Alhamdulillah...
Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang...
Dia telah memberi seribu satu kesempatan untuk saya mendapatkan seberapa banyak pengetahuan dan menggarap seberapa banyak pengalaman tentang kehidupan berumah tangga. Menghadiri Seminar Early Marriage pada Ahad yang lalu membuat saya berfikir bahawa kehidupan di alam ini menuntut kita untuk bersedia dan terus bersedia walaupun telah lama berumah tangga.
Sesekali moderator forum pada slot petang itu bertanya kepada hadirin, "apakah tujuan anda hadir ke seminar ini? Adakah anda merancang untuk berkahwin atau berumah tangga awal?" Bergurau mungkin. Pernah juga persoalan seperti itu timbul dalam hati dan minda, namun ia berserta juga beberapa persoalan penting yang lain. "Bagaimana tahap kefahaman kita dalam agama?", " Bagaimana penghayatan kita tentang konsep hamba dan khalifah?", "Apa tujuan dan matlamat hidup di alam rumah tangga?", dan banyak lagi persoalan yang mungkin perlu difikirkan.
Sememangnya persoalan ini sangat subjektif. Rasullah juga ada berpesan bahawa pemuda yang sudah berkemampuan eloklah berkahwin, tapi sekiranya dia tidak mampu, berpuasa itu adalah yang terbaik baginya. Jadi, ini sudah menjadi sebaik-baik panduan yang telah ditunjukkan oleh baginda Rasullah s.a.w buat umatnya. Namun, apa yang berlaku sekarang, berleluasanya penzinaan, kes anak luar nikah, dll. Ini jelas menunjukkan bahawa ramai yang tidak benar-benar menghayati dan mengikut sabda baginda dan firman-Nya.
Maka, harus kita perbetulkan persepsi kita sebagai orang beragama yang beriman kepada-Nya. Perkahwinan bukanlah sekadar permainan mahupun pertandingan. Perkahwinan adalah salah satu alam persinggahan sepanjang perjalanan menuju Tuhan. Alam yang mengimpikan kejayaan bukan kegagalan. Kejayaan dalam melahirkan generasi dan umat yang soleh dan solehah, insyaAllah.

