka. Mereka melahirkan pemimpin dunia yang agung dan dikenang sepanjang zaman.

Ramai ibu hari ini berjaya menghasilkan jutawan, tokoh akademik, doktor, jurutera dan profesional pelbagai bidang. Apakah ini kayu ukur sebenar kejayaan seorang ibu? Kerana kita akan bertanya balik, berapa ramaikah anak yang berjaya ini menjadi penjenayah kolar putih, kolar biru dan berapa mensia-siakan hidup mereka.

Nilai kejayaan dan kecemerlangan ibu perlu dilihat daripada kejayaan anak yang pintar ilmu, emosi dan spiritual. Satu nilai yang mengambil kira nilai dunia dan akhirat ialah takwa. Jika anak itu menjadi pekerja tidak kira berpangkat atau sebaliknya, biarlah mereka menjadi pekerja yang bertakwa kerana ia adalah kejayaan buat ibunya.

Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya yang paling mulia antara kamu di sisi Allah adalah yang paling bertakwa." (Surah al-Hujurat, ayat 13)

Kata-kata hikmat bahawa 'tangan yang menghayun buaian itu boleh mengubah dunia' mengajak kita ibu berazam untuk menjadi ibu mithali yang akan mencorakkan generasi unggul pernah disaksikan sejarah suatu ketika dulu.

04 May 2008

Hati ini milik siapa ???

No comments:
Hati ini milik siapa???
Terkadang aku tertanya…
Apa? Mengapa? dan Bagaimana?
Ah…bingung aku dibuatnya..

Ternyata aku lemas dengan semuanya…
Biar saja kulempar ke sana…

Namun apakah hakikat sebenarnya?
Hati ini..hati itu..YA,itulah hati manusia..
Hati yang kotor penuh noda..
Jarang dicuci dengan kalimah suci…
Benci,sombong,riak dan takbur..tersemat rapi…
Kerna semua itu dianggap sakti..
Hingga sayang diusir pergi..

Hati ini milik siapa???
Kini kumakin hampir pada jawapannya..
Jawapan jitu yang pasti sudah..
Maka jawabnya..hati ini milik ALLAH...
Milik Pencipta pemberi SAKINAH…

Ya Rahman..
Kerinduan pada-Mu melahirkan hati yang rela berkorban,
Ketaatan pada-Mu melahirkan hati yang penuh kesungguhan

Kecintaan pada-Mu melahirkan hati yang penuh kesyukuran,
Lantas itu..ku merayu pada Mu Tuhan...
Letakkanlah hati dan jiwa ini dalam satu lingkungan…
Yakni,lingkungan RAHMAT dan kasih sayang-Mu Tuhan…


cahaya @ mulia
UIAM, Petaling Jaya
nov.07'

02 May 2008

Niat..kerja dan ihsan...

No comments:
Alangkah cantiknya jika kita dapat seragamkan antara niat dengan budaya ihsan dalam pekerjaan. Jika ini berlaku, maka keseragaman niat antara pekerja dan pengurusan terhasil. Apabila niat dan ihsan dilestarikan, kita bekerja dan mengambil pekerja yang memasang niat mencari keredaan Allah untuk meningkatkan produktiviti dan menjamin keharmonian sesebuah organisasi.
Niat adalah asas dalam konsep ihsan dan Islam memberi perhatian berat terhadap peranan manusia dalam meningkatkan kualiti daya pengeluaran dengan membudayakan konsep ihsan ini.

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah, pada suatu hari Rasulullah SAW muncul di antara kaum Muslimin. Lalu datang seorang lelaki dan bertanya: "Wahai Rasulullah, apakah iman itu? Rasulullah SAW menjawab: Engkau beriman kepada Allah, malaikat-Nya, kitab-Nya, pertemuan dengan-Nya, rasul-Nya dan kepada hari berbangkit. Orang itu bertanya lagi: Wahai Rasulullah, apakah Islam itu? Rasulullah SAW menjawab: Islam adalah engkau beribadah kepada Allah dan tidak sekutu-Nya dengan apa pun, mendirikan solat fardu, menunaikan zakat wajib dan berpuasa pada Ramadan. Orang itu kembali bertanya: Wahai Rasulullah, apakah ihsan itu? Rasulullah SAW menjawab: Engkau beribadah kepada Allah seolah-olah engkau melihat-Nya. Dan jika engkau tidak melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia selalu melihatmu."
Maksudnya, setiap saat kita bekerja, kita buat sebaik mungkin, dengan hati dan semangat, kerana kita sentiasa berasa kehadiran Allah yang memerhati setiap perkataan dan perlakuan dalam pekerjaan kita.

Syed Abu Ala Maududi dalam risalahnya Guidelines For Islamic Workers memberi panduan berhubung membudayakan 'ihsan' dalam pengurusan iaitu:

-Mengaitkan pekerjaan dengan beribadah kepada Allah supaya pekerjaan dilakukan sentiasa berada dalam landasan syariat, tidak melakukan perkara haram.


-Membuat yang terbaik untuk mendapat balasan setimpal pada hari akhirat dan sekali gus mendapat imbuhan daripada majikan yang seronok dengan pencapaian sempurna kerja kita
Elak bersifat takbur.

- Tidak memperlekeh rakan sekerja apabila kita berjaya melaksanakan pekerjaan dengan cemerlang.

-Mengambil berat kebajikan keluarga sendiri dan rakan sejawat kerana ia menjadi asas pertumbuhan dan keharmonian tempat kerja.

-Saling bantu membantu dengan semangat setia kawan dan kerja berpasukan untuk kebaikan bersama.


-Memberi teguran dan pengajaran secara membina bagi mengatasi kelemahan di tempat kerja.
Patuh dan taat melaksanakan piawaian yang dipersetujui serta peraturan ditetapkan majikan di tempat kerja.

Namun, konsep ihsan bukan sekadar melaksanakan hak Allah, organisasi, pekerja dan masyarakat umum, malahan ia mencakupi hak haiwan, tumbuh-tumbuhan dan alam sekitar. Mereka yang mengamalkan budaya ihsan akan memperoleh dua ganjaran iaitu ganjaran daripada Allah dan juga daripada alam serta manusia.

Firman Allah bermaksud: "Berbuat baiklah kepada makhluk Allah sebagaimana Allah berbuat baik kepada kamu dengan kurniaan nikmat yang melimpah ruah dan janganlah kamu melakukan kerosakan di muka bumi ini, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang membuat kerosakan." (Surah al-Qasas, ayat 77)