Showing posts with label Petikan Artikel. Show all posts
Showing posts with label Petikan Artikel. Show all posts

02 February 2010

Manusia Beriman Diberkati ...

No comments:

DEMI keagungan, kebesaran, kemuliaan, cahaya, ketinggian dan kedudukan-Ku, setiap hamba yang mendahulukan kedudukannya daripada kedudukan-Ku, pasti Aku cerai-beraikan urusannya, Aku kacaukan dunianya, Aku sibukkan dan Aku letakkan hatinya hanya dalam urusan keduniaan, dunia tidak mendatanginya kecuali apabila yang Aku tentukan baginya.

Demi keagungan, kebesaran, kemuliaan, cahaya, ketinggian dan kedudukan-Ku, kemuliaan, cahaya, ketinggian dan kedudukan-Ku, setiap hamba yang mendahulukan kehendak-Ku daripada kehendaknya pasti aku perintahkan malaikat menjaganya.

Aku jamin langit dan bumi sebagai tempat mencari rezekinya, Aku menyertai setiap urusan dan perniagaannya serta dunia akan datang sambil merendahkan diri padanya (Hadis Qudsi).


p/s: Ya Rabbi, pimpinlah hati- hati kami... ameen.


27 September 2009

Siwak ...???

No comments:


Siwak ataupun sugi bermaksud membersihkan mulut dengan menggunakan ranting sejenis pokok yang berasal dari negara-negara Timur Tengah. Antara adab menggunakan siwak atau bersugi adalah seperti berikut :

1. Mengamalkan secara istiqamah. Ini berpandukan kepada sebuah hadis yang bermaksud: Aku diperintahkan untuk bersiwak hingga aku bimbang ia diwajibkan kepadaku. - (Riwayat Ahmad dalam al-Musnad)

2. Menggunakan kayu yang sederhana besar dan sederhana panjang.


3. Bersiwak dengan tangan kiri kerana siwak adalah satu instrumen pembersihan dari kekotoran.


4. Memulakan siwak dari sebelah kanan kerana amalan Nabi SAW seperti yang dilaporkan dalam hadis sahih bahawa Baginda sentiasa mendahulukan sebelah kanan. - (Riwayat Abu Daud)


5. Bersiwak dengan gerakan vertikal dan horizontal supaya seluruh gigi dapat disiwak dan dibersihkan daripada kekotoran. Menurut al-imam al-Nawawi dalm Syarah Muslim kaedah itu akan menjadikan seluruh permukaan gigi bersih dari sisa- sisa makanan.


6. Membersihkan kayu sugi selepas digunakan kemudian menyimpannya dalam poket.


Pengarang Kitab Mausua’t al-Adab al-Islamiyyat tidak berkompromi untuk mengatakan siwak ini tetap melebihi kegunaan berus gigi dengan hujah-hujah berikut:


1. Siwak dicintai Allah dan dapat membersihkan mulut.


2. Siwak mempunyai saiz yang lebih kecil dan mudah dibawa.


3. Siwak mudah digunakan di mana-mana tempat sementara berus gigi memerlukan air dan kaedah penyimpanan yang agak menyusahkan.

Namun di kalangan pemikir tempatan, terdapat yang menyatakan berus gigi sudah pun mengambil tempat kayu sugi kerana matlamat pensyariatannya adalah kebersihan mulut dan gigi. Maka apabila kaedah baru lebih moden sudah pun ditemui, maka sewajarnya kita beralih kepada perkara yang lebih baik kerana Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud: “Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.”

Berdasarkan perkara di atas, kesimpulan yang dapat kita lakukan adalah kayu sugi adalah satu sunnah yang penting untuk diamalkan, namun demikian penggunaan berus gigi moden juga adalah satu kaedah penjagaan kesihatan yang baik. Tambahan pula penemuan baru sudah mempermudahkan penghasilan kayu sugi diproses kepada bentuk ubat gigi melalui proses yang tertentu. Wajar bagi umat Islam mengambil berat penggunaan kedua-duanya, tanpa mengabaikan yang lain. Wallahu a’lam.


Nabi SAW bersabda dalam sebuah hadis sahih, maksudnya: "kalaulah bukan kerana kebimbangan membebankan umatku, nescaya aku akan memerintahkan mereka untuk bersiwak pada setiap solat."
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

19 August 2009

Takwa Dengan Puasa ...

4 comments:


Bagaimana puasa menjadikan kita bertakwa?

Dalam surah al-Baqarah ayat 183 itu telah dijelaskan bahawa puasa itu bukan hanya diperintahkan kepada umat Nabi Muhammad SAW. Sebaliknya, perintah berpuasa yang menjadi ibadat asas itu sudah ada kepada umat-umat nabi terdahulu. Tujuan puasa itu adalah menjadikan kita bertakwa. Tetapi bagi mencapai tahap takwa itu Allah telah gariskan bahawa ia memerlukan kepada iman dan amal soleh.

Maknanya, apabila seseorang itu beriman pasti dia akan beramal soleh dan barulah dia akan mencapai kejayaan sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka dan merekalah orang yang berjaya. (al-Baqarah: 5)
Sebab itu, dalam berpuasa misalnya, untuk menjadikan kita bertakwa, hendaklah kita mematuhi segala syarat yang telah ditetapkan, menjauhi segala perkara yang bukan sahaja membatalkan puasa tetapi juga yang mengurangkan pahala berpuasa.

Jika kita mahu memartabatkan agama, kita perlu cemerlang di dunia dan akhirat. Kalau kita tidak cemerlang, Islam pun tidak hebat. Sebabnya di dalam Islam, konsep cemerlang bagi orang beriman itu merangkumi di dunia dan akhirat. Kita tidak mahu umat Islam hanya hebat dan cemerlang di dunia sahaja. Ada yang suka sambut Ramadan tetapi ramai juga yang 'tidak suka'.

Apakah sikap yang sepatutnya bagi umat Islam dalam menyambut kedatangan Ramadan?

Kita yang berpegang kepada fahaman Ahli Sunnah wal Jamaah meyakini kepada konsep usaha dan tawakal. Maknanya, kita perlu berusaha dan berikhtiar bagi mencapai sesuatu perkara yang baik itu. Kalau nak sihat, kita kena usaha dengan menjaga kesihatan. Kalau nak maju dalam kerjaya, kita kena usaha seperti melakukan tugas dengan efisien, menepati batas waktu yang ditetapkan dan sebagainya.

Demikian juga dengan rohani. Jika kita nak rohani atau jiwa kita itu baik, tidak boleh tidak kita mesti memulakan usaha ke arah itu. Indahnya Islam ini, Allah telah menolong kita mencapainya dengan menetapkan perintah solat dan puasa. Apa yang perlu kita buat adalah laksanakan sahaja perintah itu.

Puasa itu memang ada kesusahan dan rintangannya tetapi kejayaan bagi mereka yang berpuasa dengan ikhlas itu adalah dijamin oleh Allah. Bukannya manusia yang jamin.
Dari segi fizikal pun, para doktor akui bahawa puasa itu baik untuk kesihatan. Ia sebagaimana kata hikmah yang berbunyi: "Berpuasalah nescaya kamu akan sihat".
Buat apa banyak duit kalau tidak sihat. Ibadat puasa ini sebenarnya memberi kekuatan bagi kecapi untuk kecapi nikmat hidup di dunia.


Bagaimana mencapai tahap puasa khawasil khawas (puasa paling khas)?

Puasa itu pun ada tahap-tahapnya. Yang paling rendah ialah puasa orang awam. Puasa begini hanya sekadar meninggalkan makan, minum dan perkara yang membatalkan puasa.
Tingkatan kedua adalah puasa orang khas. Puasa di sini akan cuba menjaga akhlak dan melakukan perkara-perkara sunat bagi menambahkan lagi kualiti puasanya. Tingkatan tertinggi ialah puasa paling khas. Mereka bukan sahaja menjaga segala perkara yang membatalkan puasa tetapi juga perkara yang boleh membatalkan pahala puasa. Anggota badan turut berpuasa dan hati pula sentiasa berzikir kepada Allah.

Inilah tingkatan puasa yang sepatutnya cuba dicapai oleh setiap Muslim.
Antara akhlak bagi mencapai tahap ini ialah menjaga lidah dan mulut. Orang yang berpuasa perlu menjaga lidah daripada bercakap perkara yang sia-sia.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud: Puasa itu adalah perisai. Maka janganlah orang yang berpuasa itu bercakap dengan perkara yang keji dan janganlah dia melakukan perbuatan orang jahil. (riwayat Bukhari)

Kita perlu mengambil perhatian dalam hal ini supaya puasa kita benar-benar berkualiti dan mendapat ganjaran yang dijanjikan oleh Allah. Jangan nanti kita di akhirat kelak menyesal kerana puasa kita hanya sia-sia lantaran tidak mencapai standard yang ditetapkan.
Inilah amaran kepada golongan yang leka dan lalai dalam puasa mereka. Daripada Abu Hurairah r.a. katanya bahawa Nabi SAW. bersabda: Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan buruk sedangkan ia berpuasa, baginya tidak ada kelebihan (pahala) di sisi Allah selain dari lapar dan dahaga sahaja yang didapatinya. (riwayat Bukhari)

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: Siapa yang berpuasa ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, nescaya diampunkan dosanya yang telah lalu.

(riwayat Bukhari dan Muslim)

29 July 2009

Iktibar Isra' Mikraj ...

No comments:





PERJALANAN Nabi Muhammad SAW dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa sehinggalah ke Sidratul Muntaha pada malam Israk Mikraj memang tidak tercapai dek akal dan satu cara untuk memahami peristiwa itu ialah dengan merujuk kepada al-Quran. Walaupun Israk Mikraj tidak boleh dicerna oleh akal tetapi umat Islam wajib mempercayainya kerana banyak iktibar boleh dikutip daripada peristiwa luar biasa itu selain disyariatkan solat lima waktu sehari semalam.


Pengajaran sudah kita ambil ialah setiap kali melihat perkara luar biasa, selalunya kita akan berkata Maha Suci Allah (Subhanallah). Sementara perkataan hamba yang digunakan merujuk kepada Nabi Muhammad SAW sebagai pengiktirafan. Begitu juga sebahagian kecil tanda kebesaran lain yang berlaku ketika perjalanan itu, semua mempunyai maksud supaya manusia mengambil pengajaran daripada peristiwa itu.


Tetapi malangnya, ramai yang tidak mempercayai Israk Mikraj kerana masih ramai tidak takut apabila melakukan maksiat dan membuat dosa. Jemputan Allah kepada Nabi Muhammad SAW itu menjadi ujian keimanan kepada masyarakat dunia dan untuk melihat keyakinan mereka terhadap agama Allah termasuk syurga, neraka, dosa dan pahala.

Contohnya, apabila Nabi Muhammad SAW diperlihatkan mengenai kumpulan yang menanam sedikit tetapi hasil diperoleh berlipat kali ganda adalah gambaran manusia yang yakin kepada agama Allah berbuat ibadat sedikit tetapi mendapat ganjaran pahala yang banyak. Begitu juga dengan pengalaman dilalui Baginda SAW ketika dibawa melawat neraka dan melihat bentuk seksaan diterima mereka yang ingkar akan suruhan agama serta lalai menunaikan amanah semasa di dunia.

Israk Mikraj melahirkan empat golongan iaitu yang yakin dan terus percaya kepada apa disampaikan Nabi Muhammad SAW seperti Abu Bakar as-Siddiq, yang percaya tetapi tidak yakin seperti Abu Jahal. Dua golongan lagi ialah mereka yang yakin tetapi inginkan bukti sementara yang akhirnya, golongan tidak ambil kisah langsung peristiwa itu. "Golongan keempat itu adalah mereka yang tidak mahu berfikir soal agama langsung dan sewajarnya mereka menjadi ayam daging yang tidak kisah apa berlaku di sekeliling sebaliknya hanya memikirkan diri sendiri saja hingga tiba saat untuk disembelih dan menjadi sajian di meja makan," katanya.

Menyentuh pensyariatan solat, Islam tidak berkompromi dalam hal ibadat itu kerana pentingnya solat, untuk menyampaikan suruhan itu Nabi Muhammad dijemput menemui Allah. Tidak seperti suruhan lain yang diturunkan melalui wahyu. Tujuan manusia diwajibkan menunaikan solat bukan untuk menggembirakan Allah kerana setiap amalan dilakukan manusia di dunia ini akan kembali kepada mereka pada hari dikumpulkan bagi dinilai di akhirat kelak.

Oleh itu, mulai sekarang marilah kita memperbaiki solat kerana manfaat solat ialah untuk menjadikan kita seorang yang tawaduk, ikhlas melakukan ibadat kerana Allah, mendapat ketenangan dan menjauhkan daripada melakukan kemungkaran. Hendaklah kita berusaha menjadi hamba Allah yang diiktiraf kerana hubungan kita dengan Allah kerana kemuncak segala nikmat adalah untuk berjumpa Allah Maha Berkuasa suatu ketika nanti.

"Dan Kami turunkan (Al- Quran) itu dengan sebenarnya dan (Al- Quran ) itu turun dengan membawa kebenaran. Dan Kami mengutuskan engkau (Muhammad), hanya sebagai pembawa berita gembira dam pemberi peringatan." (Al- Kahfi: 105)

18 June 2009

Tamadun dan Peradaban Gemilang ...

No comments:


KESEJAHTERAAN yang hakiki lahiriah dan batiniah, duniawi dan ukhrawi adalah antara agenda dan cita-cita luhur didambakan setiap manusia, masyarakat dan bangsa. Bahkan, sejak awal negara merdeka usaha setiap pemimpin ke arah pembinaan sebuah peradaban gemilang. Islam sebagai agama syumul tidak pernah menghalang umatnya membentuk peradaban cemerlang dalam hidup.



Membina peradaban adalah dituntut terhadap setiap Muslim yang beriman kepada Allah. Hal ini kerana dunia adalah satu perjalanan yang harus dimanfaatkan dalam proses pengabdian kepada Allah dengan menyempurnakan tanggungjawab fardu ain dan kifayah secara sempurna, jujur, telus dan amanah.



Setiap umat itu tidak akan berjaya memanfaatkan dunia ini dengan baik jika sikap dan pandangannya terhadap dunia tidak tepat seperti digariskan Allah dan Rasul-Nya kerana alam dan fenomena diciptakan dan ditundukkan Allah untuk khalifah di muka bumi ini. Justeru, penting bagi setiap Muslim diperlengkapkan dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran supaya mereka dapat menguasai dan memanfaatkan dunia ini dengan sebaik-baiknya.



Pendek kata, penting bagi umat Islam memahami dan menghayati Islam sebagai sistem kehidupan menyeluruh untuk menggerakkan pembinaan sebuah peradaban dicita-citakan. Sehubungan itu, Allah menegaskan dalam al-Quran ada tiga ciri utama yang menjadi landasan utama kelahiran sebuah masyarakat sejahtera, kerajaan adil dan peradaban unggul.



Allah berfirman yang bermaksud: "Kerana kebiasaan aman tenteram kaum Quraisy (penduduk Makkah); Iaitu kebiasaan aman tenteram perjalanan mereka (menjalankan perniagaan) pada musim sejuk (ke negeri Yaman) dan pada musim panas (ke negeri Syam); maka hendaklah mereka menyembah Tuhan yang menguasai rumah (Kaabah) ini; Tuhan yang memberi mereka penghidupan, menyelamatkan mereka daripada kelaparan dan mengamankan mereka daripada ketakutan." (Surah Quraisy, ayat 1-4)



Intisari kandungan surah Quraisy mengungkapkan tiga ciri utama masyarakat sejahtera yang dinikmati kaum Quraisy satu ketika dulu. Pertama, setiap anggota masyarakat sentiasa beribadah kepada Allah dan menjauhkan diri daripada kesyirikan sama ada syirik terang mahupun syirik tersembunyi.


Ini bermakna setiap Muslim seharusnya memahami konsep hidup sebagai suatu pengabdian kepada Allah, konsep kerja seharian sebagai ibadah, manusia sebagai khalifah Allah untuk memakmurkan dunia ini dan kewajipan mencapai kekuatan dalam hidup sebagai jihad pada jalan Allah. Keimanan dan ketakwaan kepada Allah adalah kunci utama limpahan kurniaan Ilahi yang tidak terhitung, manakala syirik pula hanya akan menghancurkan pahala segala amal baik yang dilakukan.


Bukankah Allah sudah berfirman: "Dan sesungguhnya yang sudah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada Nabi terdahulu daripadamu: Demi sesungguhnya! Jika engkau (dan pengikutmu) mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah), tentulah akan gugur amalmu dan engkau akan tetap menjadi dari orang yang rugi. (Janganlah menyembah yang lain dari Allah) bahkan (apabila beribadat) maka hendaklah engkau menyembah Allah semata-mata dan hendaklah engkau menjadi dari orang yang bersyukur." (Surah al-Zumar, ayat 65-66)


Kedua, kesejahteraan sesuatu bangsa wujud apabila mereka bebas daripada kelaparan dan kebuluran kerana keperluan hidup diperoleh oleh setiap anggota masyarakat. Dalam hal ini, masyarakat memerlukan kerajaan adil dan beramanah dalam menunaikan amanah kepemimpinan di bahu setiap pemimpin. Oleh itu, setiap pemimpin mesti berusaha mengutamakan kepentingan masyarakat mengatasi kepentingan peribadi dan kroni.



Begitu juga kerajaan adil sentiasa menyediakan segala prasarana dan pelbagai kemudahan asas untuk kemaslahatan masyarakat. Kerajaan perlu memenuhi lima prinsip syariah iaitu menjaga, memartabatkan dan memperkasakan agama, akal, nyawa, harta dan keturunan. Akhirnya, ciri ketiga masyarakat yang sejahtera adalah anggota masyarakatnya bebas daripada ancaman rasa takut seperti takut kelaparan, takut menghadapi hari esok, takut menghadapi pelbagai cabaran hidup.



Hal ini kerana hasil pengabdian Muslim yang ikhlas kepada Allah dan juga natijah pelaksanaan amanah Allah dengan sempurna. Dalam hal ini, setiap masyarakat perlu diberikan kefahaman Islam jelas yang membolehkan mereka menghayati dan sekali gus mewarisi wawasan peradaban unggul. Kehidupan berkualiti hanya dapat dicapai jika setiap manusia berusaha menguasai pelbagai cabang ilmu pengetahuan, kemahiran dan kepakaran di samping mengukuhkan ketrampilan akhlak terpuji.


Mudah-mudahan ketiga-tiga ciri itu dapat dihayati dan seterusnya disemarakkan dalam setiap sendi kehidupan bangsa dalam usaha kita untuk membentuk kembali sebuah peradaban atau tamadun Islam yang pernah dirintis oleh Rasulullah SAW dan generasi sahabat selepasnya.

01 June 2009

Malu Benteng Maksiat ...

No comments:



HILANGNYA perasaan malu dalam jiwa boleh menyebabkan seseorang insan itu tanpa segan silu mengerjakan maksiat. Baru-baru ini kita digemparkan dengan tajuk utama akhbar, “Trend Baru Remaja Melayu: Kelab Tiada Dara”.


Memetik laporan akhbar itu: “Walaupun masih belasan tahun, mereka bangga tiada dara. Kumpulan remaja Melayu terbabit juga menubuhkan kelab untuk bertukar teman lelaki. Ahlinya diwajibkan memakai tatu.”


Ini hanyalah sekelumit pendedahan mengenai sikap anak muda kita yang semakin jauh hanyut hidup bergelumang maksiat disebabkan hilangnya sifat malu. Sehubungan itu, ada satu keperluan mendesak untuk menerapkan sifat malu iaitu aspek ditekankan ajaran Islam dalam jiwa setiap umat Islam.


Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Iman mempunyai lebih daripada enam puluh cabang. Adapun malu adalah salah satu cabang dari cabang iman.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)



Abu Mas’ud ‘Uqbah bin ‘Amr al-Ansari al-Badri berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya salah satu perkara yang sudah diketahui manusia dari kata-kata kenabian terdahulu adalah: Jika engkau tidak malu, berbuatlah sesuka hatimu.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)



Menurut al-Hafidz Ibnu Hajar al-’Asqolani: “Secara bahasa malu (al-Hayaa’) bermaksud perubahan yang ada pada diri seseorang kerana takut melakukan perbuatan dapat menimbulkan aib. Dari segi terminologi pula ia bererti perangai yang mendorong untuk menjauhi sesuatu yang buruk dan mencegah untuk tidak memberikan sesuatu hak kepada pemiliknya.”



Malu adalah satu cabang daripada cabang iman kerana ia dapat menjadi faktor mendorong seseorang menjadi insan yang taat kepada segala perintah Allah dan mencegahnya daripada terjerumus dalam perbuatan maksiat.

Mengenai hubungan iman dan malu, Ibnu Quthaibah berkata, sifat malu dapat menghalang dan menghindarkan seseorang melakukan kemaksiatan seperti iman. Maka sifat malu disebut sebagai iman, seperti sesuatu dapat diberi nama dengan nama lain yang dapat menggantikan posisinya.


Perasaan malu sudah diwarisi daripada nabi terdahulu kepada satu generasi ke generasi dan oleh itu anjuran supaya memiliki perasaan malu kekal menjadi sebahagian syarak bagi umat Nabi Muhammad SAW.


Sabda Baginda SAW supaya mereka yang tidak malu untuk berbuat sesuka hati mereka, ulama mentafsirkannya dengan tiga cara, pertama iaitu perintah berbentuk ancaman jika tiada malu, buatlah perkara bertentangan syarak kerana pasti akan dibalas Allah.


Firman Allah yang bermaksud: “Kerjakanlah olehmu apa-apa yang kamu kehendaki, sesungguhnya Dia melihat apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Sajdah, ayat 40)


Kedua ialah perintah berbentuk penjelasan bahawa bagi sesiapa yang tidak memiliki perasaan malu maka dia tidak akan malu untuk melakukan apa juga perbuatan termasuk perkara yang bercanggah dengan syariat.


Ia kerana yang mampu mencegah seseorang daripada mengerjakan maksiat adalah perasaan malu. Sabda Baginda SAw yang bermaksud: “Barang siapa melakukan pembohongan atas namaku, dia hendaklah mengambil tempat duduknya daripada api neraka.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)


Ketiga, perintah yang menunjukkan erti pembolehan seperti dijelaskan Imam al-Nawawi: “Perintah itu mengandungi erti pembolehan. Maksudnya, jika engkau ingin mengerjakan sesuatu, maka lihatlah jika perbuatan itu sesuatu yang menjadikan engkau tidak merasa malu kepada Allah dan manusia, maka lakukanlah. Jika tidak maka tinggalkanlah.”


Pendapat pertama adalah pandangan yang dipilih majoriti ulama dan lebih tepat. Demikianlah bagaimana Rasulullah SAW menitikberatkan umatnya menerapkan perasaan malu dalam kehidupan seharian kerana ia boleh menghalang seseorang melakukan perkara dilarang.


Sifat malu adalah gabungan daripada sifat takut akan dosa dan keinginan untuk menjaga kesucian diri. Namun sifat malu tidak seharusnya menyebabkan seseorang itu mensia-siakan hak Allah dan Rasul-Nya, diri sendiri serta ahli keluarganya.

Kita tidak boleh malu menuntut ilmu, melaksanakan amar makruf nahi mungkar atau malu untuk bekerja mencari nafkah. Sifat malu sebegini adalah malu yang tercela dan hanya menunjukkan kelemahan jiwa seseorang insan.


Oleh itu hendaklah kita memupuk dalam jiwa perasaan malu yang positif kerana ia adalah akhlak Islam yang dituntut. Sabda Baginda yang bermaksud: “Sesungguhnya setiap agama memiliki akhlak, dan akhlak Islam adalah malu.” (Hadis riwayat Imam Ibnu Majah)


Rasulullah SAW bersabda lagi: “Sesungguhnya Allah Maha Pemalu (al-Hayaa’) dan Maha Menutupi (al-Sitr), Dia mencintai rasa malu dan yang tertutup. Apabila salah seorang daripada kalian mandi, maka hendaklah dia menutupi diri.” (Hadis riwayat Imam Abu Dawud)


06 May 2009

Hikmah Solat Sunat ...

No comments:





Mengerjakan solat adalah amalan terbaik untuk mendekatkan diri kepada Allah dan solat sunat dapat menutup kekurangan yang mungkin wujud ketika menunaikan solat fardu. Keutamaan solat sunat dibahaskan secara terperinci dalam buku Panduan Solat Sunat Cara Nabi.



Banyak kelebihan menunaikan solat sunat, selain menutup kekurangan solat fardu, mereka yang memperbanyakkan solat sunat menjadi ahli syurga, darjatnya ditinggikan serta menghapuskan dosa lalu, dicintai Allah dan mencegah perbuatan dilarang. Solat sunat rawatib yang didirikan sebelum dan sesudah solat fardu lima waktu mempunyai fungsi berbeza.


Contohnya, solat sunat rawatib qabliyah dilakukan sebelum solat fardu untuk menenangkan jiwa supaya dapat khusyuk ketika solat. Solat sunat selepas solat fardu, rawatib ba’diyah menyempurnakan kekurangan yang mungkin ada dalam solat fardu didirikan sebelumnya.


Bab solat sunat turut membicarakan surah yang pernah dibaca Rasulullah SAW sebagai ikutan umat Islam berdasarkan nas yang sahih. Malah, buku ini turut membimbing cara mendirikan solat sunat. Ternyata solat sunat mempunyai keistimewaan terutama kepada mereka yang sudah menjadikan ia amalan.


Kenikmatan yang dirasai selepas menjalinkan hubungan secara langsung dengan Allah tidak dapat diungkap dengan kata-kata. Hanya mereka yang tahu perasaannya. Bagi mencapai maksudnya, sudah tentu setiap amalan itu hendaklah dilakukan dengan sempurna dan bagi yang masih tidak memahami keperluan solat sunat serta cara melaksanakannya, boleh merujuk buku Panduan Solat Sunat Cara Nabi.


Mungkin masih ada yang belum faham apa yang dimaksudkan dengan solat witir yang membawa maksud jumlah ganjil iaitu tiga, lima serta seterusnya. Solat yang dikatakan sebagai penutup bagi solat malam juga sering menimbulkan kekeliruan. Buku ini cuba menjelaskan apakah maksud solat witir berdasarkan dalil disyariatkan, tatacara pelaksanaan serta hukum berkaitan seperti membaca qunut dalam solat witir.


Tidak dinafikan, ada perbezaan pendapat dalam perbahasan fekah dan ia turut diketengahkan penulis buku Panduan Solat Sunat Cara Nabi supaya dapat memberi kefahaman kepada pembaca yang mungkin pernah membaca mengenainya. Bukan semua solat sunat dibincangkan dalam buku ini kerana penulis memfokuskan solat sunat yang disandarkan kepada hadis yang sabit daripada Rasulullah SAW sesuai tajuknya bersolat menurut cara Rasulullah SAW.


"Wahai manusia! Sembahlah Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang sebelum kamu, agar kamu bertakwa." (Al-Baqarah: 21)

03 February 2009

Doa Menghindari Sihir ...

No comments:


Menurut Ibn Abi Hatim dan Abu al-Sheikh daripada Laith bin Abi Sulaim r.a, beliau berkata: “Ayat ini dapat menjadi penawar kepada perbuatan sihir dengan izin Allah”.
Allah SWT menjelaskan perjuangan Nabi Musa a.s dan penentangannya kepada Firaun, menyebabkan Firaun mengumpulkan semua ahli sihir terkemuka pada zamannya untuk melawan utusan Allah itu.

Apabila Nabi Musa a.s dan ahli-ahli sihir sudah dihimpunkan di hadapan khalayak ramai pada hari yang dijanjikan itu, maka pertandingan dimulakan dengan dialog, siapakah yang akan memulakan kehebatan masing-masing.

Ahli-ahli sihir sudah pun dijanjikan dengan pelbagai nikmat dunia seperti pangkat, harta dan sebagainya jika berjaya mengalahkan Nabi Musa.Ahli-ahli sihir mula mencampakkan tali-tali mereka lalu gemparlah suasana melihat ular-ular besar yang menakutkan di hadapan mereka. Nabi Musa turut rasa gentar sehinggalah turun wahyu Allah kepadanya supaya bertenang dan membaca ayat-ayat di atas.

Kemudian, giliran Nabi Musa pun sampai. Lalu tongkatnya dilepaskan. Ahli-ahli sihir menjadi gamat kerana apa yang berlaku di hadapan mereka bukanlah sihir olok-olok. Ia adalah kebenaran dari langit tinggi. Mereka akhirnya beriman kepada Musa meninggalkan Firaun dalam kebingungan. (Fi Zilalil Quran, tafsir surah Yunus ayat 81-82).

Khasiat dan kaifiat beramal

Caranya ialah dengan membacakan ayat-ayat ini bersama ayat ke 118 hingga 121 surah al-A’raaf dan ayat ke 69 surah Taha kepada bekas yang mengandungi air.
Kemudian air itu disiram ke atas kepala orang yang terkena sihir itu. (al-Durrul Manthur, tafsir ayat 81-82 surah Yunus)

* Petikan buku 101 Doa Para Nabi dan Rasul dalam al-Quran Khasiat & Kaifiat Beramal terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd.

21 January 2009

Ketenangan Wudu' ...

No comments:


IBADAH wuduk memiliki kedudukan tersendiri di sisi Allah dan ia adalah kunci permulaan bagi ibadat solat. Wuduk juga berperanan untuk menenangkan jiwa supaya dapat menumpukan perhatian terhadap solat.


Selain itu, wuduk juga boleh menyegarkan badan serta mengembalikan tenaga dan pada masa sama menyucikan anggota badan yang terdedah. Ini menunjukkan wuduk mempunyai peranan penting dari segi spiritual dan fizikal.


Buku bertajuk Beberapa Persoalan Lazim Tentang Taharah mengupas kepentingan bersuci dan hukum berkaitan wuduk. Buku ini menjawab 18 persoalan lazim ditimbulkan mengenai hukum bersuci meliputi tatacara berwuduk, perkara membatalkan wuduk, tayamum dan mandi secara mendalam lengkap dalil al-Quran serta hadis.


Tatacara wuduk diperjelaskan berdasarkan hadis Rasulullah SAW merangkumi perkara sunat dan fardu contohnya bersiwak sebelum berwuduk, berniat dan menyebut nama Allah seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tidak ada wuduk bagi orang yang tidak menyebut nama Allah padanya."


Persoalan bersentuhan dengan perempuan, memegang kemaluan, darah atau muntah membatalkan wuduk atau tidak turut dibincangkan dalam bab tersendiri bagi memberi kefahaman serta menghilangkan keraguan.


Bagaimana pula dengan tidur yang membatalkan wuduk atau tidur sama sekali tidak membatalkan wuduk. Perkara ini juga ada kalanya tidak jelas bagi kita dan penulis membentangkan pendapat ulama berkaitan tidur dan batalnya wuduk


Jawapan kepada soalan perlukah berwuduk untuk memegang dan membaca al-Quran turut dimuatkan dalam bab 11 berdasarkan dalil utama mewajibkan berwuduk juga menyucikan diri dari hadas besar ketika hendak memegang al-Quran.


Buku Beberapa Persoalan Lazim Tentang Taharah yang mengambil dalil al-Quran serta hadis turut menyediakan nota sebagai penjelasan lanjut terhadap fakta dibentangkan supaya dapat difahami dengan mudah oleh pembaca.


Malah, pada muka akhir setiap bab diletakkan kesimpulan daripada topik dibincangkan iaitu pandangan penulis serta alasan menyokong hujah diberi. Mungkin akan ada tidak sependapat dengan penulis kerana tahap pemahaman serta ilmu dimiliki dan ini boleh membuka ruang perbincangan lanjut.


Buku mengenai hukum bersuci mungkin sudah banyak di pasaran tetapi seperti kata-kata yang sering diulang, lebih banyak yang kita fikir sudah tahu sebenarnya ada banyak lagi yang kita tidak tahu dan untuk mengetahuinya ialah melalui pembacaan.

Ada yang sudah kita ketahui mengenai wuduk, tayamum atau mandi tetapi tidak salah untuk membuat ulang kaji. Mana tahu ada perkara yang kita ingat sudah sempurna dalam wuduk kita rupanya masih boleh ditingkatkan atau diperbaiki lagi.


"Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu akan mendirikan solat maka basuhlah muka kamu dan tangan-tangan kamu hingga siku-siku kamu dan sapulah kepala kamu serta basuhlah kaki-kaki kamu sehingga kedua mata kaki." (Al-Maidah: 6)


30 November 2008

Wirid, zikir penenang jiwa paling mujarab ...

No comments:




PADA era serba cergas ini, kehidupan di bandar megapolitan khasnya yang segalanya mesti dilakukan dengan pantas dan tepat sehingga jiwa, hati serta badan manusia memerlukan sesuatu yang sesuai untuk menyeimbangkannya. Oleh itu, orang bandar terpaksa mencari jalan penyelesaian dengan pelbagai cara untuk mendapatkan keseimbangan diri termasuk beriadah secara fizikal atau spiritual atau kedua-duanya.

Namun, bagi Muslim semua amalan harian, mingguan, bulanan, tahunan atau seumur hidup sama ada wajib, sunat, haram, makruh, mahupun harus yang ditetapkan Allah SWT untuk dilaksanakan mempunyai tujuan duniawi dan ukhrawi termasuk untuk menenangkan jiwa, menyejukkan hati dan menyihatkan badan.

Apabila Islam datang bersama Rasulullah SAW dengan visi dan misi kerahmatan lil 'alaminnya, semua amalan masyarakat Arab ketika itu diganti dengan amalan yang sesuai dengan kehendak Allah SWT. Sebagai contoh, amalan menyembah tuhan selain Allah yakni patung berhala secara tabik hormat, rukuk dan sujud diganti dengan amalan solat yang disertai takbir, rukuk, iktidal, sujud, duduk tasyahhud dan taslim.

Begitu juga dengan amalan lain termasuk hari keraian Nairuz dan Mahrajan di Madinah diganti dengan Aidilfitri dan Aidiladha. Semuanya sesuai dengan hukum syarak yang dibawa Baginda SAW atas perintah Allah SWT. Seorang Muslim mempunyai amalan tersendiri daripada yang wajib hingga harus. Amalan ini berasal daripada ajaran al-Quran dan sunnah. Ada juga amalan yang disebut zikir dan tafakur.

Ramai terkeliru menyamakan tafakur dengan meditasi padahal kedua-duanya mempunyai perbezaan ketara. Ketika bertafakur mesti ada dalam minda kita mengenai kekuasaan Allah, sedangkan dalam meditasi minda mesti dikosongkan. Mengosongkan minda bererti satu kerugian menimpa diri kerana kita mensia-siakan masa yang perlu diguna sebaik-baiknya
Zikir sudah sering disentuh dalam ruangan ini, tetapi wirid baru kali ini dijelaskan. Wirid dan zikir mempunyai persamaan dan perbezaan.

Persamaannya, kedua-dua amalan ini mengingati Allah dan perbezaannya adalah wirid lebih khusus daripada zikir kerana zikir boleh dibuat bila-bila masa dan dalam keadaan apa pun jua. Wirid mempunyai tatacaranya tersendiri seperti yang akan kita lihat dalam penjelasan berikut.

Dalam Kamus Dewan wirid mempunyai takrifan sebagai "1. petikan daripada al-Quran yang ditentukan untuk dibaca (dipelajari dan lain-lain); 2. zikir yang dibaca selepas sembahyang," manakala Kamus Kontekstual Lengkap al-Khalil menterjemahkan wirid dengan erti "sedikit air, nasib, sebahagian Quran dan sebagainya, sekumpulan burung, tentera, mengambil air, mendekati air."

Dalam A Dictionary of Modern Written Arabic ia diterjemahkan sebagai specified time of day or night devoted to private worship (in addition to the five prescribed prayers); a section of the Koran recited on this occasion. Menurut istilah ahli tasawuf dan pengertian secara umum dalam disiplin ilmu Islam, wirid bermakna seperti ditulis Syeikh Muhammad al-Madini dalam artikelnya bertajuk al-Wird, "azkar makhsusah min al-quran wa sunnah Rasulillah wa min athar al-'ulama al-'amilin" atau zikir khusus daripada al-Quran, sunnah Rasulullah SAW dan amalan ulama muktabar.

Zikir dibaca pada masa tertentu siang atau malam sehingga seolah-olah si pembaca wirid mengambil air apabila dia berasa haus. Menerusi zikir secara amnya dan wirid secara khasnya membuat mukmin tenang jiwa, sejuk hati dan sihat badannya seperti ditegaskan al-Quran maksudnya: "Ketahuilah! Dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia." (Surah al-Ra'du: 28)

Sebagai amalan khusus yang mempunyai tatacaranya sendiri, wirid mempunyai dasar hukumnya daripada al-Quran dan sunnah Nabi. Imam Tirmizi meriwayatkan bahawa seorang sahabat datang kepada Rasulullah SAW sambil mengeluh: "Wahai Rasulullah, alangkah banyaknya hukum hakam syarak yang seakan-akan membebaniku, berikanlah aku sesuatu agar aku tetap teguh melaksanakannya. Baginda menjawab: Basahilah lidahmu dengan selalu berzikir kepada Allah."

Agar Allah mencukupkan kita dengan apa saja yang kita inginkan mengenai perkara dunia dan akhirat, maka kita cukup dengan membaca tujuh kali pada pagi dan petang potongan ayat 129 Surah al-Taubah yang bermaksud: "Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepada-Nya aku berserah diri, dan Dialah yang mempunyai 'Arasy yang besar." (Hadis riwayat Ibn Sunni dan Ibn 'Asyakir secara marfu')

Bukankah wirid ini menanamkan pada jiwa kita sifat tawakal dan berserah diri kepada Allah? Agar hati kita tidak mati pada siang dan malam, maka bacalah dua ayat terakhir Surah al-Isra' setiap pagi dan petang seperti diriwayatkan dalam hadis al-Dailami. Bukankah wirid ini mengajar kita betapa penting menjaga hati agar tetap terang di bawah sinaran Allah?

Alangkah indahnya tuntutan Rasulullah yang mengajar umatnya untuk wirid pada pagi dan petang dengan membaca asbahna (amsaina) wa asbaha (amsa) mulku lillahi walhamdulillah la syarika lah la ilaha illa huwa wa ilaihin-nusyur (Sesungguhnya kami terjaga pada pagi dengan kesedaran bahawa kerajaan ini seluruhnya milik Allah. Dan segala puji bagi Allah, tiada sekutu bagi-Nya, tiada Tuhan selain Dia dan kepada-Nya kami akan dibangkitkan.

Bukankah wirid ini menanamkan pada hati kita bahawa kekuasaan mutlak di tangan Allah?) Dalam hadis Abu Daud, al-Nasa'i, dan Ibnu Hibban diriwayatkan bahawa barang siapa membaca pada pagi dan petang maksudnya: "Ya Allah, nikmat apapun yang ku peroleh dan diperoleh seseorang di antara makhluk-Mu adalah daripada-Mu yang tidak mempunyai sekutu, maka bagi-Mu segala puji dan syukur", maka sesungguhnya dia telah menunaikan syukur pada siang dan malam hari itu.

Bukankah wirid ini mengajar kita agar tidak tamak haloba? Untuk menjaga kesihatan kita, Rasulullah mengajar wirid untuk dibaca pada pagi dan petang tiga kali yang bunyinya Allahumma 'afini fi badani, allahumma 'afini fi sam'i, allahumma 'afini fi bashari la ilaha illa anta. (Ya Allah sihatkanlah badan, pendengaran dan penglihatanku. Tiada Tuhan selain Engkau. (Hadis riwayat Abu Daud)

Bukankah dengan wirid ini kita akan sentiasa mendapat kesihatan dari Allah? Banyak lagi wirid yang diajarkan Rasulullah kepada sahabat jika diamalkan oleh mukmin, dia tidak lagi perlu kepada cara lain untuk menenangkan jiwa, menyejukkan hati dan menyihatkan badan kecuali cara yang sesuai dengan ajaran Nabi Junjungan umat Islam. Wallahu a'lam.

19 November 2008

Kesederhanaan dalam Ibadah

No comments:




DARIPADA Abu Hurairah katanya: “Nabi SAW bersabda yang maksudnya: Sesungguhnya agama (Islam) itu ringan. Sesiapa yang memberatkannya maka dia akan dikalahkan oleh agama.

Oleh itu kerjakanlah (agama itu) mengikut sepatutnya atau mendekatinya dengan yang sepatutnya dan gembiralah (kerana akan beroleh pahala) serta beribadatlah (mohonlah pertolongan Allah) pada waktu pagi, petang dan sebahagian malam.” - (Hadis riwayat Bukhari)

Tujuan ibadah adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah. Konsep ibadah terbahagi kepada dua iaitu ibadah khusus (seperti sembahyang, puasa, haji) dan ibadah umum iaitu setiap gerak geri, tindakan dan pekerjaan yang diniatkan kerana Allah.

Syarat diterima sesuatu ibadah itu bergantung kepada tiga perkara iaitu Islam, ikhlas dan ittiba’ (dilakukan sesuai dengan perintah Allah dan mencontohi apa yang dilakukan Rasulullah SAW)

Sesuatu ibadah itu hendaklah dikerjakan sebaik mungkin (menepati kehendak syarak) tanpa melebih-lebihkannya. Maksud ‘dikalahkan oleh agama’ ialah keadaan seseorang yang menjadi lemah lantaran terlalu kuat mengerjakan ibadah hingga lupa menguruskan keperluan diri seperti mencari nafkah menyara ahli keluarga.

Perkara itu ternyata bertentangan dengan kehendak Islam kerana Islam menyuruh manusia berusaha gigih untuk mencari penghidupan yang baik di dunia dan bukan menumpukan segala usaha untuk bekalan akhirat hingga melupakan dunia iaitu jambatan ke akhirat. Oleh itu, mestilah bijak menyeimbangkan antara keperluan dunia dan akhirat supaya tidak termasuk di kalangan orang-orang yang rugi.

Begitu juga dalam usaha mengajak ke arah ajaran Islam yang benar, dakwah hendaklah dilakukan dengan berhemah supaya apa disampaikan mudah diterima golongan yang didakwah serta diikuti dengan hati penuh ikhlas.

Pendakwah juga dilarang menimbulkan rasa sukar untuk melakukan ketaatan kepada Allah. Contohnya ketika menjadi imam dalam solat, maka solat itu janganlah terlalu lama (panjang) kerana mungkin makmun yang ada terdiri daripada mereka yang lemah dan sakit.

Abu Burdah berkata: “Rasulullah mengutus ayahku iaitu Abu Musa dan Muaz ke Yaman, Nabi berkata: Mudahkanlah dan janganlah kamu menyukarkan, gembirakanlah dan jangan kamu menyusahkan dan bersatu padu kamu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Nabi SAW juga menyuruh kita menggembirakan manusia bukan menjadikan mereka merasa benci dengan ajaran yang disampaikan. Oleh itu, kita hendaklah mendahulukan perkara yang menyedarkan manusia dan membangkitkan semangat mereka untuk melakukan kebaikan.

Jangan sekali-kali kita memberatkan dengan perkara berbentuk ancaman kerana ia akan menjauhkan masyarakat daripada agama dan kebenaran. Sebaliknya jinakkan hati mereka dengan bertindak secara berhikmah kerana perubahan manusia kebiasaannya memakan masa dan melalui peringkat serta tahap tertentu bukan bersifat drastik atau melulu.

“Dan mereka (Hamba Allah) apabila berbelanja tidak berlebihan dan mereka bukanlah pelit dalam berbelanja. Merekalah yang seimbang di antara dua perkara ini”. (Al-Furqan: 76)

06 November 2008

5 Tips Berkesan Elak Tergelincir dari Landasan Islam ...

1 comment:




KITA hidup dalam zaman yang penuh dengan pelbagai cabaran. Kehidupan manusia seakan-akan tidak mencukupi masa 24 jam untuk mengejar nikmat dunia dan membolot khazanahnya demi kehidupan yang menyenangkan.

Dalam pada itu, umat Islam tidak boleh lalai dan cuai untuk sentiasa merenung diri dan selalu ingat akan pesanan Nabi SAW supaya berwaspada tipu daya nikmat dunia. Oleh itu, sewajarnya kita mengingati lima pesanan Rasulullah SAW demi menjaga diri, keluarga dan masyarakat supaya tidak tergelincir daripada landasan Islam.

1 memperbanyakkan menyebut Allah kerana tidak dinafikan menjadi kebiasaan bagi kita menyebut atau memuji orang yang berbuat baik kepada kita hingga ada kalanya terlupa hakikat bahawa terlampau banyak nikmat yang Allah berikan kepada kita.


Sebaik-baiknya elok dibasahi lidah kita dengan memuji Allah setiap ketika, bukan ucapan Alhamdulillah hanya apabila sudah kekenyangan hingga sendawa. Pujian begini hanya di lidah saja tidak meresap ke lubuk hati. Kata Al-Imam Ibnu Qayyim: “Sesungguhnya zikir adalah makanan asas bagi hati dan roh, apabila hamba Allah gersang dari siraman zikir, maka jadilah ia bagaikan tubuh yang terhalang untuk memperoleh makanan asasnya.”

2 memperbanyakkan menyebut akhirat daripada menyebut urusan dunia kerana dunia terlalu sedikit jika dibandingkan dengan akhirat. Seribu tahun di dunia sama dengan sehari di akhirat. Betapa kecilnya nisbah umur di dunia ini berbanding akhirat.

Hanya orang yang berfikiran pendek sibuk memikirkan wawasan dunia hingga terlupa wawasan akhirat. Manusia yang cerdik ialah mereka yang sibuk merancang wawasan akhiratnya. Saham amanah dunia tidak penting, tapi yang paling penting ialah saham amanah akhirat yang tak pernah rugi dan merudum malahan sentiasa naik berlipat kali ganda.

Oleh itu perlu diperbanyakkan menyebut perihal akhirat supaya timbul keghairahan menanam dan melabur saham akhirat. Dengan menyebut dan ingat kehidupan akhirat akan menyemarakkan semangat untuk berbuat amal ibadat sebagai bekalan.

3 memperbanyakkan menyebut dan mengingat hal kematian daripada kehidupan. Kita sering memikirkan bekalan hidup ketika tua dan bersara tetapi jarang memikirkan bekalan hidup ketika mati. Memikirkan mati adalah sunat untuk menginsafi diri. Perjalanan jauh ke akhirat sudah tentu memerlukan bekalan yang banyak. Bekalan itu hendaklah dikumpulkan semasa hidup di dunia ini. Dunia ibarat kebun akhirat. Jika tidak diusahakan kebun dunia ini masakan dapat mengutip hasilnya di akhirat.

Meskipun sudah dijamin syurga, Saidina Ali masih mengeluh dengan hebat sekali mengenai kurangnya amalan untuk dibawa ke akhirat yang jauh perjalanannya. Betapa pula dengan diri kita yang kerdil dan bergelumang dosa.

4 jangan menyebut kebaikan diri dan keluarga kerana syaitan memang sentiasa hendak memerangkap dengan menyuruh atau membisikkan kepada diri kita supaya sentiasa mengingat serta menyebut kebaikan yang dilakukan sama ada kepada diri sendiri, keluarga atau masyarakat amnya. Satu kebaikan yang dibuat, ibarat ayam bertelur sebiji riuh sekampung.

Tetapi kita terlupa bahawa dengan menyebut dan mengingat kebaikan itu sudah menimbulkan satu penyakit hati, iaitu ujub yang boleh merosakkan pahala kebajikan dibuat. Lebih dahsyat lagi jika menimbulkan riak atau bangga diri yang mana Allah memberi amaran sesiapa yang memakai sifat riak tidak akan mencium bau syurga. Riak adalah satu unsur dari syirik kecil.

Nabi SAW pernah berpesan: “Yang amat kutakuti atas kamu ialah syirik yang paling kecil iaitu riak.”

5 jangan menyebut dan menampakkan keaiban atau keburukan orang lain. Kegelapan hati ditokok dengan rangsangan syaitan selalu menyebabkan diri kita menyebut kesalahan dan kekurangan orang lain. Kita terdorong melihat keaiban orang sehingga terlupa melihat keaiban dan kekurangan diri sendiri.

Bak kata orang tua-tua, “kuman seberang lautan nampak, tapi gajah di depan mata tidak kelihatan.” Menuding jari mengatakan orang lain tidak betul sebenarnya memberikan isyarat bahawa diri kita sendiri tidak betul. Ibarat menunjuk jari telunjuk kepada orang; satu jari arah ke orang itu tetapi empat lagi menuding ke arah diri.

Oleh sebab itu, biasakan melihat keburukan diri kita bukannya keburukan orang lain. Jangan menjaga tepi kain orang sedangkan tepi kain kita koyak rabak. Islam menggariskan sikap positif yang perlu dihayati dalam hubungan sesama manusia iaitu lihatlah satu kebaikan yang ada pada diri seseorang, meskipun ada banyak kejahatan padanya.

Lihatlah kejahatan pada diri kita walaupun kita pernah berbuat baik. Hanya dengan cara itu kita terselamat daripada bisikan syaitan yang memang sentiasa mengatur perangkap untuk menjerumuskan manusia ke dalam api neraka.

20 August 2008

Allah yang Beri Rezeki...

No comments:
Oleh:Ust. Zahazan Mohamed

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Allah melaknat pemberi rasuah, penerima rasuah dan orang yang menjadi orang perantaraan”. (riwayat Ahmad)

Islam mengharamkan rasuah kerana menjadi penyebab kezaliman berlaku dalam masyarakat, orang yang tidak bersalah boleh dihukum bersalah, menghapuskan peluang mereka yang sepatutnya layak dan penyebaran harta di kalangan pihak tertentu saja.

Sabda Nabi yang antara lainnya bermaksud, “Ada di kalangan manusia yang diutus ke sesuatu tempat lalu mendapat tawaran itu dan ini. Baginda lalu bertanya, adakah kalau dia bukan memegang jawatan tersebut dan duduk di rumah, dia juga akan menerima apa yang didapatinya semasa jadi Gabenor?”

Secara umumnya rasuah itu adalah perolehan yang bertujuan untuk memberi kepentingan untuk yang memberinya bagi permudahkan sesuatu urusan pada masa akan datang. Antara punca gejala rasuah ini adalah kurang penekanan terhadap aspek Islam dalam soal dosa dan pahala.
Seseorang yang mempunyai kekuatan iman tidak akan mudah goyah apabila ditawarkan dengan pelbagai ganjaran sebagai rasuah.

Saya tertarik dengan satu kisah sewaktu para sahabat mahu membuka India. Pasukan tentera Islam ketika itu memang ramai. Apabila mendapat tahu ketumbukan tentera Islam menghampiri sempadan India, maharajanya datang.
Beliau menawarkan beberapa patung yang diperbuat daripada emas sebagai ganjaran untuk tentera Islam tidak menakluk India
.

Bagaimanapun, tentera Islam tadi dengan tegas menjawab, untuk keuntungan duniawi tawaran maharaja itu memang berbaloi tetapi ia tetap tidak dapat memenuhi keinginan nafsu. Soalnya, esok aku akan mati dan bila Allah bertanya nanti adakah aku boleh menjawab dengan patung-patung emas ini.
Peristiwa ini membuktikan bahawa mereka adalah golongan yang mempunyai izzah atau kemuliaan diri sehingga mampu menolak rasuah oleh maharaja India itu.

Peristiwa ini membuktikan bahawa mereka adalah golongan yang mempunyai izzah atau kemuliaan diri sehingga mampu menolak rasuah oleh maharaja India itu.

Kedua, kurangnya pembudayaan amal makruf nahyu mungkar. Sebagai manusia, kalau kita selalu diingatkan tentang halal haram, insya-Allah kita akan berwaspada mengenainya. Sebab iman kita ini ada turun naiknya.
Apabila ada budaya menegur begini, seseorang boleh menegur kesilapan orang lain. Ketiadaan sikap begini mungkin kerana kita terlalu sibuk dengan urusan dunia.

Sebab ketiga, ada yang beranggapan rasuah menjadi tradisi. Maknanya, jika tidak buat maka kita tidak akan berjaya.

Keempat, berdasarkan kajian pihak yang terlibat hidupnya cukup daif. Pendapatan yang ada tidak cukup pun untuk keperluan asas. Sebab itu para fuqaha menyebut, kemiskinan itu hampir kepada kekufuran.

Keadaan sedemikian menyebabkan mereka terdedah kepada perlakuan rasuah. Sebab itu, saya meminta kerajaan membuat kajian tentang kos sara hidup kakitangan awam terutama yang berkhidmat di bandar besar seperti Kuala Lumpur.

Desakan hidup boleh mendorong seseorang melakukan rasuah.
Ramai membuat andaian antara sebab rasuah berleluasa adalah gaji yang kecil. Namun, hakikatnya yang berpendapatan tinggi juga turut menerima rasuah. Lalu apa penyelesaian bagi keadaan ini?


UST. ZAHAZAN: Satu cara untuk mengatasi kegawatan ini adalah melaksanakan menyuruh berbuat baik dan mencegah kemungkaran.
Dalam perniagaan misalnya, rakan kongsi boleh menasihatkan rakan lain supaya carilah perniagaan yang halal walaupun yang haram (rasuah dan sebagainya) itu amat menggiurkan
.

Dalam hadis qudsi yang diriwayatkan oleh Nasai, “Sesungguhnya malaikat Jibril memberitahuku bahawa manusia tidak akan mati sehingga disempurnakan ajalnya dan memperolehi rezeki yang diperuntukkan kepadanya.

Maka, bertakwalah kepada Allah dan mintalah kepada-Nya. Janganlah kerana kelewatan datangnya rezeki itu menyebabkan kamu mengusahakan daripada yang haram kerana apa yang ada di sisi Allah itu tidak akan diperolehi melainkan dengan ketaatan kepada-Nya”.

Perlu juga diadakan gerak gempur melibatkan semua usahawan Muslim agar jangan terlibat rasuah. Ingatlah rezeki itu datangnya daripada Allah.
Pada masa yang sama, soal muraqabah (rasa Allah perhatikan kita) perlu diberi lebih perhatian terutama oleh golongan yang berjawatan penting.

Ingatlah amaran Rasulullah SAW, “Pemberi dan penerima rasuah kedua-duanya akan masuk neraka”. (riwayat Ahmad)

Kadang-kadang kita berasa hairan mengapa anak kita tidak menjadi berbanding anak orang lain yang berjaya dalam pelajaran. Adakah sumber makanan daripada rasuah menjadi salah satu puncanya?

UST. ZAHAZAN: Memang benar. Makanan memainkan peranan penting dalam menentukan mustajab atau tidak doa kita kepada Allah. Sebab itu, dalam satu peristiwa, Rasulullah bersabda, Datang seorang musafir yang pakaiannya berdebu dan bermunajat kepada Allah. Tetapi bagaimana doanya mahu diperkenankan sedangkan pakaiannya bersumberkan haram, makanannya haram, cara dia dibesarkan pun bersumber perkara haram?

Seseorang yang membiasakan makan yang haram- ini bukan sahaja daging khinzir tetapi juga perbuatan yang salah di sisi Islam termasuk rasuah, maka rasa kelazatan beribadat akan dicabut daripadanya. Selain itu, doa dan amalannya juga ditolak.

Dalam mazhab Hanbali, kalau kita pakai baju yang diperolehi dari sumber haram, maka solat kita tidak sah. Bagaimanapun, dalam mazhab Syafie solat itu sah tetapi tidak sempurna dan solat itu tadi tidak mendapat markah yang tinggi.

IstidrajPada masa yang sama Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap daging yang tumbuh daripada sumber haram, maka akan dihumbankan dalam api neraka”. (riwayat Baihaqi dan Tirmizi)
Apabila terlibat rasuah, kehidupan kita tidak akan tenteram. Mudah berlaku pergaduhan suami isteri dan perpecahan keluarga. Sebabnya tidak ada keberkatan.

Memang ada juga kes di mana orang yang terlibat maksiat itu hidupnya senang lenang, anak-anaknya bijak dan selamat hidup mereka. Tetapi ini disebut sebagai istidraj. Apabila disebut Allah mengistidrajkan hambanya-Nya, ia bermaksud setiap kami hamba itu membuat atau menambah kesalahan maka setiap kali itu juga Allah menambah atau membaharui nikmat-Nya ke atas hamba tersebut membuatkan hamba itu tadi merasakan dia disayangi dan lupa memohon ampun.

Rasulullah SAW bersabda, “Apabila kamu melihat bahawa Allah memberi nikmat kepada hambaNya yang selalu membuat maksiat (derhaka), ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah SWT”. (riwayat At-Tabrani, Ahmad dan Baihaqi)

Bagi yang tidak mahu terlibat rasuah, adakalanya mereka menghadapi dugaan hebat apabila tidak mendapat kontrak, tender dan sebagainya. Dalam keadaan begini, bagaimanakah seharusnya akidah mereka?

UST. ZAHAZAN: Seperti yang disebutkan tadi, rezeki itu milik Allah. Tetapi kita gagal menanam dan menjelaskan hal ini kepada masyarakat.
Kalau mengampu sehebat manapun, jika Allah tidak mengizinkan kita tidak akan mendapat sesuatu projek atau tender. Sebaliknya, jika diizin Allah, biar manusia berhimpun menghalang, kita tetap akan mendapatnya.

Demikian Allah memberi gambaran semut yang hitam pada malam yang gelap sekalipun akan mendapat makanan apatah lagi manusia.
Apa yang perlu sentiasa kita tekankan adalah sebagaimana firman Allah:


Wahai orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar hanya kepada-Nya kamu berserah.
(al-Baqarah: 172)

09 May 2008

MaK....Ku CinTa kAmU...

No comments:

SEBENING titisan embun pagi, secerah sinarnya mentari. Bilaku tatap wajahmu ibu, ada kehangatan di dalam hatiku. Air wuduk selalu membasahimu, ayat suci selalu dikumandangkan. Suara lembut penuh keluh dan kesah, berdoa untuk putera puterinya."

Negara malah dunia menjadi makmur, aman sentosa apabila memiliki ibu berkualiti. Dunia ideal yang tidak ada anak merempit, ketagih ganja dan syabu, lari dari rumah seperti yang kita dengar dan lihat hari ini baik di akhbar, majalah, radio, TV mahupun internet.

Teringat pula kepada Maryam, ibu Nabi Isa yang diabadikan kisahnya dalam al-Quran yang bermaksud: "Dan ingatlah (wahai Muhammad) ketika malaikat berkata: Wahai Maryam, sesungguhnya Allah telah memilihmu dan mensucikanmu, dan telah memilihmu untuk beroleh kemuliaan melebihi perempuan seluruh alam yang sezaman denganmu. Wahai Maryam, taatlah kepada Tuhanmu (Allah), dan sujudlah serta rukuklah (mengerjakan sembahyang) bersama orang yang rukuk."

Ciri apakah yang ada pada Maryam sehingga dia dipilih Allah? Tentu sekali kerana ketakwaannya serta kekuatan ibadatnya kepada Allah. Begitu juga ibu Nabi Musa, Khadijah, Fatimah binti Rasulullah SAW, Asma' binti Abu Bakar dan wanita Muslimah lain yang dikenang sejarah. Semua mereka memiliki ciri ketakwaan unggul.

Ibu yang patuh kepada perintah Allah dan Rasulullah SAW serta menghayati ajaran Islam sudah tentu ciri itu diikuti anak mereka. Mereka melahirkan pemimpin dunia yang agung dan dikenang sepanjang zaman.

Ramai ibu hari ini berjaya menghasilkan jutawan, tokoh akademik, doktor, jurutera dan profesional pelbagai bidang. Apakah ini kayu ukur sebenar kejayaan seorang ibu? Kerana kita akan bertanya balik, berapa ramaikah anak yang berjaya ini menjadi penjenayah kolar putih, kolar biru dan berapa mensia-siakan hidup mereka.

Nilai kejayaan dan kecemerlangan ibu perlu dilihat daripada kejayaan anak yang pintar ilmu, emosi dan spiritual. Satu nilai yang mengambil kira nilai dunia dan akhirat ialah takwa. Jika anak itu menjadi pekerja tidak kira berpangkat atau sebaliknya, biarlah mereka menjadi pekerja yang bertakwa kerana ia adalah kejayaan buat ibunya.

Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya yang paling mulia antara kamu di sisi Allah adalah yang paling bertakwa." (Surah al-Hujurat, ayat 13)

Kata-kata hikmat bahawa 'tangan yang menghayun buaian itu boleh mengubah dunia' mengajak kita ibu berazam untuk menjadi ibu mithali yang akan mencorakkan generasi unggul pernah disaksikan sejarah suatu ketika dulu.

02 May 2008

Niat..kerja dan ihsan...

No comments:
Alangkah cantiknya jika kita dapat seragamkan antara niat dengan budaya ihsan dalam pekerjaan. Jika ini berlaku, maka keseragaman niat antara pekerja dan pengurusan terhasil. Apabila niat dan ihsan dilestarikan, kita bekerja dan mengambil pekerja yang memasang niat mencari keredaan Allah untuk meningkatkan produktiviti dan menjamin keharmonian sesebuah organisasi.
Niat adalah asas dalam konsep ihsan dan Islam memberi perhatian berat terhadap peranan manusia dalam meningkatkan kualiti daya pengeluaran dengan membudayakan konsep ihsan ini.

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah, pada suatu hari Rasulullah SAW muncul di antara kaum Muslimin. Lalu datang seorang lelaki dan bertanya: "Wahai Rasulullah, apakah iman itu? Rasulullah SAW menjawab: Engkau beriman kepada Allah, malaikat-Nya, kitab-Nya, pertemuan dengan-Nya, rasul-Nya dan kepada hari berbangkit. Orang itu bertanya lagi: Wahai Rasulullah, apakah Islam itu? Rasulullah SAW menjawab: Islam adalah engkau beribadah kepada Allah dan tidak sekutu-Nya dengan apa pun, mendirikan solat fardu, menunaikan zakat wajib dan berpuasa pada Ramadan. Orang itu kembali bertanya: Wahai Rasulullah, apakah ihsan itu? Rasulullah SAW menjawab: Engkau beribadah kepada Allah seolah-olah engkau melihat-Nya. Dan jika engkau tidak melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia selalu melihatmu."
Maksudnya, setiap saat kita bekerja, kita buat sebaik mungkin, dengan hati dan semangat, kerana kita sentiasa berasa kehadiran Allah yang memerhati setiap perkataan dan perlakuan dalam pekerjaan kita.

Syed Abu Ala Maududi dalam risalahnya Guidelines For Islamic Workers memberi panduan berhubung membudayakan 'ihsan' dalam pengurusan iaitu:

-Mengaitkan pekerjaan dengan beribadah kepada Allah supaya pekerjaan dilakukan sentiasa berada dalam landasan syariat, tidak melakukan perkara haram.


-Membuat yang terbaik untuk mendapat balasan setimpal pada hari akhirat dan sekali gus mendapat imbuhan daripada majikan yang seronok dengan pencapaian sempurna kerja kita
Elak bersifat takbur.

- Tidak memperlekeh rakan sekerja apabila kita berjaya melaksanakan pekerjaan dengan cemerlang.

-Mengambil berat kebajikan keluarga sendiri dan rakan sejawat kerana ia menjadi asas pertumbuhan dan keharmonian tempat kerja.

-Saling bantu membantu dengan semangat setia kawan dan kerja berpasukan untuk kebaikan bersama.


-Memberi teguran dan pengajaran secara membina bagi mengatasi kelemahan di tempat kerja.
Patuh dan taat melaksanakan piawaian yang dipersetujui serta peraturan ditetapkan majikan di tempat kerja.

Namun, konsep ihsan bukan sekadar melaksanakan hak Allah, organisasi, pekerja dan masyarakat umum, malahan ia mencakupi hak haiwan, tumbuh-tumbuhan dan alam sekitar. Mereka yang mengamalkan budaya ihsan akan memperoleh dua ganjaran iaitu ganjaran daripada Allah dan juga daripada alam serta manusia.

Firman Allah bermaksud: "Berbuat baiklah kepada makhluk Allah sebagaimana Allah berbuat baik kepada kamu dengan kurniaan nikmat yang melimpah ruah dan janganlah kamu melakukan kerosakan di muka bumi ini, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang membuat kerosakan." (Surah al-Qasas, ayat 77)

01 May 2008

Indahnya akhlak Baginda swt...

No comments:
Antara Peribadi dan Akhlak Rasulullah S. A. W:-

1) Baginda berdoa dengan penuh khusyuk dan airmatanya sentiasa berlinangan
2) Wajahnya sentiasa ceria yang menyejukkan mata memandangnya
3) Sangat elok dan sempurna wajahnya
4) Baginda memilik perasaan yang halus
5) Suka makan beramai-ramai daripada berseorangan
6) Bencikan kemegahan dan perhiasan yang cantik melambangkan kesombongan dan
kemegahan

7) Beliau makan setelah lapar dan berhenti sebelum kenyang
8) Tidak pernah mengumpat , mencerca atau menghina orang lain
9) Baginda memelihara rambutnya dengan kemas
10) Baginda memakai serban di atas kopiahnya
11) Suka membalas hadiah
12) Baginda mengucapkan salam kepada ahli rumah ketika hendak keluar atau masuk
13) Baginda sangat berlemah-lembut dengan isterinya dan ahli keluarganya
14) Sentiasa memulakan salam kepada sesiapa yang ditemuinya
15) Baginda bersalaman dengan sahabatnya dan memeluk mereka ketika berjumpa
16) Ketika berjabat tangan ia tidak melepaskan tangannya sehinggalah orang dijabatnya itu
melepaskan tangannya

17) Apabila melepasi kumpulan kanak-kanak , baginda mengangkat tangannya tanda
hormat kepada mereka

18) Tidak menatap atau merenung wajah orang lain lama-lama
19) Tidak bangun dari sesuatu majlis makan sehingga tetamu lain bangun
20) Tidak pernah menjulurkan kakinya di depan para sahabat
21) Baginda suka bercakap lambat-lambat dan menyebut perkataan dengan jelas
22) Sentiasa menumpukan perhatian kepada orang yang bercakap dengannya
23) Tidak pernah ketawa terbahak-bahak tetapi hanya tersenyum lembut
24) Sangat fasih dan manis dalam tutur bicara
25) Tersangat sabar dan tabah bila menghadapi setiap cabaran dan kesusahan
26) Amat kasih terhadap umatnya
27) Tidak pernah mengambil rezeki kurnian Allah melebihi keperluan makan minumnya
28) Rezeki yang melebihi keperluan akan ditaburkan untuk jihad Fisabilillah
29) Sentiasa membantu orang lain walaupun ia sendiri dalam kesusahan
30) Tidak pernah menghina orang miskin dan tidak rasa terhina bergaul dengan mereka
31) Suka menziarahi orang sakit
32) Amat pemurah hingga digambarkan seperti angin lalu pemurahnya
33) Baginda tidak suka tidur di bilik gelap dan di bawah bumbung yang terbuka dan tidak
beratap

34) Tangannya tidak pernah menyentuh kulit wanita ajnabi
35) Bersikap tegas , pemaaf dan pengasih dalam perjuangan
36) Beliau mengambil wudhu' sebelum tidur dan berzikir hingga lena37) Sangat menghormati orang-orang tua dan mengasihani orang-orang muda dan kanak-
kanak(dipetik daripada poster yang dikeluarkan oleh pustaka fikrah)Ingat lah cintailah Rasulullah SAW kerana baginda sangat cinta pada kita.



إِنَّ ٱللَّهَ وَمَلَـٰٓٮِٕڪَتَهُ ۥ يُصَلُّونَ عَلَى ٱلنَّبِىِّۚ يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ صَلُّواْ عَلَيۡهِ وَسَلِّمُواْ تَسۡلِيمًا
"Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. "(surah al-Ahzab : 56)