Tahukah anda, ada seekor udang yang berperanan laksana doktor gigi yang menyediakan perkhidmatan percuma di ‘klinik’ (cleaning station) untuk membersihkan mulut ikan- ikan besar serta belut laut dengan memakan sisa- sisa makanan yang melekat pada mulut haiwan. Udang tersebut lebih dikenali sebagai Lysmata amboinensis yang mempunyai jaluran merah dan putih atau tompokan berwarna di badannya.
Lysmata amboinensis yang hanya bersaiz 6 cm - 8 cm sangat berani mendekati haiwan yang lebih besar daripadanya demi membersihkan badan, mulut atau insang ikan dan juga belut laut dengan menjadikan parasit seperti, serta bakteria, virus, protozoa, cacing, serta sel - sel yang sudah mati sebagai makanan atau nutrien tambahan. Selain itu, jika di dalam akuarium, Lysmata amboinensis juga sering menawarkan perkhidmatan percuma dengan membersihkan segala kotoran yang melekat pada mana- mana alatan di dalam akuarium tersebut.
Lysmata amboinensis dan Simbiosis
Pada tahun 1879, seorang botanis Jerman, Heinrich Anton de Bary menyatakan, simbiosis bermaksud suatu bentuk interaksi atau jalinan hidup antara dua organisma yang berbeza. Lysmata amboinensis hidup secara simbiosis sama ada pada badan ikan, belut laut mahu pun batu karang. Cara hidup begini sangat menguntungkan bagi kedua- dua pihak iaitu kepada Lysmata amboinensis juga kepada perumah. Lysmata amboinensis akan mendapat nutrien tambahan daripada perumah seperti belut laut (Gnathophis nystromi nystromi), manakala Gnathophis nystromi nystromi pula akan selamat daripada sebarang gangguan parasit.
Lysmata amboinensis dan Sifat Bersih
Jika kita mampu menilai daripada mata hati bahawa seekor udang yang dijadikan tanpa akal tetap mempunyai nilai dalam hidupnya iaitu cinta akan kebersihan, bagaimana pula dengan manusia yang dijadikan Allah jauh lebih sempurna iaitu berserta jiwa agar mampu merasa, dan berserta akal agar mampu berfikir untuk mengambil iktibar daripada setiap kejadian makhluk ciptaan- Nya. Maka, nilai terbaik yang boleh dipelajari daripada Lysmata amboinensis adalah cinta akan kebersihan seperti dalam surah at- Tawba’ Allah s.w.t telah berfirman, “Dan sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bersih.” (9:108)
Fakta Menarik tentang Lysmata amboinensis
•Lysmata amboinensis akan salin kulit setiap 3- 4 minggu.
•Lysmata amboinensis juga sangat jinak dan kurang agresif berbanding haiwan ornamental yang lain.
•Lysmata amboinensis dibela sebagai haiwan pembersih, bukan untuk dimakan.
No comments:
Post a Comment